Bab 2

494 24 0
                                    

ENJIN motosikal dimatikan terlebih dahulu. Topi keledar ditanggalkan sambil anak matanya meliar mencari kelibat Raiqa. Nampak saja bayang gadis itu sedang duduk di tepi tasik, bergegas dia berjalan ke sana.

“Rai.”

Raiqa angkat wajahnya. Saat ternampak wajah Daim di sini, makin laju air matanya mengalir ke pipi. Makin tak senang duduk Daim melihat tingkah kekasih hati. Dia duduk di sebelah gadis itu.

“Kenapa ni sayang? Bergaduh dengan mak su lagi?”

Hanya anggukan yang diberi. Kepalanya dilentok ke bahu lelaki itu.

“Benci sangat ke mak su dekat Rai? Mak su tak habis-habis nak menangkan jantan tak guna tu. Dia lebih percayakan orang luar dari darah daging dia sendiri.” Teresak-esak Raiqa.

Tipulah kalau dia tak terasa dengan kata-kata mak su. Sebelum ini hubungannya bersama mak su sangat baik. Selama empat tahun dia dilayan seperti anak kandung. Namun sejak mak su berkahwin ketika dia berusia 15 tahun, dia seperti baru tersedar dari mimpi indah.

Sikap mak su semakin berubah gara-gara melayan karenah pak su. Paling menyakitkan hati, sudah acap kali lelaki itu cuba mencabulnya.

“Apa yang mak su buat kali ni?” soal Daim sambil merangkul bahu gadis itu.

“Mak su halau Rai lagi. Rai rasa nak keluar dari rumah tu. Rai dah tak sanggup nak hadap muka orang tua tu lagi.”

“Rai nak pindah ke mana?”

“Entah. Tengoklah dulu.  Sekarang Rai dah 18 tahun. Rai berhak nak buat keputusan sendiri. Mak su dah tak boleh halang Rai lagi.” Pipi yang basah dikesat kasar.

Kali ini dia sudah membuat keputusan untuk keluar dari rumah itu. Dia perlu mencari kerja lain untuk menyara kehidupannya selepas ini. Cukuplah selama ini bertahan.

“Bukan mudah nak pindah keluar. Nanti abang tolong carikan kalau ada rumah sewa ya. Bagi abang masa.”

Terus bersinar mata Raiqa. Dia sudah mengagak lelaki itu pasti tidak akan membiarkan dia berpindah begitu saja. Memang tak salah dia memilih Daim sebagai tempat dia bersandar.

“Merah pipi ni. Mak su ke yang tampar?”

Mencemik bibir Raiqa. Hanya anggukan yang diberi. Boleh tahan sakit juga pipinya ditampar.

“Haishhh… tak suka betul abang dengan perangai mak su ni. Kalau nak marah, janganlah naik tangan.” Pipi gadis itu diusap lembut.

Walaupun dia belum pernah bertemu dengan orang tua itu, melalui cerita Raiqa dia dapat mengagak wanita itu seorang yang panas baran. Pantang dilawan, pasti tangan mak su hinggap ke tubuh gadis kesayangannya.

“Berapa lama nak Rai tunggu?”

“Tunggu abang habis exam. Esok kertas abang terakhir. Lepas semuanya selesai, abang carikan rumah sewa. Sementara waktu ni, Rai cuba bersabar dulu dengan mak su. Kalau pak su masih lagi nak apa-apakan Rai, kita buat laporan polis.” Tegas nada suara Daim.

Tertelan air liur Raiqa. Perkara itulah yang dia mahu elak selama ini. Jika sampai ke pihak polis, dah tentu maruah mak su terpalit sama. Tak mustahil jiran tetangga akan mengata.

“Rai lapar. Belanja Rai makan.” Sengaja dia menukar topik perbualan.

“Tak makan lagi ke?”

Kepala digeleng laju. “Pagi tadi perut ni kurang sihat. Rai datang bulan. Biasalah kalau kawan baik Rai tu datang.”

Daim mengangguk faham. Tangan gadis itu diraih dan digenggam kemas.

“Jom abang belanja makan. Rai cakap aje nak makan apa?”

Pernah BenciWhere stories live. Discover now