6

26.3K 1.1K 11
                                    

Sufi berdiri sambil berpeluk tubuh di balkoni. Matanya tunak memerhatikan suasana di halaman rumah. Sekumpulan pekerja katering telah diupah bagi menyediakan makanan untuk majlis malam ini.
Walaupun mata galak memerhati namun fikirannya melayang jauh. Sufi masih lagi memikirkan tentang hal pagi tadi.

Mengenangkan sikap Nazrul menjadikan Sufi semakin tidak tenteram. Ingin saja dia menerima lamaran tersebut tanpa perlu berfikir panjang. Mana tahu Nazrul akan berputus asa apabila mengetahui bahawa dia sudah berkahwin.

"Noah, turun sekejap! Umi nak minta tolong sikit ni!"

Laungan umi dari halaman rumah mematikan lamunan Sufi. Secara tidak sengaja dia turut tertoleh ke kiri. Hampir gugur jantungnya tatkala melihat susuk tubuh seseorang yang sedang berdiri di balkoni sebelah. Sungguh dia langsung tidak menyedari kehadiran Noah selama dia berdiri di sini.

"Apa dia, umi?" balas lelaki itu. Kedua tangan menongkat palang balkoni sambil menanti balasan daripada umi.

"Tolong ambilkan tempahan dekat kedai bakeri. Nanti umi bagi alamat. Ambil sekarang! Nanti lupa pula! Ajak Sufi sekali!"

Sufi terkedu. Tiba-tiba pula namanya diseru. Susuk tubuh Noah lantas dikerling melalui ekor mata. Lelaki itu masih nampak tenang walaupun wajahnya seakan-akan separuh rela terhadap permintaan uminya. Namun begitu, tidak pula dia membantah.

Noah sekadar menunjukkan ibu jari kepada umi sebagai balasan. Sebelum dia melangkah semula ke dalam bilik, Noah sempat menjengah di muka pintu gelangsar.

"Lima minit. Aku tunggu dekat kereta."

"Hah?"

Belum sempat Sufi bertanya, Noah terus masuk ke dalam biliknya semula.

Gadis itu mula tayang wajah kelat. Bengang dengan sikap Noah yang membuat keputusan sesuka hati tanpa bertanya kepadanya terlebih dahulu.

"Suka hati aje bagi arahan. Aku tak kata pun nak ikut..." Sufi menggumam perlahan lalu menjuihkan bibir.




Sufi hanya bersandar di kerusi kecil yang terletak di sudut kedai bakeri itu. Kehadirannya seperti tiada guna. Dia bingung kenapa dia yang harus menemani lelaki itu. Padahal segala urusan pembayaran diuruskan oleh Noah sepenuhnya. Bahkan Noah langsung tidak meminta sebarang bantuan daripada dirinya.

Tiba-tiba, datang seorang pelayan menghidangkan potato bun berserta segelas iced matcha latte di atas meja. Sufi lantas duduk tegak. Berlapis-lapis dahinya sambil merenung ke arah pelayan itu.

"Eh, saya tak ada order apa-apa pun. Awak salah orang ni."

"Tunang cik yang suruh saya hidangkan sementara dia selesaikan hal dengan majikan saya."

"Tunang?"

Sufi segera menoleh ke arah kaunter. Kelihatan Noah sedang bersandar santai di situ sambil berpeluk tubuh. Baju berkolar berwarna hitam yang sedang tersarung di tubuh menyerlahkan lagi aura maskulin lelaki itu.

Tanpa Sufi sedar, ada satu perasaan halus yang sedang menjalar di hati sebaik sahaja dia terpandangkan Noah. Namun cepat-cepat Sufi berdeham bagi mengusir perasaan tersebut sejauh mungkin.

Sebaik sahaja pandangan mereka bertembung, Sufi lantas menaikkan sebelah kening sebagai tanda menyoal. Noah yang seolah-olah faham mengangguk kecil, menandakan bahawa hidangan tersebut sememangnya dipesan untuk Sufi.

Sufi kembali memandang ke arah meja. Bibir gadis itu hampir mengulumkan senyuman nipis. Dapat juga dia mengisi perutnya yang hampir kelaparan.

"Okey, terima kasih," ujar Sufi sambil tersenyum kecil kepada pelayan tersebut. Dia mula membetulkan duduk tatkala menyedari Noah sudah pun melangkah ke arahnya.

"Makanlah dulu. Diorang minta masa untuk double check tempahan yang umi buat," terang Noah sambil labuhkan duduk di hadapan Sufi.

Sufi pula hanya menjatuhkan kepala tanda faham. Dia lantas menjamah roti tersebut tanpa menghiraukan pandangan Noah terhadap dirinya.

Dalam diam Noah memerhatikan gadis tersebut. Tak semena-mena kata-kata tokma kembali mengetuk minda. Sungguh dia tidak menyangka tokma dan umi telah melamar Sufi untuk dijadikan sebagai menantu keluarga mereka. Padahal mereka baru sahaja berjumpa beberapa hari yang lalu.

Entah apa yang membuatkan tokma bersungguh untuk melamar Sufi. Kasihan. Tak pasal-pasal gadis ini terlibat sama dalam masalah keluarga mereka.

"Kau dah fikir pasal hal tu?"

Mulut Sufi serta-merta berhenti mengunyah. Kedua bahu diangkat sebagai jawapan. Sufi sebolehnya tidak mahu membahaskan hal itu kerana dia sendiri masih belum menemui jawapan yang tepat untuk soalan itu.

"Kalau ikutkan, aku nak terus tolak. Kalau kau nak tahu, kahwin tak pernah ada dalam perancangan aku." Sufi mula bersuara setelah lama berdiam diri.

"Boleh tak kalau aku tolak?" soalnya lagi namun kini matanya memandang tepat wajah Noah. Seolah-olah meminta pendapat daripada lelaki itu.

"Terpulang pada kau. Aku tak paksa. Tapi aku tak rasa kau patut tolak cadangan tokma."

"Apa maksud kau? Kenapa aku kena terima?"

Berlapis-lapis dahi gadis itu sambil menunggu jawapan daripada Noah. Senyuman sinis yang jelas menghiasi wajah lelaki itu membuatkan Sufi berasa sebal.

"Sebab kau kena cari alasan untuk jauhkan diri daripada budak lelaki tu."

Hampir jatuh rahang milik Sufi tatkala mendengar jawapan Noah. Matanya terkebil-kebil. Otaknya pula sedang giat memproses kata-kata Noah.
Hairan. Noah tahu tentang Nazrul?

"Kau tahu?"

"Pagi tadi, dekat balkoni. Sorry. Bukan niat aku nak mengintip. Suara kau kuat sangat masa jawab call. Aku ingatkan ada pengumuman apa entah."

Sufi mula mendengus perlahan. Tubuh disandarkan ke kerusi sambil kedua tangan disilangkan ke dada. Ayat terakhir Noah itu kedengaran seperti sindiran pada pendengaran Sufi. Haih, sakit hati pula bila bercakap dengan Noah.

Noah turut meniru gaya Sufi. Namun wajahnya masih lagi dihiasi dengan senyuman sinis. Dia pasti Sufi kini sedang berada dalam dilema tentang pinangan itu.

"Kau fikirkanlah dulu. Macam yang aku cakapkan tadi, fikirkan untuk kepentingan kau juga. Jangan risaukan pasal keluarga kita. Kalau kau tolak, nanti pandai-pandailah aku pujuk diorang terutama sekali tokma."

Beria Noah berkata seperti itu. Padahal lelaki itu dalam diam berharap agar Sufi menerima pinangan tersebut. Jika ya, maka tidak perlulah Noah bersusah-payah memikirkan jalan lain untuk menyelamatkan syarikat peninggalan arwah walid serta maruah keluarga mereka.

Sufi hanya mengangguk kecil. Haih, tak puas hati betul. Bila Noah dah ungkit pasal Nazrul, mulalah hati ini rasa berbelah bagi. Pendiriannya juga sudah mula goyah. Daripada rasa tak nak kahwin tiba-tiba dia rasa wajib pula untuk menerima pinangan tersebut.

Sungguh ke dengan cara ini saja boleh menghalang Nazrul daripada terus mengganggu dirinya?

NOAH ISKANDAR- KAU, TAKDIR TERINDAH (TERBIT)Where stories live. Discover now