3

26.2K 1.1K 25
                                    

Suasana bilik yang aman itu terganggu dek deringan telefon yang berbunyi tanpa henti. Sufi hanya menjuihkan bibir. Tidak berminat untuk menjawab panggilan itu. Dia sekadar mengerling sekilas sebelum membaca semula projek tesis miliknya.

Sesaat, telefon pintarnya tiba-tiba senyap. Namun tidak sampai beberapa detik, telefon itu kembali berdering.

Gadis itu mula mendengus geram tatkala melihat nombor yang tertera di atas skrin. Meskipun dia tidak menyimpan nombor tersebut namun dia tahu, siapakah gerangan yang tidak berputus asa menelefonnya sejak tadi lagi.

Telefon pintar itu diambil kasar lalu dimatikan. Hujung bibir gadis itu ternaik sedikit. Puas hatinya ketika melihat gajet itu sudah kembali aman.

"Tenang sikit nak baca tesis ni."

Husna menggeleng perlahan tatkala melihat gelagat Sufi. Keras juga hati sahabat baiknya ini. Meskipun diganggu oleh bekas teman lelakinya sejak beberapa bulan yang lalu, namun Sufi masih mampu berlagak tenang dan hanya mengabaikan tingkah lelaki itu.

"Keras juga kau ni. Dia dah banyak kali kacau kau tapi kau tetap tak peduli pun pasal dia."

"Bukan tak peduli, tapi aku tak nak serabutkan kepala aku dengan benda tak penting macam tu. Apa yang aku cakap dia tetap tak dengar selagi aku tak ikut kemahuan dia."

Sufi melepaskan keluhan berat. Gangguan demi gangguan daripada bekas teman lelakinya itu adakalanya membuatkan dia rimas. Disebabkan gangguan tersebut masih belum mencapai tahap melampau, Sufi hanya abaikan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Tapi dalam diam dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga. Bimbang juga andai kata Nazrul bertindak di luar jangkaan sehingga mengancam keselamatan dirinya.

Tiba-tiba, telefon milik pula Husna berdering sekali gus mengejutkan mereka berdua. Husna lantas menjawab panggilan tersebut tanpa ragu-ragu.

"Helo, siapa ni?"

Sufi hanya memerhatikan raut wajah Husna yang sedikit berubah ketika dia menjawab panggilan tersebut.

Dengan teragak-agak, Husna menyerahkan telefonnya kepada Sufi. Gadis itu pula hanya menjongketkan sebelah kening sebagai isyarat menyoal.

"Err, kau cakaplah dulu."

Telefon tersebut bertukar tangan. Baru sahaja Sufi hendak membuka mulut, tiba-tiba terdengar suara yang sangat dia kenali. Terus berubah raut wajah gadis itu.

Cis! Lupa pula Sufi bahawa lelaki itu turut mempunyai nombor telefon milik Husna dalam simpanannya.

"Nak apa lagi, Nazrul?" soal Sufi dengan suara mendatar.

Kedengaran suara tawa Nazrul membuatkan Sufi mendengus kasar. Sungguh menyakitkan hati.

"Tak guna kalau awak mengelak, Sufi. Saya ada 1001 cara untuk dapatkan perhatian awak. Macam sekarang." Sekali lagi lelaki itu ketawa kecil.

Sufi hanya mengolengkan mata. Tangan mula memicit bahagian pelipis. Nak tak nak, terpaksa juga dia layankan kerenah Nazrul.

"Lama lagi ke kau nak bercakap? Aku tengah sibuk ni. Sekejap lagi aku ada appointment dengan Dr. Wani."

"Oh, kalau macam itu saya berterus-terang ajelah. Tapi saya rasa awak pun tahu apa yang saya bakal sampaikan nanti."

Daripada duduk tegak, Sufi kini mula bersandar di kerusi. Kepala terus mendongak memandang siling.
Tipulah kalau dia tidak dapat menangkap maksud kata-kata Nazrul. Bahkan sudah acap kali lelaki itu menyatakan hasrat yang sama. Sehingga sekarang, Nazrul tidak pernah jemu mengajak dirinya menjalinkan kembali hubungan yang telah terputus.

NOAH ISKANDAR- KAU, TAKDIR TERINDAH (TERBIT)Where stories live. Discover now