7

25.4K 1K 20
                                    

"Good job, Sufi. Semuanya dah selesai. I guess you dah boleh bersiap sedia untuk pembentangan VIVA nanti."

Komen daripada Dr. Wani membuatkan Sufi tersenyum puas. Dia kini sudah boleh menghembus nafas lega. Tidak lama lagi perjalanan ini bakal berakhir. Dia sudah tidak sabar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD yang telah menjadi impiannya sejak dulu lagi.

Usai meminta diri untuk beredar, Sufi lantas bergegas ke kafe. Dia sebenarnya sudah sedikit lewat untuk berjumpa dengan kawan baiknya, Husna gara-gara terlajak berbual bersama Dr. Wani.

Dari jauh lagi Sufi sudah nampak susuk tubuh Husna yang sedang termenung jauh. Sesekali gadis itu memuncungkan bibir. Mungkin bosan kerana sudah lama menunggu.

"Sorry, Una. Aku baru lepas jumpa Dr. Wani."
Sesampainya Sufi di situ, dia terus memeluk bahu Husna seraya melentokkan kepala di atas bahu gadis itu. Bukan apa, sajalah hendak mengambil hati Husna walaupun dia tahu Husna bukan seorang yang mudah naik angin.

Husna menggulingkan mata. Dasar anak bongsu. Manja sungguh. Sikit-sikit nak peluk. Setiap kali buat salah, memang itulah taktik Sufi untuk memujuk dirinya.

Pada mulanya Husna rasa tidak selesa juga tapi setelah beberapa tahun mengenali Sufi, dia akhirnya sudah terbiasa. Adakalanya Husna terasa seperti sedang menjaga adik bongsu sendiri memandangkan Husna merupakan anak sulung perempuan dalam keluarganya.

"Sudahlah tu. Sampai bila kau nak peluk aku? Aku nak minum pun tak senang."

Pelukan tersebut dileraikan. Sufi bingkas labuhkan duduk di sebelah Husna. Teh ais milik Husna terus disedut laju bagi menghilangkan dahaga. Husna hanya menggeleng kecil melihat tingkah sahabatnya itu.

"Lama betul kau jumpa Dr. Wani. Borak apa aje?"

"Macam biasa. Pasal PhD," balas Sufi, ringkas.

Husna mengangguk tanda faham. Dalam diam dia berasa kagum terhadap Sufi. Gadis itu masih bersemangat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD meskipun sudah banyak 'berendam' air mata dan hanyut dalam emosi sepanjang menghabiskan pelajaran di peringkat ijazah sarjana.
Bukan macam dia. Husna sudah tekad untuk mencari pekerjaan setelah selesai menamatkan pengajian nanti.

"Tak sabar nampak? Kau tu VIVA presentation pun tak lepas lagi."

"Saja. Aku dah excited ni. Kau pun tahu kan itu salah satu impian aku."

Sekali lagi Husna mengangguk.

"Tahniah, Sufi. Aku minta maaf sebab tak dapat temankan kau untuk sambung PhD. Lagipun aku dah fed up nak hadap tesis."

Sayu suara Husna. Sufi hanya tersengih walaupun hatinya sudah sedikit sebak. Lantas bahu Husna diusap lembut.

"Itu pun nak minta maaf. Kita masing-masing ada perancangan sendiri. Kerja pun seronok juga. Bila dah sampai hujung bulan, bolehlah kau belanja aku. Aku kan masih lagi student?"

"Banyak cantik muka kau. Aku belum kerja lagi tapi kau dah plan nak kikis duit gaji aku."

Ketawa mereka berdua bergabung. Mujurlah suasana di kafe itu sedikit hingar-bingar. Jadi tak adalah rasa janggal jika mereka terlepas tawa.

"Oh, sebelum aku lupa. Last time, Nazrul ada call aku sebab dia tak jumpa cari kau dekat kampus."

Spontan Sufi menggulingkan mata. Meluatlah bila nama lelaki itu disebut-sebut. Begitulah Nazrul. Dia pasti akan mencari Husna bilamana dia gagal mencari Sufi. Kerana dia tahu, Sufi dan Husna sentiasa bersama bagaikan belangkas.

"Tak payah layanlah dia tu. Lepas ni kalau dia call kau, kau jawab aje tak tahu. Tak salah pun kalau nak menipu orang macam tu."

"Aku harap dia berhenti kacau kau. Lagi-lagi kau dah nak sambung PhD. Eh, apa kata kau kahwin aje? Sekurang-kurangnya adalah orang yang boleh jaga kau. Mana tahu Nazrul tiba-tiba back off bila tahu yang kau dah kahwin?"

KAU, TAKDIR TERINDAH (TERBIT)Where stories live. Discover now