PROLOG

83.5K 1.4K 32
                                    

14 tahun yang lalu....

"Noah Iskandar! Fawwaz Anaqi! Hati-hati mandi sungai tu," jerit Aliyah sambil mencekak pinggang.

Noah dan Fawwaz saling berpandangan apabila mendengar nama masing-masing dipanggil. Mereka lantas ketawa sambil menunjukkan ibu jari ke arah ibu mereka, menandakan bahawa mereka faham akan arahan tersebut.

"Alah, awak ni janganlah risau. Sungai ni pun bukannya dalam mana. Biarlah budak-budak tu nak berseronok," ujar Ashran lalu ketawa kecil. Dia kemudian melelar tangan si isteri agar duduk di sebelahnya.

"Betul tu, Yah. Air sungai sini cetek. Insya-Allah tak ada apa-apa." Sarimah menyampuk sebelum dia memandang suaminya, Husaini yang sedang tersenyum.

Masing-masing ketawa sambil leka berbual sesama mereka.

Sufi yang mendengar hanya menjuihkan bibir. Dalam diam dia cemburu terhadap Noah, Fawwaz dan abangnya, Hakimi. Mereka seronok bermandi-manda sedangkan dia? Hanya mampu duduk di tepi sungai sambil merendamkan kaki di dalam air.

Nak mandi pun segan sebab semuanya lelaki. Lagipun dia sedang mengelakkan diri daripada Noah. Budak lelaki itu terlalu gemar mengusik dirinya.

"Oi, Sufi."

Sufi menggulingkan mata ketika menyedari Noah mula menghampirinya. Mulalah nak menyakat!

"Apa?" soal Sufi tanpa sedikit pun memandang Noah.

"Sombongnya."

Noah tersengih sambil berpeluk tubuh. Dia sudah memerhatikan Sufi sejak awal lagi. Disebabkan gadis itu langsung tidak berganjak dari tempatnya, maka Noah membuat keputusan untuk menegur Sufi.

Sufi hanya memakai tudung bawal dengan gaya biasa namun tetap kelihatan menarik di mata Noah. Bagi Noah, warna lembut tudung itu menambahkan lagi seri di wajah gadis itu.

Senyuman sinis serta pandangan tajam milik Noah membuatkan Sufi berasa tidak selesa. Sedikit sebanyak menyebabkan dadanya tiba-tiba dihempas debaran halus.

"Apa pandang-pandang?"

"Cantik tudung kau, Sufi. Kau ada persembahan marhaban ke lepas ni?"

"Marhaban?" Kedua kening Sufi berkerut.

Serentak itu Noah memuncungkan bibir ke arah sekumpulan manusia yang sedang berkumpul tidak jauh daripada mereka.

Gadis itu segera menoleh. Terdapat beberapa orang wanita berumur turut memakai tudung yang sama warna seperti Sufi. Dia terus memincingkan mata sebaik sahaja mendengar Noah ketawa besar. Kecil besar aje dia melihat Noah kala ini.

"Kau memang dah lama hidup ke, Is?" Buku lima dikepal sekuat hati. Tahap kesabarannya kian memuncak apabila Noah masih tidak berhenti mentertawakan dirinya.

"Orang datang sini nak berkelah, tapi kau sibuk nak buat marhaban." Noah turut mengesat air mata yang terbit di hujung mata akibat terlalu banyak ketawa. Puas hati apabila dapat mengenakan gadis itu.

Belum sempat Sufi membalas, tiba-tiba datang Hakimi bersama Fawwaz menghampiri mereka. Terbantut niat Sufi untuk memarahi Noah.
Tidak mengapa. Ada ubi, ada batas. Lain hari dia pasti akan balas!

"Amboi, Noah. Kuat betul kau menyakat adik aku. Kau tak takut ke kalau tiba-tiba dia jadi jodoh kau?" Hakimi lantas menepuk perlahan bahu Noah.

Terus mati tawa Noah. Wajah Sufi yang masam mencuka dipandang sekilas. Dia berkahwin dengan Sufi? Mustahil!

"Orang tua-tua kata jodoh kau dengan dia makin kuat sebab selalu bergaduh." Fawwaz menyokong kata-kata Hakimi. Padahal dia sengaja hendak menakutkan Noah kerana dia tahu Noah dan Sufi tidak sekepala.

"Ah, mengarut! Itu zaman dulu. Sekarang zaman moden. Mana ada orang percaya benda macam tu lagi." Noah cuba menafikan namun jantungnya sudah berubah rentak. Semuanya gara-gara diusik oleh Hakimi dan Fawwaz.

"Sudahlah. Jom kita patah balik ke tempat tadi. Aku tak sabar nak tunjuk aksi terbaru aku dekat korang ni," ujar Noah, sekadar untuk mengalihkan perhatian mereka.

"Aksi barulah sangat."

Hakimi dan Fawwaz serentak menggulingkan mata. Entah aksi apa yang ingin ditunjukkan oleh Noah. Sementelah dia pun bukannya pandai berenang seperti mereka berdua.

"Tak percaya, sudah," ujar Noah lagi lalu menjuihkan bibir.

Tanpa berlengah lagi, mereka bertiga terus meninggalkan Sufi. Manakala Sufi hanya lepaskan keluhan. Bosan pula apabila ditinggalkan mereka bertiga.

Sedang Sufi leka dalam lamunannya, dia tiba-tiba mendengar suara Hakimi menjerit sambil menyeru nama Noah berulang kali.

"Noah! Mana kau?!" Fawwaz turut menjerit sama.
Lantas, gadis itu berdiri. Berkerut keningnya sambil mengamati susuk tubuh Hakimi yang tidak tentu arah sambil mencari sesuatu.

Tiba-tiba, anak mata Sufi menangkap sepasang tangan yang sedang terkapai-kapai tidak jauh dari tempat Hakimi dan Fawwaz berada. Sufi pasti itu adalah Noah!

Sufi mula berasa cemas. Bimbang jika Noah gagal diselamatkan. Tambahan pula budak lelaki itu langsung tidak pandai berenang. Tanpa berfikir panjang, gadis itu terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Noah.

"Is, pegang tangan aku!"

Sufi berenang menghampirinya. Dia cuba mencapai tangan Noah yang sudah kelihatan lemah dengan sekuat hati.

"Su-Sufi... aku... tak larat..."

Suara Noah semakin melemah. Tubuhnya tidak mampu untuk bertahan lagi. Usahanya untuk berenang menyelamatkan diri seakan sia-sia dek aliran air sungai yang tiba-tiba deras kala itu.

"Is, bertahan!" jerit Sufi lagi. Dia tetap cuba untuk menarik tubuh Noah ke tepi sungai meskipun dirinya juga sudah hampir kehabisan tenaga.

"Su-Sufi..."

Noah dapat merasakan tubuhnya seperti ditarik oleh seseorang. Namun suara Sufi mula kedengaran sayup di telinganya. Dunianya seakan gelap malah suara yang memanggil namanya juga sudah tidak kedengaran lagi.


KAU, TAKDIR TERINDAH (TERBIT)Where stories live. Discover now