Noah masih lagi tunduk menekur lantai. Suasana bilik itu pula terlalu sunyi sehinggakan Noah tidak berani untuk bertentang mata dengan sesiapa pun.
Tokma labuhkan duduk di atas kerusi meja solek. Matanya tajam menyoroti keadaan cucunya yang hanya berdiam diri sejak tadi.Tiada gunanya dia hendak marah. Perkara sudah pun terjadi. Namun, rasa geram tetap menghuni hatinya saat ini. Tergamak Bella memijak maruah keluarga mereka tanpa ada rasa bersalah!
"Kamu pasti dengan keputusan kamu, Noah? Kamu dah bincang betul-betul dengan Bella?"
Suara tokma akhirnya memecahkan kesunyian. Perlahan-lahan Noah menjatuhkan kepala namun masih belum berani untuk menatap wajah tua itu.
"Bella sendiri yang ambil keputusan untuk pergi."
"Jadi, kamu akan terus tunggu dia?"
"Tak, tokma." Noah meraup wajah sebelum melepaskan keluhan. "Noah pun dah penat untuk berharap. Itu yang dia mahu jadi Noah dah buat keputusan untuk lepaskan dia pergi. Noah yang akan tanggung semua ganti rugi majlis perkahwinan kami."
Umi pula hanya mampu mengusap lembut belakang Noah bagi menenangkan hati anak muda itu. Betapa runtunnya hati ketika melihat wajah Noah yang kelihatan sangat kecewa dek perbuatan tunangnya.
"Tak semudah itu, Noah."
Noah lantas panggung wajah. Mata yang sedang memerah itu lantas memandang tokma dengan wajah berkerut.
"A-apa maksud tokma?"
"Bukan soal wang yang tokma risaukan. Kamu sendiri tahu, tetamu kita ada dalam kalangan VIP. Kamu fikir apa pandangan mereka bila hal ini sampai ke pengetahuan masing-masing? Kamu rasa mereka masih lagi menaruh kepercayaan kepada kamu? Hal peribadi pun kamu tak dapat uruskan dengan baik apatah lagi jika hal berkaitan dengan syarikat kita."
Noah terpegun. Takkan sebesar itu impak akibat majlis perkahwinan tersebut dibatalkan? Padahal sebelum ini dia berjaya meraih kepercayaan klien dan pelabur melalui kebolehannya. Tiada kaitan langsung dengan hal peribadi yang dimaksudkan oleh tokma.
"Noah tak rasa hal peribadi Noah akan menjadi impak besar kepada klien kita, tokma."
"Hal peribadi seorang CEO turut memainkan peranan kepada reputasi syarikat, Noah. Kamu lupa apa yang terjadi kepada syarikat Tan Sri Rosli beberapa bulan yang lalu?"
Noah terdiam seketika. Konflik keluarga Tan Sri Rosli yang berlaku beberapa bulan yang lepas mula bermain di minda. Akibat berlaku perselisihan faham dalam keluarga mereka, sedikit demi sedikit pihak pelabur mula menarik balik pelaburan mereka di syarikat itu. Kerugian paling besar telah dicatatkan sehingga berlaku pergolakan dalaman syarikat tersebut.
"Kamu mahu hasil titik peluk arwah walid kamu terlebur macam itu saja?"
Noah meraup wajah buat kesekian kalinya. Apabila sudah menyebut tentang arwah walid, mulalah hati ini diulit dengan rasa bersalah. Arwah walid berpenat lelah membina syarikat itu demi keluarga mereka namun dia dengan mudah menjadi pemusnah kepada hasil kejayaan itu.
"Jadi, tokma nak Noah buat apa? Kali ini Noah akan turutkan segala suruhan tokma."
"Betul ni?"
Laju Noah mengangguk. Demi menebus kesalahannya, Noah sanggup memenuhi segala permintaan tokma. Biarlah jika ini yang mampu mengembalikan keadaan seperti sediakala.
Tokma mula tersenyum puas. Dia kemudian memberi isyarat kepada umi supaya bersiap sedia untuk menemani dirinya pulang ke bilik."Kita tetap akan teruskan majlis tahlil dan doa selamat seperti yang dirancang. Kamu baliklah ke bilik kamu. Hari pun dah lewat. Esok kita bincang," ujar tokma lagi.