9

27.7K 1K 19
                                    

"Sufi, mak balik dulu. Jaga diri baik-baik. Dengar cakap suami. Jangan ikutkan sangat keras kepala tu."

Sufi hanya mencebir. Ketika itu juga dia terus memeluk mak dengan erat. Sedih kerana terpaksa berpisah secara tiba-tiba.

Ingin saja dia mengikut mak pulang ke kampung. Namun Sufi sedar, dia kini sudah bergelar isteri orang. Jadi nak tak nak, dia terpaksa juga berada di sisi suaminya.

"Baik, mak. Sufi ingat pesan mak. Mak jaga diri baik-baik."

Mak meleraikan pelukan itu. Kini pandangan beralih kepada si menantu yang masih setia berdiri di sebelah anak bongsunya sejak tadi.

"Mak balik dulu. Tolong jagakan Sufi untuk mak ya, Noah."

"Baik mak. Mak jangan risau ya."

Noah mengangguk sambil mengukirkan senyuman. Dia kemudian mencium lembut tangan wanita tua itu sebagai tanda hormat.

Air mata hangat yang sedang terbit di hujung mata diseka perlahan sewaktu Sufi melihat Noah dan mak saling berpelukan. Buru-buru dia mendapatkan Hakimi. Matanya kini sudah memerah kerana sedang berusaha untuk tidak mengalirkan air mata.

"Along..."

"Sejak bila adik along pandai menangis macam ni?"

Tubuh Sufi terus ditarik ke dalam pelukan tatkala Hakimi melihat adiknya hampir menitiskan air mata. Keadaan Sufi membuatkan dia berasa semakin sebak. Berat hati pula hendak meninggalkan adiknya di sini.

"Along dengan mak ada je dekat kampung. Hujung minggu nanti boleh ajak Noah balik sana."

Hakimi mengelus belakang tubuh Sufi, cuba untuk memujuk gadis itu.

"Along doakan supaya kau sentiasa bahagia dengan suami kau dunia akhirat. Dengar cakap suami. Jadi isteri yang solehah," ujar Hakimi sambil berbisik. Hanya mereka berdua sahaja yang mendengar kala ini.

Sufi mengangguk sebelum meleraikan pelukan tersebut. Pandangan Hakimi kini beralih ke arah Noah yang juga rakan sepermainan semasa kecil. Tak sangka Noah kini telah menjadi adik iparnya.

"Jaga adik along elok-elok. Sufi satu-satunya adik yang along ada. Along percayakan kau walaupun korang disatukan bukan atas dasar suka sama suka. Andai kata suatu hari nanti kau nak lepaskan dia, pulangkan Sufi kepada kami dengan cara yang baik."

Hakimi mengukirkan senyuman sambil menepuk lembut bahu Noah. Ya, dia tahu segala yang telah berlaku antara pasangan itu. Itu pun setelah Noah berterus-terang beberapa hari sebelum majlis berlangsung.

Namun begitu, Hakimi tidak membantah. Dia menganggap mungkin ini adalah jodoh yang telah ditetapkan oleh-Nya. Lagipun hal ini berlaku atas persetujuan masing-masing juga termasuklah keluarga kedua belah pihak.

"Baik, along. Noah cuba untuk galas tanggungjawab ni dengan sebaik yang mungkin." 

Sufi melambai-lambai tangannya ke arah kereta yang dinaiki oleh Hakimi dan ibunya. Perlahan-lahan kereta itu hilang daripada pandangan. Rasa rindu sudah pun bertamu di hati meskipun tidak sampai beberapa minit mereka berpisah.

Umi segera mendapatkan Sufi yang sedang berwajah muram. Dia tahu menantunya itu pasti berasa sedih dek terpaksa berjauhan dengan keluarganya.

"Sufi, kita balik ya? Jangan sedih macam ni. Umi kan ada?"

Hanya senyuman hambar diukir sebagai jawapan. Sufi tidak mampu untuk berbicara lagi. Bimbang sekiranya air mata pula yang menjadi ganti.

Tanpa berlengah lagi, umi terus memaut lembut bahu Sufi dari tepi. Sempat juga dia memberi isyarat kepada Noah agar mengikut mereka. Noah pula hanya menurut. Lagipun dia juga tidak sabar untuk pulang ke rumah.

KAU, TAKDIR TERINDAH (TERBIT)Where stories live. Discover now