Bab 11 | Lari

849 71 9
                                    

JAM baru menunjukkan pukul sembilan malam tapi rumah kediamannya sudah pun sunyi sepi seperti tidak berpenghuni.

Penat. Semenjak kebelakangan ini jiwa dan mentalnya lebih cepat penat berbanding hari-hari sebelumnya. Rutin harian yang berulang buatkan jiwanya terasa kosong tak bersemangat. Hatta Fakhrul yang semakin hari semakin berusaha memikat hatinya pun tidak berjaya menarik dirinya daripada dilanda kesepian dan kebosanan.

Takungan emosinya juga sikit lagi mahu pecah kalau tak dirawat dengan baik. Mahu mental dia dibuatnya bila dilayan bagai manusia tidak berperasaan. Kalau selama ini dia boleh bersikap selamba, tidak hiraukan renungan orang lain terhadapnya tapi mengapa tiba-tiba saja dia mula rasa sakit dan terdera? Semua staff yang bekerja dengannya bertindak menjauhkan diri dan tidak lagi ceria seperti selalu. Kak Halina yang selama ini memahami juga tidak terkecuali, wanita itu lebih senang membuat kerja-kerja seperti yang diarahkan, tiada lagi celoteh mahupun bantahan yang keluar dari mulut itu, yang dulunya sentiasa rajin melayan Syaqila bersembang di waktu sengang.

Dan kini, bukan sahaja di pejabat malah di rumah juga Dato' Syazwan turut bertindak memulaukan dirinya. Sudah empat hari berlalu namun sehingga ke saat ini dia masih belum mendengar lagi suara papanya. Kalau ada apa-apa kerja mahupun berita yang mahu disampaikan, papa lebih senang mengambil pendekatan orang tengah untuk menyampaikan.

Sungguh Syaqila berasa terdera. Nampaknya papa tidaklah bergurau apabila mengatakan Aakif sudah merajuk dek perangainya yang mungkin sudah keterlaluan dalam menghamburkan amarah tempoh hari. Hingga ke hari ini dia masih belum lagi nampak bayangan lelaki itu. Di pejabat tak ada, di rumah pun langsung tak ada.

Rasa ingin tahu yang membuak-buak mendorong Syaqila mengatur langkah ke bilik tetamu yang pernah dihuni Aakif. Ada rasa aneh menerpa sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik yang tidak lagi berpenghuni. Bagaikan terbau-bau sisa bauan yang ditinggalkan lelaki itu dalam kamar ini. Malam ini bukanlah kali pertama dia menjejak kaki ke sini, untuk apa pun dia tidak pasti. Tahu-tahu saja dia sudah pun sampai ke dalam bilik ini, mengikut saja arah kaki kemana mahu membawa tuannya.

Seperti biasa, pintu wardrobe sekali lagi ditolaknya. Masih lagi tercari-cari kalau ada secebis pakaian lelaki itu yang ditinggalkan. Dia tidak menyangka apa yang dikatakan papa bukanlah sekadar satu gertakan atau pun ugutan. Memang benar Aakif sudah pun pergi, tiada lagi pakaian ditinggalkan di kamar ini. Semuanya sudah diangkat pergi, ke mana perginya langsung Syaqila tidak tahu.

Mahu bertanya pada papa? Memang ianya satu perbuatan sia-sia. Bukankah papanya sedang menghukum dirinya yang dikatakan bagai anak tidak menyenangkan hati orang tua? Biarlah, biarlah papa masih lagi dalam mabuk cintanya bersama bini yang diagung-agungkan. Dia pun sudah bosan melihat gelagat pasangan itu yang bagaikan belangkas, tak cukup di rumah kadang sampai ke pejabat pun diangkutnya perempuan itu. Sangat memualkan mata yang memandang.

Bukannya dia tidak gembira dengan kegembiraan baru yang dikecapi papanya tapi entah mengapa, hatinya meronta-meronta marah bila terpandangkan gelagat mereka. Mungkin kerana dia dapat melihat apa yang tersembunyi secara dasarnya. Tak perlu dibentangkan pun dia sudah boleh tebak, perempuan itu tidak pernah ikhlas mengahwini papanya. Ada juga rasa gusar yang sesekali menghambat jiwa, gusar andai papanya bakal kecewa apabila kebenaran dibentangkan depan matanya.

Punggungnya bertengek pada birai katil. Cadar katil yang sudah pun berganti sejak kepergian Aakif diusap-usap lembut. Bagaikan terasa-rasa sentuhan dan kucupan hangat lelaki itu ke atas dirinya pada malam dimana mereka hampir diserbu papa. Malam yang sangat mendebarkan tapi cukup menghangatkan naluri wanitanya. Hanya Aakif yang pernah menyentuhnya sejauh itu. Sekiranya tidak dihalang atau tiada sebarang penghalang yang muncul, tak mustahil dirinya kini bukan lagi seorang gadis perawan.

Cinta Si DiaWhere stories live. Discover now