Bab 13 | Sesak

897 66 8
                                    

BETUL lah seperti apa yang Aakif katakan malam tadi. Esoknya, pagi-pagi lagi rumahnya sudah riuh di dapur dengan pelbagai bunyi yang mengganggu lena Syaqila. Bunyi besen plastik dan besi kuat saling berlaga, bunyi mesin parut kelapa bekerja di pagi hari, bunyi vacuum menyedut segala kekotoran pada tapak alas kaki dan macam-macam lagi bunyi yang bercampur nada.

Sudahnya Syaqila pun terpaksa gagahkan diri untuk bangun awal dan lupakan saja niat mahu bermalas-malasan atas katil. Nak kembali tidur pun mata sudah tidak mahu lena, terganggu dengan segala pencemaran bunyi yang berlaku di sekitarnya.

Siap mandi dan berpakaian, tempat pertama dia kunjungi ialah ke dapur. Tadi siap mandi masih boleh nampak lagi ruang untuk bersantai di dapur tapi kini, sana sini penuh dengan segala bahan mentah dan perkakas-perkakas yang akan digunakan buat kenduri tahlil malam nanti.

"Ha Syaqila dah siap? Mari sini makan dulu. Aakif ada beli nasi lemak lepas balik masjid subuh tadi, makan nasi lemak lah pagi ni ceritanya."

"Mak cik tak makan sekali?"

Kelihatan hanya Aakif yang sedang menjamah nasi lemaknya di meja makan, Puan Saleha pula sudah sibuk mengupas segala jenis bawang dalam besen di tangannya.

"Mak cik dah makan tadi. Makanlah, kejap pagi ramai datang masuk dapur, segan pula kamu nanti."

Syaqila akur. Sebungkus nasi lemak yang berbalut dengan kertas surat khabar dengan daun pisang diambilnya. Sudah lama dia tak nampak nasi lemak yang dibungkus sebegini. Kelihatan ada dalam 10 bungkus lagi nasi lemak yang masih berbungkus. Banyak betul dibelinya Aakif?

"Ada sesiapa nak datang ke nanti?" Tanya Syaqila perlahan.

"Siapa?" Soal Aakif kembali sambil-lewa.

Eh ehh orang tanya dia, dia tanya kita balik?

"Tak ada siapa pun... orang-orang kampung sini je yang datang menolong kejap lagi. Selalu tu macam ni lah, bila ada majlis kat kampung ni, orang-orang kampung lah yang datang menolong apa yang patut, macam orang cakap tu, rewang." Puan Saleha yang baik hati juga tolong jawabkan. Padahal suara Syaqila tadi dah cukup perlahan serasanya, tak sangka pula boleh sampai ke pendengaran orang tua itu.

Kepala Syaqila terangguk-angguk faham. "Kenapa tak order katering je?"

Tergelak kecil Puan Saleha dengan soalan yang diutarakan wanita di hadapannya. Geli hati dia. "Ish kalau setakat kenduri-kenduri kecil, buat kat kampung ni mana lah orang pakai katering. Buat sendiri je baru puas hati. Bukan susah, semua benda ada."

"Kiranya memang tak boleh nak ambil katering lah ye kalau untuk majlis kecil-kecil?" Soal Syaqila lagi. Tinggi betul rasa ingin tahunya dengan cara-cara orang kampung menyiapkan sesuatu majlis.

Di KL sana, pernah saja papanya buat majlis makan-makan sempena hari raya, sempena ulang tahun syarikat dan lain-lain lagi. Tapi tak pernah sesekali papanya turun sendiri ke dapur siapkan semuanya. Apa susah, upah saja perancang majlis, sekecil-kecil perkara daripada dekorasi, menyediakan meja, khemah, kerusi hingga ke bab besar-besar seperti hidangan makanan, goodies bag dan semuanya siap disediakan pihak yang berbayar.

"Boleh je kalau nak pun, tapi tak sopan lah. Masa rewang ni la masa nak bergaul ramai-ramai, tolong-menolong... kan elok macam tu? Rasa berbaloi lah penat-penat duduk dapur pun bila tengok orang makan." Jawab Puan Saleha ramah.

Sekali lagi bak burung belatuk, kepala Syaqila mengangguk tanda faham.

Diperhatinya Aakif dengan hujung mata, ada sesuatu yang dia mahu suarakan pada lelaki ini. Tapi dengan kehadiran Puan Saleha di ruang yang sama, serba-salah pula dia mahu buka mulut.

Cinta Si DiaWhere stories live. Discover now