Bab 12 | Laut

987 74 5
                                    

"BARANG dalam kereta ni macam mana??" Soal Syaqila seraya mengekor langkah Aakif yang sedang menuju ke tangga untuk naik ke pintu rumahnya.

"Biar jelah dalam tu, nanti-nanti baru ambik."

"Er tapi..." tidak terluah pula apa yang mahu dikata. Sudahlah dia datang tidak berjemput, tak patut pula nak buat perangai mengarah-arah ikut kepala sendiri.

Tapi kalau tak cakap, risau pula dia dengan bunga, sayuran dan buah-buahan yang dibeli dari Cameron Highlands pagi tadi boleh rosak. Sudah berejam lamanya duduk dalam bonet kereta, ada pula yang membusuk dalam sana nanti.

"Kau nak risau apa? Tak ada siapa nak curi lah barang kau tu. Lainlah kalau kau sendiri tinggalkan kunci kereta kat luar." Kata Aakif selamba seraya membaling kunci kereta pada Syaqila.

Tangkas Syaqila menangkap balingan Aakif. Suka hati dia saja, nak tegur pula tak berani. Bimbang nanti ada pula yang kena halau di malam hari.

"Kamu baru balik ke Aakif? Eh, anak dara mana pula kamu bawa balik ni Aakif?" Suara seorang perempuan tua dalam set telekung yang lengkap. Ada nada terkejut pada riak wajahnya tatkala matanya terarah pada seorang gadis yang agak terselindung di belakang tubuh anak lelakinya.

Ada juga terselit rasa risau di dada kalau-kalau ada benda yang mengikut anaknya pulang ke rumah, maklumlah tak pernah-pernah Aakif pulang ke rumah waktu maghrib. Tapi bila terpandangkan kereta mewah di perkarangan rumah, dia yakin yang dibawa pulang anaknya itu manusia bukannya lembaga yang kecelaruan identiti.

Aakif terus menghayunkan langkahnya ke pintu rumah. Syaqila pula cuma mengekor dalam teragak-agak, tepat di hadapan wanita tua itu, langkahnya terhenti. Tangannya disua juga untuk bersalaman. Baru mahu memperkenalkan diri, suara Aakif kuat melaung dari dalam rumah seraya menanggalkan tshirt pada tubuhnya.

"Tu Syaqila mak, anak uncle Syazwan." Setakat itu sahaja dilaungnya sebelum tubuhnya hilang disebalik bilik air.

"Lahh Syaqila ke... kenapa tak cakap nak datanggg!" Teruja dia melihat gerangan gadis itu yang sudi menyinggah ke rumahnya. Tangan yang dihulurkan Syaqila itu disambut sekali lalu sebelum tubuh langsing itu ditarik kemas ke dalam pelukannya.

"Errr... saya tak plan pun nak datang mak cik. Maaf kalau saya dah susahkan mak cik."

"Ishh tak ada apa yang susahnya. Patutlah hari ni mak cik rasa rajin semacam nak kemas rumah. Ada tetamu datang bawa berkat rupanya. Meh lah naik ke rumah mak cik ni." Tangan lembut Syaqila ditariknya masuk ke dalam rumah.

Kelam-kabut Syaqila tanggalkan kasutnya. Boleh tahan kuat tenaga wanita tua yang masih kelihatan gagah dan bertenaga ini.

"Mak cik siap pakai telekung ini ingat nak pergi masjid depan sana, selalu pun macam tu juga kalau ada Aakif baru mak cik nak ke masjid. Kalau tidak mak cik solat kat rumah je. Tapi hari ni Aakif pula balik lambat, risau pulak mak cik nak pergi sorang-sorang...." Cerita perempuan tua itu tanpa dipinta.

"Maaf, tak patut sangat saya datang waktu macam ni." Ujar Syaqila serba-salah.

Lagi bersalah bila teringatkan apa yang berlaku di gerai sebentar tadi. Tentu Aakif yang sengaja melengahkan waktu untuk pulang ke rumah memandangkan lelaki itu kelihatan keberatan mahu biarkan Syaqila ikut pulang sekali.

"Ish tak ada apa-apa lah. Papa kamu macam mana? Sihat ke?"

Berubah riak muka Syaqila apabila soal papanya naik. "Sihat, macam biasa..."

Wanita tua itu tidak bertanya lagi. Dia cuma mengusap lembut belakang tubuh Syaqila apabila melihat riak suram yang terpamer pada wajah itu. Tentu anak ini ada masalah, sampai ke sini larinya... bisik Puan Saleha dalam hati.

Cinta Si DiaWhere stories live. Discover now