Pernah Benci - Bab 4

32 1 0
                                    

TUBUHNYA menggeletar menahan takut. Masih terbayang lagi kejadian yang hampir meragut maruahnya tadi. Dia bernasib baik kerana berjaya melarikan diri. Jujur dia dah tak sanggup untuk pulang ke sana.

Pipinya yang basah diseka dengan hujung baju. Sekarang dia tiada tempat untuk melarikan diri. Wang yang ada di tangannya hanya beberapa puluh ringgit saja. Hanya Daim tempat dia bergantung harap.

"Rai!"

Terdengar suara Daim, dia lekas berdiri. Laju dia berlari ke arah lelaki itu. Tubuh itu didakap kemas. Teresak-esak dia menangis di dada Daim.

"Syhhh... semuanya dah selamat. Kita masuk dalam kereta dulu." Jaket di tubuhnya ditanggalkan dan disarung ke tubuh Raiqa.

Menyirap darahnya melihat baju-T Raiqa terkoyak di bahagian dada. Tangan si gadis ditarik agar mengikutnya masuk ke dalam kereta. Mujurlah hari ini dia meminjam kereta abah untuk berjumpa dengan Wafiq.

Di dalam kereta, dia berusaha menenangkan gadis ini. Luluh hatinya melihat wajah Raiqa pucat dan mata itu sudah bengkak gara-gara banyak menangis. Masih terasa lagi gigilan di tubuh gadis ini.

"Rai dah tak sanggup nak balik sana. Rumah tu dah tak selamat."

"Abang temankan Rai balik. Kita beritahu mak su apa orang tua tu buat kepada Rai."

Laju dia menggeleng. Mustahil mak su percayakan dia. Sudah tentu lelaki itu bijak mencipta alasan. Selama Encik Ghani tinggal di sana, tak pernah sekali pun mak su percayakannya.

"Kita buat laporan polis," cadang Daim.

Tersentak Raiqa. Sekali lagi dia menggeleng. Ada sebab dia tak nak perkara ini sampai ke pihak berkuasa.

"Sampai bila sayang nak biarkan kes ni berlarutan? Abang tak nak orang tua tu makin naik lemak. Sekurang-kurangnya lepas kita buat laporan polis, dia dah tak berani nak apa-apakan Rai."

Raiqa tunduk menekur jari sendiri. Fikirannya semakin buntu.

"Rai sayangkan mak su."

Terkelu Daim. Mereka saling berpandangan.

"Mak su terlalu sayangkan lelaki tu. Kalau hal ni sampai ke pihak polis, dah tentu orang tua tu akan didakwa. Rai takut mak su makin bencikan Rai." Makin deras air matanya mengalir.

Daim bersandar di kerusi. Dahinya dipicit. Dia faham situasi Raiqa. Seburuk-buruk perangai Puan Rosmah, hanya wanita itu saudara Raiqa yang masih ada di dunia ini.

"Dah. Jangan menangis lagi. Rai lapar tak?" Pipi si gadis dielus lembut.

"Rai tak lapar. Rai cuma nak berehat. Badan Rai penat sangat." Kepalanya dijatuhkan ke bahu Daim.

Sejak dia melarikan diri dari rumah mak su, segala urat di tubuhnya terasa lemah. Dia mahu tidur untuk melupakan apa yang berlaku hari ini.

"Abang hantar Rai ke hotel dulu. Buat sementara waktu, Rai tidur di sana. Tentang rumah sewa, jangan risau. Abang dah dapat. Kalau tak ada masalah, nanti Rai boleh tinggal di sana."

Tercengang Raiqa. Hampir saja dia terlupa yang beberapa bulan yang lepas, dia ada menyuruh Daim mencari rumah sewa. "Tak menyusahkan abang ke? Rai tak ada duit."

"Apa-apa perkara yang ada kaitan dengan Rai, tak pernah menyusahkan abang. Abang buat semua ni sebab abang sayangkan Rai. Tentang duit, serahkan semuanya kepada abang."

Terhenyak Raiqa dengan pengakuan Daim. Anak matanya dilarikan ke luar tingkap. Timbul rasa bersalah melihat keikhlasan lelaki ini sepanjang mereka berkawan. Nampak jelas lelaki ini terlalu cintakan dia.

Pernah Benci - Mia AzwariWhere stories live. Discover now