LENA Raiqa sedikit terganggu gara-gara wajahnya terkena kesan percikan air. Keluhan kasar terlepas dari bibirnya. Dia betul-betul mengantuk lagi.
"Janganlah kacau, mak su. Rai nak tidur lagi."
"Sayang... bangun. Subuh dah nak habis ni."
Terbuka luas matanya sebaik saja suara garau itu muncul. Dia terus bangun dari perbaringan. Wajahnya berubah merah saat teringat babak yang berlaku semalam. Cepat-cepat dia menutup seluruh tubuhnya dengan selimut.
Tergelak Daim melihat reaksi si isteri. Boleh tahan liat juga dia nak kejutkan Raiqa. Jam sudah hampir 6 pagi. Sengaja dia mengejutkan isterinya lebih awal untuk solat bersama.
"Bangun sekarang. Pergi mandi. Nanti kita solat bersama."
Terkebil-kebil mata Raiqa. Dia pandang ke arah jam dinding. Macam manalah dia boleh tak terjaga. Kebiasaannya dia sudah bangun jam 5 pagi untuk membantu mak su berniaga.
"Kenapa termenung lagi? Nak abang dukung ke?"
Laju Raiqa menggeleng. Bergegas dia turun dari katil bersama selimut yang masih membaluti tubuhnya.
Daim ketawa besar. Dia bangun sambil menghulurkan tuala.
"Jangan lupa mandi wajib, sayang."
Makin merah wajah Raiqa. Jelingan tajam diberikan kepada si suami sebelum dia menutup pintu bilik air.
Setelah menunaikan solat subuh bersama, Raiqa ingin kembali melelapkan mata. Tubuhnya masih penat gara-gara majlis semalam.
"Eh, sayang nak tidur ke?"
"Ermm... Rai mengantuk."
"Janganlah tidur. Jom kita buat sarapan untuk mak dan abah."
"Hah?" Raiqa tercengang.
Daim tersenyum nipis. Tangan isterinya diraih dan diusap lembut.
"Masa nilah kita nak ambil hati mak dan abah. Abang dapat rasa mak masih marahkan abang. Tapi abang yakin lama-kelamaan mak mesti boleh terima perkahwinan kita."
Menyampah Raiqa mendengarnya. Selama 2 minggu dia duduk di sini, hanya kata sindiran yang diberi. Mentang-mentang dia hanya gadis miskin.
"Pagi ni abang temankan Rai sediakan sarapan."
"Mak abang tu sudi ke makan makanan yang Rai masak?"
"Kenapa cakap macam tu?" Berlapis dahi Daim.
"Selama Rai tinggal dekat sini, Rai nak sentuh dapur mak, dia tak pernah bagi. Setakat kemas dapur tu bolehlah. Takut sangat dapur mak abang tu terbakar," sindir Raiqa.
"Rai dah salah faham. Jangan-jangan dia risau nak biarkan Rai masak." Daim cuba bersangka baik.
Tergelak Raiqa. Dah diagak yang suaminya masih mahu sebelahkan orang tua itu.
"Rai tak pandai masak. Nanti kalau tak sedap, tak pasal-pasal makanan tu dicampak dalam tong sampah." Sengaja dia berbohong. Bukannya dia tak pandai masak. Sekadar lauk biasa, bolehlah.
"Mak abang bukan macam tu. Cuba jangan bersangka buruk." Kali ni nada Daim sudah bertukar tegas. Dia agak terasa apabila emaknya dituduh berkelakuan jahat.
Raiqa berdeham. Bukan niat dia untuk menyakitkan hati si suami. Dia cuma tak nak perkara itu berlaku. Tak mustahil hatinya yang akan sakit jika betul orang tua itu membuang masakan yang dimasaknya nanti.
"Jom, kita ke dapur. Kalau Rai tak pandai, kita boleh tengok YouTube. Semua maklumat di hujung jari."
Nak tak nak, terpaksalah dia menurut. Harap-harap tak adalah dapur mewah Hajah Rogayah itu terbakar.
YOU ARE READING
Pernah Benci - Mia Azwari
RomanceTAJUK : PERNAH BENCI PENULIS : MIA AZWARI BLURB: Cinta pandang pertama Daim terhadap Raiqa membuatkan dia menjadi pencinta setia. Dia sanggup melakukan apa saja asalkan gadis kesayangannya bahagia sehingga mereka berdua berkahwin pada usia muda. Te...