Pernah Benci - Bab 9

51 1 0
                                    

DENGAN sekali lafaz, mereka akhirnya sah bergelar suami isteri. Walaupun majlis ini diraikan secara sederhana, bagi Daim ini sudah cukup bermakna. Lebih-lebih lagi dia berjaya menjadikan Raiqa sebagai miliknya yang halal. Walaupun usianya masih 20 tahun, dia yakin untuk meneruskan perkahwinan ini.

Selepas dia menunaikan solat sunat, majlis diteruskan dengan upacara pembatalan air sembahyang. Pertama kali dia melihat Raiqa bertudung, dia sukar mengalihkan anak matanya ke arah lain. Kecantikan isterinya membuatkan dia terpegun.

Raiqa cuba memaniskan wajahnya. Majlis yang berlangsung hari ini tak seperti yang dia idamkan. Hanya sekadar pelamin kecil dan majlis kesyukuran saja. Malah tetamu yang dijemput ke sini, hanya mereka yang tinggal di kawasan perumahan ini. Nampak sangat keluarga mentuanya tidak ikhlas mengadakan majlis ini.

Ketika sesi bergambar, anak matanya tak sengaja terpandang seseorang di ruang tamu. Terkelu Raiqa. Dia yakin kelibat itu ialah mak su. Bergegas dia turun dari pelamin saat ternampak kelibat mak su keluar dari rumah.

"Sayang nak ke mana?" Daim sempat memegang lengan si isteri.

"Rai nampak mak su. Dia datang juga ke sini." Ceria wajah Raiqa. Dia yakin mak su tidaklah keras hati.

"Mana mak su?" Daim mencari kelibat wanita itu.

"Dia dah keluar. Rai nak jumpa mak su kejap." Bergegas dia keluar dari rumah itu. Tak sempat Daim nak mengikut, ada tetamu yang datang ke arahnya. Terpaksalah dia melayan tetamu sebelum mencari isterinya di luar rumah.

Raiqa berlari anak mengejar. Dari jauh dia sudah ternampak mak su sedang berjalan keluar dari pagar rumah. Makin laju dia berlari ke arah wanita itu.

"Mak su!"

Mati langkah Puan Rosmah. Matanya terpejam rapat. Dia masih tidak berpaling ke belakang.

"Mak su datang." Dia semakin mendekati wanita ini.

"Aku datang sebab tak nak malukan diri sendiri. Nanti apa pula kata orang kalau aku tak datang. Lepas ni, anggap antara kita tak pernah ada hubungan."

Tersentak Raiqa. Kepalanya digeleng perlahan.

"Mak su masih marahkan Rai?"

"Bukan aku marah tapi aku cukup bencikan kau. Sejak kau datang dalam hidup aku, hidup aku terbeban. Selama ni aku berpura-pura ikhlas sayangkan kau. Baguslah sekarang kau dah kahwin. Sekurang-kurangnya hidup aku aman lepas kau berhambus dari rumah tu."

Gugur juga air matanya ke pipi. Dia tak percaya selama ini mak su sekadar berpura-pura. Hanya disebabkan pak su, mak su sanggup berbohong.

"Rai minta ampun. Rai tak ada niat nak susahkan mak su. Rai sayangkan mak su. Demi Allah, Rai tak pernah buat kerja terkutuk tu."

"Aku dah tak nak dengar. Aku datang ke sini untuk tunaikan permintaan Haji Daus. Ingat, jangan kau muncul lagi kat rumah aku! Aku haramkan kau jejakkan kaki ke sana."Puan Rosmah segera berlalu pergi tanpa berpaling ke belakang.

Teresak-esak Raiqa menangis. Dia sangka kehadiran wanita itu untuk merestui perkahwinannya.

"Sayang."

Raiqa menoleh ke belakang. Melihat wajah Daim yang keruh, tahulah dia yang suaminya mendengar perbualannya bersama wanita tadi. Makin menjadi-jadi tangisannya.

Daim segera menarik tubuh si isteri masuk ke dalam pelukannya. Sungguh dia terkejut mendengar kata-kata mak su. Pasti isterinya sangat terluka dengan amaran yang diberikan oleh wanita tadi.

"Mak su dah buang Rai. Rai betul-betul dah hilang mak su sekarang. Dia langsung tak nak pandang Rai."

"Bagi mak su masa. Orang tengah marah, macam-macam yang boleh keluar dari mulut. Abang yakin, mak su sayangkan Rai. Buktinya dia datang ke sini."

Pernah Benci - Mia AzwariWhere stories live. Discover now