Pernah Benci - Bab 6

31 1 0
                                    

AWAL pagi lagi Daim dah bergegas keluar untuk bertemu Raiqa. Semalam dia hanya dapat tidur untuk beberapa jam saja. Malah dia sudah berfikir masak-masak untuk masa depannya bersama gadis itu.

Pagi ini sengaja dia membawa kekasihnya bersarapan di tempat yang agak jauh sedikit. Dia tidak mahu ada sesiapa yang mengenali mereka. Ada perkara yang perlu dia bincangkan secara serius bersama Raiqa.

"Abang tak makan ke?" Pelik pula hanya sepinggan nasi lemak yang dipesan oleh Daim.

"Makanlah. Abang dah sarapan di rumah." Sudu dan garpu dihulurkan kepada gadis di hadapannya.

Berselera Raiqa menjamah makanan. Semalam memang dia tak berselera gara-gara perbuatan pak su.

"Keluarga abang tak pelik ke abang keluar awal pagi?"

"Abang cakap keluar jumpa kawan." Memang itu alasan yang diberi kepada emak sebelum dia keluar dari rumah.

"Mesti seronok kan dapat tinggal dalam keluarga yang lengkap." Raiqa tersenyum kelat. Sungguh dia sangat rindukan suasana hidup bersama arwah ibu dan bapanya. Kenangan bersama mereka, masih kekal dalam ingatannya sehingga sekarang.

"Rai nak keluarga lengkap macam abang ke?"

"Mestilah nak. Tapi mustahil semua tu berlaku. Arwah mak dan ayah dah lama pergi. Mak su pun dah buang Rai."

"Siapa kata mustahil? Rai masih boleh hidup macam abang."

Berkerut dahi Raiqa. "Macam mana?"

"Kita kahwin."

Tak berkelip mata Raiqa. Kahwin? Terkejut juga dia menerima lamaran daripada Daim. Tiba-tiba saja lelaki ini bercakap tentang perkahwinan.

"Abang dah fikir masak-masak. Hanya ini saja cara untuk abang jaga Rai. Abang dah tak sanggup nak biarkan Rai hidup seorang diri dekat luar. Abang yakin mampu untuk jaga Rai."

Selepas berbual bersama abah semalam, dia terus melakukan solat istikharah. Di penghujung solat, dia berdoa semoga diberi petunjuk untuk membuat keputusan. Ketika dia bangun daripada tidur, dia terus teringatkan Raiqa.

Malah dia yakin untuk membuat keputusan berkahwin dengan gadis itu. Cukuplah selama ini mereka berdua melakukan dosa dengan berpegangan tangan tanpa hubungan yang halal.

"Abang tak bergurau kan?"

"Tak. Abang memang nak Rai jadi isteri abang. Kita kahwin ya?"

Serba salah Raiqa. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Kalau ikutkan hati, memang dia nak terima lamaran Daim. Dapat juga dia lari daripada masalah yang sedia ada. Cuma yang jadi masalah, dia belum yakin tentang perasaannya terhadap lelaki ini.

"Bagi Rai masa untuk buat keputusan."

"Rai fikir apa lagi?"

"Abang pun tahu kan keluarga Rai macam mana. Abang dah cukup duit ke nak kahwin?"

"Mestilah ada. Duit simpanan abang dalam bank tu ada. Abang sanggup tak sambung belajar untuk bekerja dulu. Dah stabil, baru abang fikir untuk sambung belajar."

"Macam mana dengan keluarga abang?"

"Abang ada rancangan untuk buat mak dan abah setuju. Yang penting, Rai setuju kahwin dengan abang."

Makin lebar senyuman Raiqa. Tangan kekasihnya diraih dan digenggam kemas. Akhirnya dia mengangguk setuju. Tersenyum Daim. Dia turut membalas genggaman tangan Raiqa.

"Esok abang beritahu mak dan ayah."

"Rai harap mereka boleh terima Rai."

"Insya-Allah. Mereka tentu terima."

Pernah Benci - Mia AzwariWhere stories live. Discover now