GUGUP pasangan itu apabila berada di rumah Puan Rosmah. Setelah 3 hari melarikan diri, baru hari ini dia muncul bersama keluarga Daim. Seperti yang dijangka, kedatangan mereka ke sini agak mengejutkan Puan Rosmahdan Encik Ghani.
"Maaf kalau kedatangan kami secara tiba-tiba. Saya Haji Daus dan ini isteri saya. Tujuan kedatangan kami ni untuk bincang tentang perkahwinan anak saya bersama anak saudara puan." Haji Daus mula bersuara.
Tergamam Puan Rosmah. Tajam dia merenung wajah Raiqa.
"Jadi inilah jantan yang kau bawa masuk dalam rumah aku hari tu?"
Tersentak mereka yang berada di situ. Raiqa semakin gelisah. Janganlah mak su membuat hal di hadapan orang tua Daim.
"Puan cakap apa ni?" Hajah Rogayah sudah mula mencelah.
"Dah 3 hari anak saudara saya larikan diri lepas kantoi bawa jantan dalam bilik. Suami saya yang tangkap. Tapi disebabkan nak selamatkan diri, sanggup mereka cederakan suami saya." Puan Rosmah menjeling ke sebelah. Suaminya sejak tadi cuma menunduk. Pelik pula dengan sikap lelaki ini.
"Kenapa abang diam? Beritahulah mereka apa yang abang nampak," gesa Puan Rosmah.
Terkulat-kulat Encik Ghani. Terasa ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya. Jujur dia agak terkejut melihat kehadiran Raiqa bersama keluarga asing ini. Pada masa yang sama, dia takut perbuatannya tempoh hari bakal terbongkar.
"Dahlah, sayang. Perkara dah lepas. Abang dah maafkan mereka," ucap Encik Ghani.
"Kau tengok. Sampai sekarang suami aku masih nak sebelahkan kau. Dasar budak tak kenang budi!" tempelak Puan Rosmah.
Raiqa menjeling geram. Ikutkan hati mahu saja dia mengamuk. Demi menjaga air muka keluarga Daim, dia terpaksa bersabar.
"Dan kau... patutlah anak saudara aku berubah. Kau bagi pengaruh tak baik dekat budak ni. Sampai sanggup buat perkara terkutuk dalam rumah aku," sembur Puan Rosmah.
"Jaga mulut awak tu. Anak saya bukan macam tu. Saya yakin anak saudara awak yang goda anak saya sampai dia lupa halal dan haram!" Hajah Rogayah membantah.
Keadaan semakin tegang apabila kedua-dua wanita ini bertengkar. Raiqa dan Daim masih menikus di tempat masing-masing. Nak mencelah, mereka sendiri tak berani.
"Sudah!" Tinggi nada suara Haji Daus. Nafas dihembus sedikit kasar. Kepalanya digeleng tanda kesal dengan sikap isterinya yang kurang sabar. Sebagai seorang ayah, dia juga terkesan dengan kata-kata yang dilemparkan kepada si anak. Dia hanya bersabar kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.
"Saya minta maaf atas sikap anak lelaki saya. Mungkin salah saya kerana terlalu memberi kepercayaan kepada anak lelaki saya." Bergetar nada suara Haji Daus.
Makin sebak dada Daim. Perasaan bersalahnya semakin tebal. Gara-gara dia, abah terpaksa menjatuhkan ego dengan meminta maaf atas kesalahan yang tak pernah dia lakukan.
"Lagi 2 minggu, saya nak mereka berkahwin. Saya harap, puan tak keberatan untuk berikan keizinan," ucap Haji Daus.
Encik Ghani kurang senang dengan permintaan keluarga ini. Baginya, Raiqa perlu menjadi miliknya terlebih dahulu.
"Saya dah tak peduli hidup mati dia. Dia nak kahwin ke apa, itu dia punya pasal. Yang penting, saya tak nak ada kaitan dengan dia lagi," sinis Puan Rosmah.
Terasa hangat tubir matanya. Bibirnya dikemam kuat. Kata-kata yang dilemparkan oleh mak su sangat menggores perasaannya. Daim di sebelah turut bersimpati.
"Jangan macam tu, puan. Baik buruk dia, dia tetap anak saudara puan. Jangan disebabkan satu keburukan dia, puan nak buang dia." Haji Daus masih cuba memujuk.
YOU ARE READING
Pernah Benci - Mia Azwari
RomanceTAJUK : PERNAH BENCI PENULIS : MIA AZWARI BLURB: Cinta pandang pertama Daim terhadap Raiqa membuatkan dia menjadi pencinta setia. Dia sanggup melakukan apa saja asalkan gadis kesayangannya bahagia sehingga mereka berdua berkahwin pada usia muda. Te...