BAB 6

123 10 1
                                    

"Macam mana dengan keadaan Captain?"

Setelah suasana reda, kumpulan pembersih daripada Secret Army Malaysia pun datang untuk membersihkan sisa mayat yang tertinggal. Kehadiran mereka mengurangkan sedikit ketegangan yang tiba-tiba tercipta setelah Enzo dirawat oleh dua orang bawahannya. Riak wajahnya yang dingin membuatkan Adam, Hali dan Nisya kaku tak bersuara. Setelah berbulan menerima misi dan berpisah daripada ketua kumpulan mereka, akhirnya Adam, Hali dan Nisya berpeluang untuk bertemu semula dengan Enzo.

Namun, kehadiran mereka tampak tidak direstui.

"Aku baik-baik je," ujar Enzo membalas bagi pihak bawahannya iaitu Hali dan Nisya.

"Kenapa korang datang? Rasanya aku tak panggil," sambungnya dingin.

"Kami terima panggilan merah daripada sistem, jadi kami risau kalau-kalau Captain dalam bahaya," balas Adam sambil menelan air liurnya kelat. Meremang juga dengan tatapan tajam daripada Captain-nya itu.

Anaqi yang berada di dalam pelukan Enzo mengerutkan dahi, ada banyak wajah asing yang tidak pernah dia lihat. Namun, rasa ingin tahu itu tidak berpanjangan setelah melihat wajah Enzo yang berlumuran darah dan juga kecederaan daripada peluru pistol tadi.

"Kakak kenapa ni? Kakak sakit?" soal Anaqi sambil meleraikan pelukan kakak cantiknya lalu membelek wajah Enzo dan begitu juga dengan luka tembakan yang telah dibalut oleh Hali dan Nisya.

"Aku okey... benda ni sikit je kau tak payah risau," balas Enzo yang dingin seperti selalu.

"Tapi," riak wajah Anaqi berkerut dengan titisan air mata yang mulai memenuhi birai mata.

"Bukan salah kau," tambah Enzo seraya memeluk tubuh kecil itu yang terlihat mulai menggigil kerana tangisnya yang pecah.

Tindakan luar daripada akal sihat bagi anak-anak buah Enzo yang menonton perilaku wanita itu, membuatkan mereka saling bertatapan. Masing-masing menayangkan wajah terkejut mereka.

"Siapa budak tu?" soal Nisya setelah lama berdiam diri.

"Tak tau," jawab Adam menggeleng laju.

"Dah-dah, semua okey. Tak ada yang mati," pujuk Enzo sambil menepuk-nepuk lembut belakang badan Anaqi yang terhinjut-hinjut.

Nisya menyiku Adam. Keduanya saling bertatapan dengan wajah yang berkerut. Cara pujukkan captain mereka agak menakutkan bagi budak yang berumur lima tau. Itu pendapat mereka. Manakala Hali pula hanya menggelengkan kepalanya.

"Tap...tapi orang-orang ibu dah cederakan kakak. Kakak akan mati macam mereka. Nanti dah tak ada lagi yang nak temankan Anaqi main," kali ini tangisan dan luahan Anaqi membuatkan Enzo tersentak. Matanya laju menatap kedua bawahannya. Begitu juga mereka.

Kenyataan daripada Anaqi membuatkan dia meleraikan pelukannya daripada tubuh kecil itu. Tak lepas mata Enzo menatap wajah Anaqi yang tertutup dengan kedua tanganya.

"Hey, apa yang kau maksudkan ni? Apa yang dah ibu kau buat dekat kau selama ni?" soal Enzo lembut sambil menekup wajah bujur milik Anaqi.

Sabar Enzo menanti tangisan Anaqi reda begitu juga dengan jawapan kanak-kanak itu memandangkan teruk juga dia menangis.

"Ibu bu...bunuh semua orang. Ibu bunuh Pak Cik Zul. Ibu bunuh Mak Cik Siti... ibu bunuh sesiapa je yang dekat dengan Anaqi," luah Anaqi mengenai rahsia yang tidak pernah dia kongsikan dengan sesiapa pun.

"Anaqi tak nak kehilangan kakak pula. Akak kena lari. Sekarang!" gesa Anaqi pula seraya menarik-narik tangan Enzo yang masih sibuk berfikir tentang maklumat baru yang dia dapat.

BIDADARI BERDARAHWhere stories live. Discover now