Arif tersandar pada pintu setelah masuk ke dalam rumah.
"Aku tak kenal kau."
Keluhannya terlepas. "Dia marah lagi ke?" Teringat akan zaman sekolah rendah mereka yang tak indah buat Arif dihuni rasa bersalah.
"Mawarti tulis apa tu?" Arif menegur, sengaja ingin mengusik gadis itu yang duduk di tepi jambatan sementara menunggu dijemput abangnya untuk pulang.
Pantas Mawarti tutup diari kesayangannya. Muka dia yang tadi berbunga-bunga terus bertukar kelat apabila hobinya terganggu.
"Nah..." Arif menghulur buku catatannya kepada Mawarti.
"Hari ni hari terakhir kita dekat sekolah, mungkin kali terakhir kita jumpa, sekolah menengah belum tentu kita sama sekolah. Kau tak tulis lagi kata-kata semangat dengan tandatangan kau dalam buku aku."
Seperti yang semua orang buat, setiap kali hari terakhir sekolah pasti mereka akan saling bertukar-tukar buku catatan untuk menurunkan tandatangan pada buku masing-masing, memberikan kata-kata semangat atau pesanan terakhir buat pemilik buku. Sama seperti surat tapi bezanya dia ditulis dalam bentuk buku.
Orang terakhir akan pulangkan kepada pemilik buku tersebut setelah satu kelas siap menurunkan tandatangan sebagai kenangan. Itu sudah menjadi budaya turun-temurun di sekolah mereka.
"Nah... Ambillah." Hulur Arif lagi bila Mawarti hanya memandang buku tersebut dengan pandangan keliru.
"Kau kan tak suka orang baca penulisan kau, jadi aku bagi kau yang terakhir untuk tulis apa-apa untuk aku, yang kau suka, nanti aku seorang je dapat baca pesanan kau." Arif tergelak nakal.
"Tak naklah. Tak berminat." Mawarti menolak dengan gaya tak endah. Beg digalas untuk berpindah tempat.
"Jangan macam ni Mawarti, tak sporting lah," Arif tercebik. "Satu kelas kita dah buat, kau seorang je."
"Kan selalunya orang tukar buku tu dengan kawan rapat je."
"Kita dah 3 tahun sekelas, sikit pun kau tak pandang aku macam kawan ke?"
Mawarti geleng.
"Tak apalah, kalau tak nak..." Nada Arif berbaur kecewa. Tangan dihulur pada Mawarti. "Kalau kau tak nak tulis dekat buku aku, sini buku kau, biar aku tulis sebagai kenangan."
Mawarti memeluk buku catatan di tangan sekuat hati.
"Tak nak. Tak boleh." Dahinya berkerut. Dia tak faham kenapa dengan Arif ni sibuk mengacau dia.
"Pergilah dekat kawan kau yang lain, sibuklah!"
"Sinilah..." Arif menarik buku Mawarti.
"Tak boleh!" Geram Mawarti menarik kembali bukunya tapi Arif masih tak mahu lepaskan.
"Mawarti, aku tak tahu apa salah aku, sampai kau benci sangat dengan aku, aku dah ajar kau Matematik..." Arif menarik buku Mawarti ke arahnya.
"Mengungkit!" Mawarti tarik balik. Dalam masa yang sama kakinya mengundur ke belakang menggunakan berat badannya untuk menarik kembali buku tersebut.
"Lepaslah koyak nanti buku aku!"
Prakkk!
"Mawarti!" Arif terjerit bila kaki Mawarti yang mengundur ke belakang itu tersalah pijak kemudian tubuh Mawarti terus jatuh ke dalam sungai. Buku catatan itu terkoyak jadi dua bahagian, satu bahagian sudah terjatuh bersama Mawarti, manakala satu lagi bersama Arif. Helaian kertas berterabur di atas jambatan dan Arif jatuh terduduk di situ.
"Mawarti!" Laju Arif melihat keadaan Mawarti di bawah jambatan.
Gadis itu telah menangis semahunya dalam sungai yang cetek. Pelajar-pelajar yang masih belum pulang hanya mampu memandang keadaan Mawarti dari atas jambatan sebelum mereka tertawa kuat.
"Mawarti kau okay tak?" Arif turun ke bawah jambatan melalui tebing. Cuba memujuk gadis itu, tapi gadis itu hanya menangis semakin kuat. Di sekeliling Mawarti pula bersepah helaian kertas yang terkoyak, dan ada yang sudah hanyut dibawa arus.
"Sini bangun..." Tangan Mawarti cuba dicapai Arif tapi pantas Mawarti tepis.
"Arif jahat!" Jeritnya sekuat hati.
Pelajar-pelajar yang lain hanya mampu tergelak melihat sketsa itu.
Dalam esakan, Mawarti cuba menggagahkan diri untuk bangun, tapi kakinya sakit.
"Mawarti, sini aku tolong." Arif cuba membantu, tapi yang dia dapat hanyalah tolakan dan akhirnya dia juga terjatuh di dalam sungai itu. Masing-masing sudah basah lukus.
"Arif jahat! Arif jahat!" jerit Mawarti dalam esakan.
Seorang pelajar lelaki bersiul di atas jambatan.
"Tengok guys, Mawarti berbunyi! Ni pertama kali dalam seumur hidup aku dengar dia cakap! Hahahah." Tawa Naim meletus bersama pelajar lain.
"Wei, wei tengok ni!" Amirah selaku diva kelas mereka mengutip buku catatan Mawarti yang berselerak di atas jambatan. Keratan kertas yang terkoyak itu dibaca kuat.
"Aku fikir Arif ni sombong, poyo, tapi rupanya dia baik je..."
Tangisan Mawarti terhenti. Arif juga terkedu di tempatnya.
"Dah lama dah aku minat dia ... tapi dia tu popular, mestilah ramai suka dia. Hurm, siapalah aku ni dia nak pandang, kan?" Bacaan Amirah yang penuh diva makin buat semua pelajar yang lain tertawa.
"Tak sedar diri duh budak ni nak suka Arif."
"Wuuu dia suka kaulah Arif, padanlah jual mahal!" Naim makin menyakat. "Poyolah kau Mawarti! Selama ni acah sopan!"
"Ambik buku kau ni!" Amirah lempar helaian kertas ke bawah jambatan dengan helaian kertas yang lain menghujani Mawarti dan Arif di bawahnya. Air mata Mawarti deras mengalir.
"Mawarti..." Arif cuba memujuk tapi gadis itu terlebih dahulu menolaknya ke dalam sungai kembali sebelum berlari naik ke atas tebing.
Kebetulan, Abang Chad baru datang ke sekolah Mawarti dengan basikal untuk menjemputnya.
"Astaghfirullah, kenapa baju basah tu?" Berkerut dahi Abang Chad tengok pakaian Mawarti. Tangisan Mawarti yang tersedu-sedan dan tawa pelajar yang kuat mengilai makin menambah kerunsingan Abang Chad.
"Mawarti, kenapa ni? Dia orang buli kau ke?" tanya Abang Chad lagi. Tubuh Abang Chad dipeluk Mawarti.
"Mawarti nak balik, kaki Mawarti sakit." Adu Mawarti dalam tangis.
"Okay, okay kita balik." Abang Chad memapah adiknya ke atas basikal. Basikal dikayuh menuju ke rumah, tidak dihiraukan suara-suara sumbang yang gelakkan mereka di belakang. Keluhan Chad terlepas.
"Kau nak abang U-turn lempang diorang ke dik?"
"Kayuh je." Belakang Abang Chad dipeluk erat. Air mata yang mengalir selamba dikesat pada baju sekolah Abang Chad yang putih.
Arif berjalan menuju ke biliknya, laci meja dibuka. Di dalamnya, tersimpan buku catatan Mawarti yang hampir hancur tapi diikat dengan tali. Setelah Mawarti pergi, Arif mengutip buku catatan Mawarti yang hanyut di dalam sungai, keratan kertas yang sempat diselamatkan dikutip semula, kemudian dikeringkan satu per satu. Fikirnya ingin dipulangkan semula kepada pemilik asal, tapi dia tak tahu Mawarti tinggal di mana, dan itu merupakan hari terakhir mereka di sekolah rendah.
Tak sangka dia berjumpa dengan Mawarti semula di Australia.
"Dia akan maafkan aku ke?" Buku catatan tersebut dipandang sayu.
****
Aduu sinetron betul, tiba-tiba Arif tak kenal Mawarti.
YOU ARE READING
Hello Neighbor (TERBIT PBAKL 2023)
ChickLitINTROVERTS DON'T MAKE FRIENDS, THEY GET ADOPTED BY EXTROVERTS Hidup di Victoria, Australia merupakan satu perkara yang sukar buat seorang perempuan. Tapi tidak bagi Mawarti, gadis introvert yang hanya keluar rumah 3 bulan sekali. Seorang penulis dan...