ROSS cuba menyembunyikan senyumnya sebaik saja terpandang heroin dalam cerita yang bakal dia arahkan pada hari ini. Pucuk dicita, ulam mendatang. Bagus.
Semalam dia menelefon Encik Zakri, pengurus bahagian akaun meminta agar hadir sama dalam mesyuarat mereka. Dia juga meminta Encik Zakri mengajak pembantunya hadir sama. Alasannya, supaya Encik Zakri tidak terlepas maklumat yang akan disampaikan oleh Mr Kenzi. Selaku klien yang paling besar dalam syarikat Rimbun Consultant tentu saja arahannya akan dipenuhi oleh Encik Zakri.
"Meeting kita pukul berapa?" Kenzi memandang jam tangannya.
"Sembilan pagi bos." Sengaja Ross memanggil dengan panggilan rasmi.
"Ada masa setengah jam lagi. Kita breakfast dekat kafe dululah." Kenzi hendak mengubah haluan langkahnya. Namun segera disekat oleh Ross.
"Kau nak minum dekat kafe tu?" Ross adang dengan tangannya.
"Ada kafe lain lagi ke dalam bangunan ni?" Kenzi berhenti melangkah. Memandang pelik pada Ross.
"Kopi kat situ tak sedaplah. Jom kita terus ke bilik meeting. Aku dah suruh setiausaha Dato Nazri sediakan kopi untuk kau." Terus dia menaip sesuatu di skrin telefonnya.
"Kau dah suruh atau baru nak suruh?" Kenzi dapat menghidu cuak Ross.
"Hei... inilah Rosslah. Semua diatur lebih awal." Ross berdalih. Apabila mendapat balasan daripada setiausaha Dato Nazri, barulah dia menarik nafas lega.
Rancangan asalnya memang dia mahu mengajak Kenzi bersarapan di kafe itu pun. Kopi dan sarapan pagi di situ memang boleh tahan sedapnya. Tetapi apabila terpandang si heroin tadi, terus idea baru muncul di kepalanya.
"My morning coffee... dalam bilik meeting?" Terangkat kedua-dua kening Kenzi merenung Ross. Unbelievable!
"Apa salahnya. View dalam bilik meeting tu cantik. Tak pun kita masuk jumpa Dato Nazri dulu?"
"Nope." Lekas Kenzi menggeleng.
Dalam mesyuarat pun akan jumpa takkan luar mesyuarat pun jumpa lelaki tua tu juga. Malas dia nak bersembang lebih. Nanti mesti Dato Nazri akan buka cerita tentang kenangan dia berurus niaga dengan arwah daddynya. Malas dia nak dengar kisah silam itu. Setiap kali kisah daddynya dibuka setiap kali itu terasa pipinya kebas. Dia tak mahu kisah lama itu diungkit.
Kalau ikutkan Kenzi Holding sudah tidak memerlukan pun khidmat daripada Rimbunan Consultant. Dia sendiri pun memang dah ada pasukan sendiri untuk membantu dia mencari peluang dan memperkembangkan perniagaannya. Tetapi mengenangkan jasa Dato Nazri kepada arwah daddynya sangat besar. Jadi khidmat mereka tetap digunakan. Tetapi selalunya hanya untuk urusan di Malaysia sahaja. Dan untuk projek-projek yang kecil saja.
"Mike, kau belikan sandwic untuk bos."
"Tak payah. Aku nak kopi aje." Terpaksa Kenzi menyambung langkah ke arah lif.
Ross angguk dalam masa yang sama dia menarik nafas lega. Kalau pergi ke kafe terlepaslah peluang untuk Kenzi bertentang mata dengan calon isterinya. Ross tersenyum kecil.
"CEPATLAH lif oi... cepatlah," bisik Fiza mula kelam kabut.
Sekejap memandang ke arah para jejaka kacak itu. Sekejap memandang pintu lif. Kalau lif tiba ketika mereka dah sampai, mesti bodyguard tak benarkan mereka berada dalam satu lif. Tapi kalau dia dah berada dalam lif itu, takkan bodyguard tu nak halau, kan? Fiza tersenyum kecil. Semoga teorinya itu tepat.
"Dah kau menggelabah ni kenapa?" soal Embun, tenang.
"Aku nak satu lif dengan lelaki paling seksi tu."
YOU ARE READING
Novel Kenzi X Embun Oleh Anna Lee
RomanceSuaminya ada skandal dengan kawan baik sendiri! Begitulah klisenya kehidupan Embun Nashmia. Hatinya hancur. Perpisahan dipilih demi ketenangan hati. Namun, kemunculan sepotong kek bersama sekeping kad nama telah menghuru-harakan hidupnya. Mr Ross me...