"KENALKAN, Embun Nashmia, inilah Mr Kenzi Julian." Ross tersenyum kecil.
Embun terus terkaku di situ. Pertama dia terkejut macam mana Mr Ross boleh tahu nama penuhnya sedangkan tadi Encik Zakri hanya memperkenalkan nama depannya saja.
Kedua, dia menelan air liur saat melihat wajah ketat Mr Kenzi. Macam ini Fiza kata seksi? Kalau seram itu memang adalah. Dengan renungan tajamnya. Dengan wajah ketat yang serius. Siapalah perempuan malang dapat lelaki macam ini? Mesti setiap hari kena pukul atau tengking saja. Embun menggeleng.
Dahi Kenzi berkerut. Pertama sebab dia pelik. Kenapa wanita di depannya itu tiba-tiba saja menggeleng? Kedua, dah kenapa nada pak ciknya tadi lain macam saja, ketika perkenalkan wanita itu dengannya? Takkan dia susun mesyuarat ini semata-mata mahu memperkenalkan mereka berdua secara rasmi? Dah tak ada cara lain selain cara extravaganza macam ni?
Heh. Bibirnya mengukir senyum sinis. Tipikal Ross!
Dia senyum sinis lagi? Mata Embun mula mengecil. Besar kecik-besar kecik saja lelaki itu dipandang. Kau ingat kau mafia, aku takut? Hei, negara ni ada undang-undanglah. Hati Embun mencemuh.
"Maaf. Saya tersalah orang tadi." Embun memandang ke arah Ross. Dalam masa yang sama mengerling kepada Kenzi. Lelaki itu masih dengan wajah ketat tanpa secalit senyuman.
"Hal kecil." Ross tersenyum mesra.
Embun menarik nafas lega. Terubat sikit hatinya melihat keramahan Mr Ross. Kakinya melangkah ke arah kerusi kosong di sebelah Encik Zakri. Ketika mereka berbual santai, Embun bangun ingin mendapatkan kopi dan sandwic. Tetapi baru saja dia menolak kerusinya, secawan kopi mendarat di hadapannya. Embun menoleh. Terlihat Salina memberi senyuman paling manis kepadanya.
'Dah kenapa tetiba buat baik dengan aku ni?'
Tidak cukup dengan kopi, satu piring sandwic juga dihulurkan kepada Embun.
Embun termati kata. Hendak bertanya risau nanti ayat pedas yang terkeluar. Sudahnya dia ucapkan terima kasih saja. Namun sekali sekala dia mencuri pandang ke arah Salina. Masih pelik dengan kebaikan Salina sebentar tadi.
"Encik Zakri, you nak apa-apa?" tanya Salina.
"Nope. Dah cukup."
"Mr Kenzi? Nak tambah kopi? Sandwic?" Kali ini Salina memandang ke arah Kenzi.
Kenzi yang sedari tadi membaca sesuatu di telefon bimbitnya terus mengangkat kepala memandang ke arah Salina.
"No, thanks."
Suara serak garau Kenzi kedengaran. Dia kembali menatap skrin telefonnya. Embun mengangkat kepala, memandang sekilas ke arah lelaki itu. Kalau daripada segi suara memang dia akui lelaki itu memiliki suara yang sangat seksi. 'Tapi rupa? Nahh... menyeramkan!' Embun melarikan pandangannya ke arah Encik Zakri yang sedang rancak berbual dengan Mr Ross dan Dato Nazri.
Sementara menunggu mesyuarat dimulakan, Embun kembali menikmati sarapannya yang terganggu sebentar tadi.
"Jadi... Cik Embun, kan? Atau puan?" Tiba-tiba saja terdengar namanya diseru.
Lantas Embun menoleh. Terlihat Ross sedang memandang ke arahnya. Mereka yang lain juga memandang ke arahnya kecuali Kenzi. Sebelum menjawab pertanyaan itu, kelam kabut Embun menyapu mulutnya yang terdapat habuk roti yang sedang dikunyah.
"Cik." Embun berdeham perlahan.
"Emmm... great," ujar Ross perlahan, tersenyum kecil.
Embun menaikkan kedua keningnya. 'Kenapa great?'
YOU ARE READING
Novel Kenzi X Embun Oleh Anna Lee
RomanceSuaminya ada skandal dengan kawan baik sendiri! Begitulah klisenya kehidupan Embun Nashmia. Hatinya hancur. Perpisahan dipilih demi ketenangan hati. Namun, kemunculan sepotong kek bersama sekeping kad nama telah menghuru-harakan hidupnya. Mr Ross me...