Aku majnun dan engkau lailanya,
Mungkin aku gila kerana engkau malamnya,
Engkau sentiasa menghembuskan bayu dingin yang lembut,
Lalu membisikkan rangkap demi rangkap ayat cinta di telinga,
Menyakinkan aku kita punyai syurga dunia,
Imaginasi yang sama,
Memuntahkan segala prosa bahagia,
Menghirup segala perih suka dan duka.Aku majnun dan engkau lailanya,
Mungkin aku gila kerana engkau malamnya,
Berjalan berdua meniti titian yang usang,
Berhati melangkah bersama kau sayang,
Tanpa sedar kudrat hidup tidak sekuat sang belang,
Akhirnya jatuh tersembam ke sungai si mambang.Aku majnun dan engkau lailanya,
Aku gila kerana engkau malamnya,
Kerana begitu indah ciptaan oleh-Nya,
Senyuman manismu buatku tidak keruan,
Lembut suaramu menghapuskan amarahku,
Tutur bahasamu persis puteri misteri yang datang menjengah,
Disempurnakan lagi dengan ayu wajahmu,
Bertudung litup menutup segala prasangka ajnabi kepadamu.Aku majnun dan engkau lailanya,
Iya, aku gila kerana engkau malamnya,
Begitu sukar untuk aku menurutkan rasa hati,
Setelah 24 purnama lebih kita bersama bahagia,
Dipisahkan kerana salah sangka,
Padahal aku tahu kita masih punya rahsia,
Padahal aku tahu kita masih berkongsi cerita.Aku majnun dan engkau lailanya,
Benar, aku gila kerana engkau malamnya,
Sejujurnya aku akur,
Walaupun terpaksa mengukur,
Segala usaha kita bersama,
Membina istana bahagia.Aku majnun dan engkau lailanya,
Maaf di atas keterlanjuran aku selama ini,
Janganlah membenci aku sepenuh hati,
Kerana hati ini pernah mencintai dan dicintai,
Oleh si Laila persis bidadari.Aku majnun dan engkau lailanya,
Setiap doa ku selitkan namamu,
Mengharapkan sesuatu keajaiban akan berlaku,
Kerana itu sahaja yang cuma aku mampu.