Bab 1

1.2K 32 0
                                    

Prolog

RASA ini tak pernah berubah sejak sekian lama. Rasa sedih, resah dan gelisah itu kerap mencelah mengacau-bilaukan perasaan aku. Jujurnya, aku masih tertanya-tanya hingga ke saat ini. Ada masanya, aku sendiri terkejut bila air mata aku mengalir tanpa sedar. Segalanya buat aku tertanya-tanya.

Bila aku berhenti seketika, membuka lipatan memori lalu, aku tahu kisah antara hidup mati itu dah lama juga berlalu. Tiada apa lagi yang menyekat langkah aku. Dan bila aku gali ke dalam memori yang paling dalam, aku sedar sebahagian hati aku sedang menahan aku untuk terus berlalu.

Sebahagian lagi hati itu sedang menahan aku daripada pergi.

Sebahagian hati itu masih mencari.

Sebahagian hati itu masih menjejaki.

Sebahagian hati itu masih berharap untuk disatukan.

Biarpun jasad kini adalah dua.

Aku tahu... hati ini tetap satu.

Hari ini... bila aku bersendiri, cuba melapangkan dada yang sesak, aku terdengar satu bisikan. Bisikan yang pernah aku dengar. Yang masih aku dengar dan yang akan sentiasa aku dengar.

Sampai bila?

Entah.

Aku harap, sampai syurga. 


Bab 1 

PEDIH betul kulit kesan terkena air panas ini. Dah pro pun tetap cuai. Apa nak kata. Sesaat terleka, di sinilah aku. Hospital. Aku pandang lengan yang dah berbalut. Harap tak berparut. Kata Rozie, tak teruk mana. Jangan bagi kena air, barulah cepat baik.

Aku gelak sendiri. Bebelan ma di hujung talian buat aku rasa bahagia. Seorang mak. Begitulah. Macam mana lagi melainkan meluahkan rasa risau dengan bebelan? Aku terima bebelan ma sebagai salah satu cara dia menzahirkan rasa sayangnya pada aku. Anak tunggalnya.

"Tuah tak ada apa-apalah, ma. Kenapa ma nak risau sangat?"

Aku hanya beritahu pada ma sebab aku dah biasa beritahu semua perkara pada ma. Antara aku dan ma, tiada rahsia. Apa sahaja masalah, kecil atau besar... aku akan ceritakan pada ma. Hampir setiap hari lepas waktu kerja, aku akan telefon ma dan bercerita tentang apa yang dah aku lalui pada hari itu.

"You don't ask me why, young lady!" Suara ma keras.

Tu dia. Ma jarang bercakap bahasa Inggeris dengan aku. Sekali ma speaking memang boleh buat aku gelak. Guru lepasan TESL Universiti Kebangsaan Malaysia ni boleh tahan kalau membebel.

"Bertuah budak Tuah ni..."

Aku tahu ma kacip gigi nak marah.

"Ma risau dekat kamu, kamu boleh tanya pulak? Dah tu... Terus balik ke atau masuk kerja semula?" soal ma.

Aku ketap bibir sambil menjeling tangan yang berbalut. Lambat pula nak dapat ubat ni. Ramai sungguh dok beratur di bahagian farmasi ini. Rakan sekerja nak aku terus ke klinik swasta tapi aku juga percaya pada kepakaran rawatan di hospital kerajaan.

Kepala sedang berfikir. Berkira-kira nak balik ke tidak. Medical leave dapat. Tapi, malas nak balik awal. Bukan ada apa pun. Rozie pun tak ada. Nak tengok DVD rasanya semua cerita aku dah tengok. Siap ada ulang tayang lagi. Siaran berbayar yang dikatakan macam-macam ada tu? Itu ajelah yang ada ceritanya pun. Nak baca buku, tiada pula aku beli buku baru sebab tak sempat nak ke kedai buku. Nak beli online, malas pula.

"Tengoklah dulu macam mana. Rumah sewa tu bukan ada orang pun. Rozie syif siang."

"Dah tu nak pergi kerja jugakah ni?"

Aku sengih sendiri. Tak menjawab. Dalam hati memang nak kerja. Aku kan, gila kerja. Apa ada hal. Ma tahu tu. Saja dia buat tak tahu.

"Ma... Tuah nak ambik ubat ni. Nanti Tuah telefon lain, ya. Sayang ma." Talian mati. Aku tahu ma tengah merungut.

Paling tidak pun, dengan tagline kegemaran dia sejak dahulu. Bertuah budak Tuah. Aku hanya mampu mengoyak senyum. Moga masin mulut ma dan aku akan bertuah selamanya. Barulah kena dengan nama Tuah.

Aku baru nak bangun tapi tiba-tiba aje tubuh aku kaku. Ada tangan pegang tangan aku. Merayu, menangis dan merintih. Eh, apa ni? Aku pandang sekeliling. Ada mata mula memandang dengan renungan tanda tanya. Dan ya, mereka tak tak tahu tapi aku pun tertanya-tanya juga. Dia terus menangis, merayu dan meratap.

Eh, ada saudara meninggal ke apa? Sudah... Bukan salah kita. Aku menggeleng dan menjongketkan bahu pada orang yang memandang. Tanda yang aku sendiri tak faham apa yang telah dan sedang terjadi. Rasanya, aku juga mangsa keadaan di sini.

Aku bawa pandangan aku melilau sekeliling. Mana tahu ada set penggambaran ke? Mungkin wanita ini adalah seorang pelakon dan sedang shooting. Tapi, tiada pula.

"Tolong... Tolonglah..."

Pegun. Tak tahu nak buat apa. Pegangan tangan dia kian kejap. Rayuan dia makin menjadi-jadi. Tangisan dan rengekan. Parahlah macam ni. Semua orang dah tengok. Ini bukan salah kita. Bukan. Kita tak bersalah.

Aku mencangkung di depan wanita anggun yang tiba-tiba pegang kaki aku. Nak kata dia ada shooting, tiada kamera. Atau boleh jadi, hidden camera? Siapa tahu, kan? Cumanya, melihat caranya aku tak fikir ini adalah rancangan hidden camera.

"Puan... Okey tak ni?" Baik punya soalan aku. Orang dok menangis awak tanya okey ke tak.

Dia panggung kepala memandang mata aku. Wajah dia sembap. Air mata terus mengalir lesu. Bibir dia bergetar tapi tiada suara pun yang keluar. Tiba-tiba sahaja, seorang lelaki yang aku agak suami dia... dan ya memang suami dia, mendekati. Tersenyum tawar pada aku sebelum dia mencangkung dan memujuk isterinya.

"Maaflah, cik. Isteri saya ni hilang pertimbangan sikit..."

Dia tundukkan wajah dekat dengan telinga isterinya. Memujuk dan terus memujuk tapi hasilnya... Zero. Tidak nampak isterinya termakan pujukan malah tangisnya makin galak.

Wanita tadi pandang aku semula. Dia tiba-tiba bangkit tak hiraukan suaminya. Menarik tangan aku yang berbalut itu. Aku menyeringai menahan pedih tapi suara aku tak keluar pun. Dia berhenti apabila kami tiba sebuah bilik kelas pertama. Mata aku bulat terpandang seorang lelaki muda terbaring lesu dengan wajah sedikit kekuningan.

Entah kenapa... Saat terpandang wajah itu hati aku menjadi sayu. Seperti ada yang menarik aku, aku menapak perlahan. Membawa tubuh aku rapat ke birai katil. 

Hati Yang Kau PinjamkanWhere stories live. Discover now