SUNGGUH. Aku terpanar dengan kata-kata dia. Sampai sanggup nak bayar aku demi bahagia anak dia yang belum tentu bahagia dengan keputusan gila si ibu. Aku mamah rahang menahan marah. Dia ingat aku ni anak ayam boleh beli dekat pasar karat ke? Semudah itu dia nak bayar aku demi anaknya? Lepas tu, ingat keluarga kami ni sengkek ke? Arwah ayah dah tinggal cukup untuk ma dan aku. Pendapatan ma juga besar dengan kelas tuisyennya lagi. Aku sendiri ada kerja dan mata pencarian.
Aku pejam mata rapat. Memujuk hati. Entah kenapa takdir tetapkan di sini aku berada hari ini dan berdepan dengan perkara seperti ini. Bila aku buka mata, pandangan aku dan suaminya bertaut. Aku dapat baca bibirnya yang bergerak meminta maaf atas keterlanjuran kata isterinya. Birai matanya bergenang.
Api marah yang tadinya hampir merecik, padam tiba-tiba. Aku angguk dan mengoyak senyuman tipis.
Benar aku terasa hati. Tapi, bila aku fikirkan balik dengan membayangkan ma, aku faham akan apa yang dia harapkan. Pengorbanan seorang ibu, tiada siapa dapat sangkal. Jika kasih ayah sepanjang masa, kasih ibu pula sampai ke syurga.
Yang menjadi persoalan adalah, aku juga punya hidup sendiri. Biarpun ayah dah lama tak ada tapi aku masih ada ma. Ma yang sentiasa mahukan aku bahagia. Jika aku bawa cerita ini pada ma pun, aku yakin ma tak akan benarkan. Ini semua permintaan gila. Silap-silap ma akan mengamuk sakan.
Nak aje aku cakap pada wanita yang aku tahu namanya As ini, apa yang dia mohon itu sangat tidak masuk akal. Hidup seseorang bukan boleh dijadikan perjudian. Bahagia seseorang tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit.
Tapi, aku juga faham akan rasa terdesak yang sedang dia hadapi. Sementelah, dia tengah sedih dan dia jelas sedang tidak waras. Jadi, aku telan sendiri semua kata-kata itu. Aku renung Khalifh buat beberapa ketika lagi sebelum aku toleh dan mendekati Aunty As dan melutut di depannya. Aku capai tangannya dan aku genggam sedikit kemas.
"Maaf... Tapi, boleh ke saya minta nak sembang dengan aunty sekejap?" soal aku. Mendongak pada suaminya.
Buat seketika, lelaki yang sudah lebih separuh usia ini mengerutkan dahi. Dia kemudiannya angguk dan menjauh. Berdiri di sisi Rozie yang juga nampak tertanya dengan permintaan aku. Kemudian aku bangkit dan menarik Aunty As untuk sama berdiri. Aku tarik tangannya penuh sopan. Mendekati semula katil Khalifh. Mata itu masih merenung kami. Nampak mahu bersuara, tapi dia sepertinya tidak bertenaga. Entah berapa lama dia bertahan demi penyakit ini, aku tak tahu.
Aku biarkan Aunty As duduk di kerusi dan aku melutut di hadapannya.
"Boleh kita panggil... Aunty As?"
Dia diam tak memberi reaksi. Matanya tunak merenung aku. Jelas nampak rasa bersalah melalui pandangan itu dengan apa yang telah dia katakan tadi. Kemudian dia angguk. Mengesat pipi tapi air jernih itu masih mengalir. Cuma tidaklah segalak tadi.
"Ini anak aunty. Nama dia Khalifh, kan?"
"Nik Khalifh," jawabnya pula.
Aku senyum. Dah tahu. Nampak terpampang pada kepala katil sebenarnya. Dekat daun pintu depan tadi pun perasan jugak.
"Jujurnya, kita terkejut bila aunty minta kita bantu. Aunty sendiri dah nampak, kita datang sebagai pesakit. Kita bukan doktor atau pun nurse. Apa yang aunty minta tu tak dapat kita nak tunaikan. Itu di luar kemampuan kita." Senyum lagi. Senyum Tuah biarpun rasa diri tu dah agak kurang bertuah.
"Tapi, kalau kata aunty minta apa yang kita boleh bantu, kita akan bantu. Kita tahu sebagai ibu, aunty terdesak untuk lihat anak aunty sihat semula walau apa cara sekalipun. Kita tak salahkan aunty. Cumanya, permintaan aunty tadi memang tak mampu kita nak tunaikan," jelas aku tanpa berselindung dengan lenggok bahasa yang paling lembut dan sopan.
YOU ARE READING
Hati Yang Kau Pinjamkan
General FictionKita tak nak pulang. Kita nak buat harta KATA ma, nama ini adalah satu doa. Kerana itu dia dinamakan Tuah. Semoga dia sentiasa bertuah. Tapi, bolehkah dia katakan dirinya bertuah bila tiba-tiba muncul seseorang yang memerlukan bantuan bagi menentuk...