Bab 8

193 7 0
                                    

DAH dua kali Rozie cucuk lengan aku. Ambik sample darah untuk diuji. Tahap kesihatan aku kelas pertama. Itu pasti sebab aku ni sangat mementingkan kesihatan. Sejak kecil, aku jarang sangat sakit. Jika demam pun, hanya kurang daripada sehari. Aku akan sembuh seperti sediakala.

"Aku tahu aku dah tanya kau berkali-kali." Rozie mula bersuara sebaik sahaja dia berpaling membelakangi aku.

"Tapi, aku nak tanya lagi tanpa jemu." Kali ini, dia menoleh semula.

"Kau ni betul ke, Tuah?" Dia buka sarung tangan getah. Memicit sanitizer dan melumur pada seluruh tangannya. Dia buka ikatan pada lengan aku dan memandang aku penuh tanda tanya dan tak puas hati.

"Awak ni, Rozie... Kita kan dah sign borang. Kita seriuslah. Mana boleh main-main tentang urusan hidup mati ni," balas aku sambil menekap tempat yang dicucuk tadi. Aku kerling Rozie.

"Exactly, Tuah. Itulah yang aku maksudkan. Ini urusan hidup mati. Kau dah fikir betul-betul ke? Ma kau macam mana?" Rozie hampir mengeluh.

"Kan kita dah cakap dekat awak. Ma kita dah setuju. Kita dah cakap dekat Aunty As." Aku jatuhkan kaki ke lantai. Dah sedia nak berlalu.

"Benda ni bukan mudah, Tuah."

"Kita tahu," balas aku antara dengar dan tidak.

"Pembedahan ini mungkin tak berjaya. Doktor memang tak cakap apa. Tapi sebagai kawan aku risau. Tak kata nyawa tu dekat tangan doktor tapi peluang untuk kau dan Khalifh pergi tu ada..."

Aku faham. Tugasnya sebagai jururawat dalam bilik bedah pasti dah membuatkan dia lihat banyak perkara. Aku nampak dia risau. Aku tahu kerana dia kawan baik aku.

"Aku dah tengok banyak benda sepanjang aku bertugas dalam bilik bedah, Tuah. Aku sentiasa kuat. Tapi, bukan untuk orang yang aku kenal. Bukan untuk kawan baik yang aku sayang," luah Rozie. Dia nampaknya mula beremosi.

Aku senyum. Rasa bertuah sangat. Sebab ada seorang kawan yang begitu mengambil berat tentang aku.

"Aku cakap ni bukan untuk buat kau senyum, Tuah!" Rozie ketap bibir. Menahan geram.

Tapi, aku masih tak dapat tutup yang aku gembira. Jadi, aku senyum ajelah. Dia julingkan mata ke atas. Mula rasa jengkel dengan senyuman aku gamaknya.

"Kita tahu awak sayangkan kita, Rozie. Kita juga sayangkan awak. Awak adalah kawan baik kita. Tapi, ini keputusan kita. Nanti kalau awak tak sanggup nak bertugas masa proses tu, awak mintalah tukar dengan orang lain. Lagipun..." Aku leretkan kata.

"Andai kata kita atau Khalifh... Atau kami berdua tak mampu nak bertahan, maknanya memang dah sampai masa untuk kita dan dia."

Rozie nampak kelu dengan kata-kata aku. Bila berbicara tentang kematian, siapa aje tak risau. Semua orang takutkan kematian. Biarpun semua orang tahu yang mati itu satu kemestian. Syarat untuk mati ini tak banyak. Hanya satu. Iaitu hidup.

"Kita pun takut apa-apa jadi pada kita. Tapi, ini keputusan kita. Selebihnya, kita hanya berserah. Kita harap semua ujian okey dan kita nak cepat-cepat jalani transplant tu. Apa-apa yang jadi semasa atau selepas proses tu, kita tak tahu dan kita hanya boleh berdoa. Awak pun doakan kita, ya?" Aku pegang tangan Rozie yang entah bila hampir dengan aku.

Dia geleng beberapa kali. Masih tak puas hati nampaknya. Tahu dia ambik berat tapi aku sendiri pun tak pernah minta hal ni terjadi. Cumanya itulah. Kenapa aku buat keputusan ini, aku sendiri tertanya-tanya. Kuat sungguh rayuan Aunty As melekat dalam diri aku. Atau juga senyuman dan Khalifh yang lemah itu yang membuatkan aku bulat hati. Entahlah. Tak pasti mana satu.

Aunty As minta tolong dan aku yang buat keputusan untuk menolong. Ma pun dah setuju biarpun berat hati. Bila aku sujud mencari jawapan daripada Sang Pencipta hati, aku masih temui jawapan yang sama. Keputusan aku ini bukan satu keputusan yang tergesa-gesa.

"Apa aje yang aku cakap, kau mesti tak nak dengar dah, kan?" duga Rozie.

"Salah. Kita dengar apa aje yang awak cakap dekat kita."

Rozie buat muka. Aku sengih. Dia tahu aku sengaja loyar buruk dengannya.

"Semuanya akan baik-baik aje, Rozie. Percayalah cakap kita." Aku genggam tangan Rozie kemas.

Bahunya yang tadi nampak tegang, kini nampak kendur.

"Kalau dah macam tu kata kau, aku doakan yang terbaik. Aku tak tahu lagi sama ada aku akan sertai pembedahan tu atau tak. Tapi, kalau semuanya lancar dan tiba harinya, aku harap aku kuat kalau aku kena bertugas masa tu."

"Kita tahu awak kuat dan kita harap, awak ada dengan kita masa tu." Aku sengih.

"Tapi kan..."

Aku kerut dahi. Dah ada lagi tapi Rozie ni ha. Ingat dah selesai.

"Kau katalah aku jahat pun..." Dia raup wajahnya.

Dah kenapa pulak Rozie cakap macam ni? Apa lagi tak kena ni?

"Bila keputusan ujian kau keluar nanti, aku harap kau dengan dia tak match. Tak sesuai."

Hah... Tu dia, harapan Rozie. Nampaknya dia masih tak setujulah dengan keputusan aku ni.

"Dan kalau harapan aku tu tertunai, tak memihak pada niat kau tu... Kau kena terima. Puan Asnariah dan Encik Khalid pun kena reda," putus Rozie.

Pada mulanya, aku nak luahkan rasa tak puas hati dengan harapan Rozie. Tapi dia risau. Aku tahu. Jadi, aku hanya angguk. Jika demikian keputusannya, paling tidak aku dah berusaha. Aku tak akan rasa ralat andai hal yang terburuk itu terjadi.

"Ini... Kau kerja tak? Cuti sakit kau dah habis ke? Nak aku dapatkan cuti sakit lagi beberapa hari?" Dia tilik lengan aku yang melecur. Dah hampir baik.

"Tak naklah. Kita dah berapa hari tak masuk kerja. Kasihanlah dekat semua yang kena cover kerja kita."

"Alaaa... Dah memang sakit, cuti ajelah. Bos kau bising ke?"

"Tak... Dia yang paksa kita sambung cuti sebenarnya. Tapi kita betul-betul dah okey."

"Tak temankan Khalifh ke hari ni?"

Aku geleng.

"Kau ni selalu pelik," komen Rozie.

"Mula-mula aku tahu kau tolak untuk belajar perubatan sebab nak kejar cita-cita kau dalam bidang kopi ni, dah buat aku termenung. Apa yang penting sangat kopi tu nak dibandingkan dengan jadi doktor? Jauh ke Itali kau pergi belajar. Lepas tu pulak, aku perasan kau makin tak minum kopi. Padahal kau barista. Bancuh kopi. Tak ke pelik kalau kau sendiri tak rasa air tu?"

Aku ketawa kecil. Itulah. Aku pun pelik dengan diri sendiri. Aku pun tak tahu kenapa. Masa belajar dulu boleh minum. Segala jenis macam kopi dan dari pelbagai negara aku pasti akan cuba. Sekarang ni bukan tak boleh langsung. Tapi, aku elakkan.

Pada aku, bau kopi itu sendiri sudah dapat tentukan rasanya. Dan aku pakar dalam bauan kopi yang dibrew atau dibancuh.

"Apa nak kata, kan... Kita minat tu sebab tengok drama Korea dulu. Lepas tu pulak, lama dekat overseas, semua orang sana minum kopi. Boleh bilang dengan jari yang minum teh. Lagipun belajar jadi doktor ni stres. Kita tak minat yang buat kita stres," jelas aku padanya.

"Tengok sekarang... Walaupun kita bukan sebahagian daripada mereka yang bertungkus lumus berusaha menyelamatkan orang, kita pun dah jadi sebahagian yang bakal menyelamatkan nyawa orang biarpun bukan sebagai doktor atau jururawat. Cukup sekadar menjadi manusia," tambah aku.

Rozie senyum. Nampak kagum dengan jawapan aku.

Ya, asalkan ada niat dan rasa untuk menolong, hanya sebagai manusia... kita pasti boleh membantu. Tidak perlu mempunyai jawatan tinggi, duit ringgit bergunung atau kebolehan khas. Cukup hanya menjadi manusia yang punya hati dan simpati. Pasti akan boleh membantu setakat yang terdaya.

Itu yang ma dan pa ajar pada aku sejak dulu.

"Aku rasa keputusan ujian ni akan keluar beberapa lagi lagi. Nanti pihak hospital akan telefon kau."

Aku angkat ibu jari dan terus berlalu keluar.

Tuhan... Permudahkanlah segalanya.

Dia berhak untuk bahagia.

Dia berhak untuk segalanya. 

Hati Yang Kau PinjamkanWhere stories live. Discover now