PERGI kerja pun, bos bagi cuti. Tengok tangan aku ni, macam mana nak buat kerja. Mujurlah ada seorang lagi barista junior. Kira aku ni lagi seniorlah biarpun dia lagi tua. Sebab aku dulu balik dari Itali. Aku terus keluar dari Publika dan terus mengambil e-hailing. Jadinya, di sinilah aku. Sekali lagi. Hospital. Jujurnya, aku tak suka bau hospital. Tak suka suasana hospital. Tak suka dengar jeritan dan tangisan. Semua tak suka.
Buat seketika, aku pandang nama pada pintu bilik. Nik Khalifh Nik Khalid. Ada ketika, menyebut nama dia juga dah buat aku meremang. Entah apa yang ada pada nama lelaki ini, aku tidak tahu. Entah apa juga hikmah untuk takdir bawa aku di tengah keluarganya. Aku masih tertanya-tanya dan menanti hikmah itu hadir. Buat seketika aku senyum tipis sebelum mengetuk pintu dan membukanya sedikit.
Aku beri salam. Aunty As menoleh. Hari ini tak nampak pulak Uncle Khalid.
"Tuah dah datang?" Dia senyum dan terus mendapatkan aku yang baru rapatkan daun pintu. Boleh pulak kami jadi kawan. Kadang-kadang aku tertanya-tanya, dia nak aku jadi kawan anak dia atau nak aku jadi kawan dia? Aku ketawa dalam hati. Bolehlah daripada tak ada. Aku sendiri pun hanya ada Rozie sebagai kawan.
"Tak kerja ke?" soal dia separuh berbisik.
Mungkin sebab semalam aku beritahu aku akan datang dalam beberapa hari lagi sebab aku kerja dan perlu atur semula jadual aku. Itu yang dia tak sangka aku akan muncul di sini hari ini.
"Bos paksa cuti." Aku senyum dan tunjuk lengan yang berbalut.
"Kenapa dengan tangan?" soalnya. Jelas risau.
Aku rasa dia sendiri tak perasan tangan aku berbalut masa jumpa aku beberapa hari sudah.
"Terkena air panas di tempat kerja."
"Tuah kerja apa?"
Mungkin dia tak boleh nak teka apa kerja aku sebab terkena air panas.
"Kerja biasa-biasa dekat kafe aje, aunty..."
Kali ini, kerutan pada dahinya terentang jelas.
"Dekat restoran mamak ke?" tekanya.
Aku hampir nak ledakkan tawa tapi sempat aku tahan. Maka yang terbentuk pada bibir aku hanyalah senyuman yang mencuit hati melihat wajah seriusnya.
"Bukan. Kita kerja dekat satu kafe ni dekat Publika."
Andai orang tanya, kenapa aku pilih kerja tu... Dah tentulah sebab itu minat aku dan aku mempunyai kelulusan dalam bidang itu. Malah gaji yang aku dapat juga tinggi. Padanlah andai nak dibandingkan dengan apa yang aku dah belajar serta jarak dan masanya.
"Waiter?" tanya dia.
Aku senyum. Geleng tak, angguk pun tak. Yang pasti bukanlah waiter. Cuma kerja dalam kafe tu aje. Malas nak cerita nanti orang tanya apa kerja aku tu. Sudahnya nanti, cerita pasal kerja pulak. Orang sakit ni terlantar gitu ajelah ke sudah.
"Aunty sihat hari ni?" Aku ubah tajuk perbualan. Sesekali mata aku menjeling Khalifh yang lena tidur.
"Macam mana Khalifh hari ni?"
Aunty As pandang juga pada Khalifh.
"Ada masanya sedar, ada masanya dia lena macam tak akan jaga dah. Doktor baru lepas keluar tadi. Doktor cakap dia tengah usaha untuk cari penderma. Kalau tak jumpa, dia tak boleh buat apa. Harap Alifh terus mampu bertahan..."
Mendengarkan suara Aunty As, rasa sayu itu masih menusuk ke hati aku. Aku senyum tawar. Kami duduk di sisi katil di atas kerusi. Aku dekat dengan kaki dan Aunty As dekat dengan kepala. Demi Tuhan, debaran dalam dada aku kian menjadi-jadi.
YOU ARE READING
Hati Yang Kau Pinjamkan
Tiểu Thuyết ChungKita tak nak pulang. Kita nak buat harta KATA ma, nama ini adalah satu doa. Kerana itu dia dinamakan Tuah. Semoga dia sentiasa bertuah. Tapi, bolehkah dia katakan dirinya bertuah bila tiba-tiba muncul seseorang yang memerlukan bantuan bagi menentuk...