Bab 5

369 17 1
                                    

Aku gagau telefon bimbit yang masih ada di dalam beg. Menekan speed dial dan terus menghubungi ma. Beberapa kali deringan, aku dengar ma memberi salam. Boleh jadi dah lepas kelas. Aku pun tak pernah-pernah kacau ma waktu dia mengajar. Harap sangat ma tengah free.

"Ma dah habis mengajar ke?"

"Kenapa tanya? Ma dengan student ni..."

Aku diam. Cuba mendengar dengan lebih jelas tapi sunyi sepi. Ma adalah guru pakar bahasa Inggeris. Ada bilik dan ruang sendiri.

"Ma, please..."

Ma gelak. "Sorry, Tuah. Ma baru lepas kelas. Nak pergi kantin kejap. Nak beli kuih sikit. Lapar pulak. Kenapa telefon ni? Jarang Tuah telefon ma waktu sekolah?"

Aku diam lima saat. Telan liur dua teguk. Tegakkan badan.

"Ma, kalau kata Tuah nak dermakan sesuatu, boleh tak?"

"Derma apa?" tanya ma.

"Boleh aje kalau perlu." Tapi, tak sempat aku jawab, dia pantas menyambung.

"Lagipun kita ada lebih tak salah menderma pada yang kekurangan. Kenapa tanya? Ini hal baik, tak perlu tanya ma."

"Maknanya Tuah boleh buat keputusan sendiri, ya?"

"I believe you can make you own judgement, my dear..."

Erm... Ma beri jawapan positif sebab ma tak tahu aku nak derma apa.

"Tapi, nak derma apa? Jangan cakap nak derma mata pulak..." Ma meneka dalam kesamaran. Tak betul tapi agak tepat.

"Hati."

"What?!" Ma menjerit. Kuat. Sampaikan aku terpaksa jauhkan telefon dari telinga aku. Nanti tak pasal-pasal aku hilang pendengaran pula. Tapi, aku tahu ma terkejut.

"Tuah gurau dengan ma eh?" Suara mak berbisik tapi penuh amaran.

"Tak." Sepatah aku nafikan.

Aku yakin, jauh di sudut hati seorang ibu, ma tahu yang aku serius. Aku tak pernah usulkan perkara andai aku belum pasti tentangnya.

"Ma tak boleh terima. Tuah tak boleh nak derma hati pada sesiapa. Jadi apa-apa dekat Tuah, macam mana dengan ma?" Suara ma kedengaran bergetar setelah beberapa ketika dia mendiamkan diri.

"Tapi ma... He needs help."

"He? Who is he?" soal ma keras.

"Setahu ma, Tuah tak pernah ada 'he' dalam hidup Tuah!" tekan ma.

Aku ketap bibir tak berani dah nak jawab. Ma kalau bertegas macam ni, makin aku pujuk makin keras hati dia.

"Teman lelaki Tuah?"

Aku diam. Nak mengaku pakwe ke tak, ya? Bukan pun. Tak kenal pun sebenarnya. Kenal begitu ajelah. Ini dah terjanji, nak tarik balik macam teruk sangat. Lagipun urusan hidup mati ini urusan Tuhan. Andai kata tak derma pun, kalau dah sampai masa, mati jugak.

"Bakal suami Tuah ke?" sergah ma bila aku diam.

"Tuah Nur Khalifah!" Nama aku bergema dalam talian.

"Ya, ma..." Aku menyahut perlahan.

"Sejak bila Tuah ada teman lelaki dan rahsiakan daripada ma? Bukan ke ma dah cakap ma tak suka apa-apa rahsia. Tak kesahlah perkara apa." Suara ma kedengaran jauh hati biarpun tegasnya masih terasa.

Aku picit pelipis. Ma dah salah faham. Ya yang aku katakan tadi bukan mengeyakan yang aku ada teman lelaki. Tapi, aku sekadar menyahut bila ma memanggil nama penuh aku.

"Ma... Tuah tak rahsiakan apa-apa."

"Kalau dah ada teman lelaki yag sakit tenat, dan baru sekarang Tuah mengaku pada ma... Tak ke ni dikira rahsia?"

"Tuah tak maksudkan macam tu..." Ma betul-betul dah salah faham. Kalau ikutkan, aku suka pandang mata Khalifh. Wajahnya yang tak bermaya itu nampak tenang. Apatah lagi pandangan mata kuyu itu membuatkan jantung aku berdegup laju sedikit daripada biasa. Tapi untuk angkat dia jadi calon suami tu jauh sekali.

"Niat Tuah baik, kan?" tanya aku. Tak lagi cuba membetulkan salah faham ma tentang hubungan aku dah Khalifh. Kerana aku tahu, ma sudah mula simpan syak sikit pada aku.

Kali ini giliran ma pula mendiamkan diri. Aku dengar dia mengeluh perlahan. Berat dan sarat.

"Niat Tuah memang baik," ujar ma.

"Ma bangga anak ma ni mulia hati sungguh tapi Tuah kena fikir tentang ma. Lepas pa tak ada, ma ada Tuah sorang. Kalau jadi apa-apa pada Tuah, macam mana dengan ma? Tuah rasa ma akan bahagia ke?"

Soalan ma buat aku terkedu. Aku dapat bayangkan betapa sedihnya ma sekarang dengan berita yang aku baru khabarkan. Tapi, saat ini juga aku terbayangkan wajah Aunty As yang basah dengan air mata. Yang tidak dihiraukan lagi segalanya. Hanya mahu Khalifh diselamatkan sahaja. Sungguh, simpati aku tumpah pada Aunty As. Biarpun di dalam kepala aku masih jelas dengan kata-kata Khalifh pada ibu ayahnya. Aku tahu, dia anak yang baik. Kerana itu ibu dan ayahnya mahu berkorban apa sahaja.

"Bila Tuah dengar ma merayu macam ni, Tuah macam dengar suara rayuan dan tangisan Aunty As semalam." Aku koyak senyum pada diri sendiri. Kelat rasanya.

"Dia pegang kaki Tuah minta Tuah tolong anak dia. Masa tu, Tuah tiba-tiba nampak ma dan Tuah dalam situasi macam tu. Andai suatu hari Tuah sakit macam tu, ma mesti merayu dan sanggup buat apa sahaja untuk selamatkan Tuah," ujar aku.

Ma diam. Tak berkata biarpun sepatah. Aku hanya dapat dengar helaan nafasnya yang mula dirundung sebak. Aku koyak senyum tipis.

"Tuah sendiri tak sangka yang Tuah ada keberanian nak bantu dia. Padahal ini adalah urusan hidup dan mati. Tapi, bila Tuah rasa nak bantu dia, Tuah dah berserah. Siapa tahu, kalau Tuah bantu dia, dia akan ada peluang untuk terus hidup sikit masa lagi dan temankan ibu ayah dia. Tuah juga tahu ma akan berat hati. Ma akan sedih. Tapi, Tuah yakin sesuatu. Bila Tuhan pandu hati Tuah untuk bantu dia, Tuah benar-benar berserah. Ma izinkan, ma doakan, ma restu... Semuanya berjalan lancar," pujuk aku.

Harap sangat ma faham. Sementelah sejak kecil ma dan pa sentiasa menyebut tentang betapa besarnya rahmat bila membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan. Malah ma dan pa sendiri banyak membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Sehingga hari ini, ma sendiri masih aktif membantu pelajarnya sendiri serta orang lain. Ma aktif menjadi pengerusi dalam persatuan yang ditubuhkan.

Boleh jadi kerana itu timbul rasa yang sama dalam hati aku. Dan rasanya aku dah bulat hati nak bantu Khalifh. Hati aku ini pun pinjaman daripada Tuhan. Bila-bila masa Dia boleh tarik balik. Tak salah kalau aku berkongsi pinjaman ini pada orang yang memerlukan.

"Ma tak boleh, Tuah..." Suara ma dah teresak.

"Ma tahu... Ma dengan arwah pa selalu ajar Tuah untuk bantu pada yang memerlukan. Biarpun saat tu kita sendiri pun tersepit. Tuhan akan lapangkan untuk kita asbab bantuan yang ikhlas tu. Tapi, bantuan yang ma dan pa beri dan apa yang Tuah nak beri ni berbeza sangat. Ma tak boleh. Cakaplah ma pentingkan diri. Ma tak boleh!"

Ayat akhir ma jelas kedengaran sebagai penegasan.

Bila aku timbang kata-kata ma, benar apa yang dikata. Kerana itu, aku pula diserang rasa bersalah. Paling bersalah aku dah buat ma menangis buat kali kedua seumur hidup ini. Kerana ma hanya menangis kerana aku semasa aku dilahirkan bagi menggambarkan betapa gembiranya dia. Kali kedua adalah sekarang. Aku raup wajah. Apa aku nak buat ni? Aku benar-benar nak bantu Khalifh untuk ada di atas dunia. Aku tahu dia anak yang baik. Melihat pada pengorbanan ibu ayahnya, dia memang anak yang taat.

Ibunya menangis bukan kerana kehendak Khalifh. Tapi, ma menangis sebab kehendak aku yang tiba-tiba aku rasakan begitu pentingkan diri sendiri.

"Tuah minta maaf, ma... Tuah anak yang tak taat." Sudahnya, air mata aku juga mengalir. 

Hati Yang Kau PinjamkanWhere stories live. Discover now