PANGGILAN aku dan ma bertahan untuk beberapa minit lagi tapi tiada suara yang kedengaran melainkan tangisan dan keluh-kesah masing-masing menyapa perasaan. Akhirnya, keputusan tak dicapai. Ma menangis. Aku pun rasa sebu. Buat ma sedih. Dulu semasa pa pergi, ma sedih tapi tak menangis macam ni.
Aku hanya lihat air matanya mengalir. Lepas tu, bila aku tolak untuk buat perubatan kerana tak minat, ma sedih tapi dia sokong aku terbang ke Itali semata-mata nak belajar tentang kopi. Dan sekarang jadi barista di sebuah coffee house terkemuka di kota raya. Ma senyum bangga kerana dia sentiasa yakin dengan keputusan dan pilihan aku. Tapi sekarang ni...
Aku tengah bersiap untuk pergi kerja bila telefon aku bergetar di dalam poket dan bila aku lihat skrin, nama dan wajah ma terpampang. Aku senyum tipis tapi cukup manis. Harap segalanya kembali seperti sedia ada dan aku sendiri dah buat keputusan demi ma. Demi untuk tak lihat lagi ma menangis. Itu adalah sesuatu yang tak mampu aku tanggung.
Dan keputusannya, aku akan sekadar menunaikan janji aku untuk temani Khalifh. Yang ini pun dah tahu. Cumanya, aku akan batalkan niat aku untuk derma sebahagian hati aku untuk Khalifh.
"Ma dah habis kelas?" Aku pandang jam. Baru nak masuk jam dua belas setengah tengah hari.
"Hurm. Tapi, ma ada kelas tambahan untuk semua pelajar nak periksa. Jam dua setengah nanti. Ma nak prepare bahan sikit. Itu call Tuah. Tuah nak pergi kerja dah ke?"
"Belum. Tengah bersiap juga."
"Habis kerja jam sepuluh nanti terus balik, ya?" pesan dia. Seperti biasa.
Aku senyum dan angguk. "Ya..." jawab aku perlahan sebab aku tahu ma tak nampak aku angguk.
Aku gembira sebab ma sepertinya dah kembali seperti sediakala.
"Hurm... Ni Tuah ada benda nak cakap dekat ma."
"Ma pun sama. Tapi, Tuah cakap dululah."
Kami sama-sama diam seketika. Aku tarik nafas dalam sebelum mula bersuara.
"Mula-mula Tuah nak minta maaf sebab buat keputusan yang pentingkan diri sendiri tanpa fikirkan ma. Tuah buat ma sedih. Buat ma menangis. Tuah minta maaf untuk itu. Paling penting, Tuah dah buat keputusan untuk tak teruskan niat Tuah tu. Tuah hanya sekadar boleh tunaikan janji Tuah pada Aunty As untuk temankan anak dia. Berkawan. Boleh jadi, dia tak nak anak dia kesunyian. Itu aje yang boleh Tuah lakukan. Ma jangan risau. Tuah tak akan pertaruhkan urusan hidup mati lagi," beritahu aku dengan lembut, tenang dan tersusun.
Ma masih diam. Aku kerut dahi. Patutnya ma teruja dengan keputusan yang aku buat tapi aku dengar keluhan. Kejap... Kenapa ma mengeluh? Ini adalah keputusan yang aku buat selepas semalaman berfikir.
"Ma maafkan Tuah. Kenyataannya, tiada apa yang ma nak maafkan. Tuah tak salah apa pun. Ma yang sensitif sebab Tuah satu-satunya anak ma." Ma akhirnya bersuara. Seperti aku juga, kedengaran cukup lembut, tenang dan tersusun. Malah aku dapat rasa dia sepertinya sedang senyum di sebalik bicaranya.
"Bila ma fikir semula dan ma tanya diri ma... Ma bangga sebab sifat baik hati Tuah yang ma dan pa semaikan sejak kecil, rupanya dah tumbuh rendang. Dah boleh mula bagi keredupan pada orang lain untuk berehat dengan begitu nyaman dan menenangkan. Ma bangga sangat. Biarpun bantuan yang Tuah nak berikan tu begitu besar dan hebat nak dibandingkan dengan ma dan pa, ma tahu... itu adalah hasil asuhan kami," beritahu ma penuh makna.
Dia diam beberapa saat lagi. Boleh jadi, mengumpul semangat untuk berkata-kata akan sesuatu yang dia sendiri berat hati untuk restui. Aku tahu itu.
"Tuah yakin dengan keputusan Tuah untuk tak bantu dia?" soal ma tiba-tiba.
"Hurm... Lagipun Aunty As tak minta lebih. Mula-mula tu, yalah. Macam yang Tuah cerita pada ma. Tak ada rahsia. Rozie jadi saksi." Ya, aku dah ceritakan semua kejadian di hospital hari tu pada ma tanpa tinggalkan sedikit pun.
"Dia cuma minta Tuah temankan anak dia. Jadi kawan buat sementara. Katanya hingga Khalifh sembuh. Tapi, seperti Tuah cakap. Rozie kata itu semua hampir mustahil. Jadi, Tuah rasa apa salahnya Tuah temankan dia. Sebab dia pun dah lama terlantar. Mungkin dia kesunyian. Rasanya ini ajelah yang Tuah mampu lakukan sebagai manusia. Nak bantu dari segi kewangan, Rozie kata keluarga diorang pun kaya-raya," jelas aku.
"Kalau dah itu kata Tuah, ma tak akan bangkang. Tapi, ini pula keputusan ma. Tuah boleh timbang tara apa sahaja. Ma tak akan sekat dan ma akan restui apa sahaja niat baik Tuah. A kata Tuah... Maka A la pada ma."
Aku dapat dengar ma tarik nafas dalam.
"Andai ma berada dalam situasi tu dan Tuah yang terbaring lesu atas katil hospital tu, ma juga akan buat perkara yang sama. Boleh jadi, akan lebih daripada itu. Sebagai ibu, ma tahu kenapa begitu sekali ibu Khalifh merayu Tuah. Ma faham. Jadinya, ma izinkan. Andai kata ujian semua membolehkan Tuah jadi penderma pada Khalifh, ma doakan semuanya berjalan lancar untuk Tuah, dia dan kita semua. Jika tak sesuai, ma tetap doakan moga niat baik Tuah ni Tuhan balas berlipat kali ganda. Selebihnya, terserah pada Tuah untuk kekalkan keputusan Tuah atau nak ubah balik. Ma restui. Ma doakan. Untuk Tuah tahu... ma bangga anak ma ada hati yang mulia macam ni." Penutup kata, aku dapat dengar juga ma cuba menahan esakan.
Aku tekup mulut. Gamam. Terkejut dengan kata-kata ma. Berat lidah aku untuk berbicara.
"Ma..." Hanya satu patah kata itu yang mampu terbit dari mulut buat masa ini.
"Tuah jangan rasa bersalah. Niat Tuah baik dan Tuhan akan bantu."
"Terima kasih, ma..." ucap aku penuh emosi.
"Sama-sama. Ma sayang budak bertuah ma ni." Ma ketawa kecil.
Begitulah dia bila aku buat keputusan yang mengejutkan. Seperti yang dicanang, kata-kata ibu itu doa. Aku sentiasa bertuah. Siapa tahu, membantu Khalifh ini juga merupakan salah satu tuah yang belum aku nampak kehadirannya.
"Tapi, nama dia Nik Khalifh, kan?"
"Hurm..." Aku mengeyakan ringkas.
"Dia tahu tak nama Tuah... Nur Khalifah?" soal ma.
"Tak. Dan Tuah nak kekalkan macam tu. Biar dia tak tahu."
"Selamanya?" Ma kedengaran terkejut.
"Hurm... Selamanya." Aku memberi jawapan. Yakin.
"Ma bangga," balas ma.
Aku faham makna bangga yang ma berikan. Kerana sejak sekian lama aku dididik. Tangan kanan memberi, biarlah tangan kiri tidak pernah mengetahui.
YOU ARE READING
Hati Yang Kau Pinjamkan
General FictionKita tak nak pulang. Kita nak buat harta KATA ma, nama ini adalah satu doa. Kerana itu dia dinamakan Tuah. Semoga dia sentiasa bertuah. Tapi, bolehkah dia katakan dirinya bertuah bila tiba-tiba muncul seseorang yang memerlukan bantuan bagi menentuk...