PENING juga kepala memikirkan apa yang terjadi. Aku dapat tahu dari apa yang Uncle Khalid terangkan semalam, Aunty As hilang pertimbangan setelah doktor katakan tak boleh nak buat apa-apa pada Khalifh, anak tunggal mereka. Aku tahu nama Uncle Khalid pun sebab dia kenalkan diri masa temankan aku ambil ubat.
Kata Uncle Khalid, andai tiada penderma, mereka hanya mampu reda. Nak usaha pun tak boleh. Aku masih samar tentang sakit Khalifh memandangkan Uncle Khalid tak jelaskan lebih lanjut. Mungkin tak mampu nak terangkan. Yang pasti, tentu berkait dengan hati.
Aunty As jatuh depan aku masa mereka sama-sama nak berjalan ke kafeteria hospital. Kata Uncle Khalid, makan minum Aunty As tak menentu. Lenanya juga hanya seketika. Sejak Khalifh masuk hospital, sekalipun Aunty As tak balik ke rumah. Kerana itu tubuhnya longlai dan terjelepok di depan aku.
Aku pandang ke atas. Adakah ini yang dikatakan jodoh dari langit? Terus jatuh di kaki. Hidup aku ni aman selama ini. Selain daripada ReFreshO Coffee House, rumah ajelah tempat aku. Hari ini Rozie pun dah tukar syif lagi. Masuk malam. Aku sedang bersiap nak ke tempat kerja saat wajah Rozie terjengul di depan pintu.
"Tangan dah okey?" tanya dia lantas duduk di birai katil bujang aku.
Aku angguk dan senyum pada dia dari dalam cermin. Lilitan terakhir selendang aku lilit kemas. Pin pada tepi kepala dan siap.
"Apa cerita sebenarnya ni, Tuah?"
Aku tahu Rozie memang tak puas hati. Semalam pun dia siap WhatsApp aku bertalu-talu tanya apa yang dah jadi. Padahal dia dah dengar cerita daripada Uncle Khalid. Aunty As heret aku yang tak bersalah ni. Menjadikan aku watak utama dalam drama tak ada tajuk tu.
"Uncle dah cerita semalam, kan?"
"Ya, tapi aku macam pelik." Rozie kerut dahi.
"Kenapa kau?" Ayat dia jelas tak puas hati.
Cara dia pandang aku macam aku pulak yang sengaja berada di tengah keluarga itu. Dia ingat aku suka ke jadi macam ni? Aku sendiri masih keliru dengan apa yang jadi. Rasa macam tak percaya. Betul ke semua itu berlaku pada aku? Sekarang, tak pasal-pasal aku janji dengan Aunty As. Lepas kerja karang, memang kena ke sanalah. Dahlah aku tak cerita lagi dekat ma. Mahu pengsan ma nanti.
"Awak ingat kita suka ke, Rozie?" Aku pandang Rozie sambil bertenggek di birai almari cermin solek.
Rozie gigit bibir bawah. Mata dia memandang aku. Nampak masih syak aku sembunyikan sesuatu.
"Kalau aku tak kenal kau, aku akan cakap kau ada teman lelaki dan Khalifh itu adalah teman lelaki kau. Lepas tu pulak, kau sembunyikan dari semua orang, termasuk aku. Lebih sedih, kau kantoi pulak dengan aku."
Ergh... Dah pulak Si Rozie ni karang cerita. Aku julingkan mata ke atas. Dia ketawa kecil sebelum riaknya kembali serius.
"Kau tahu dia sakit apa?"
"Yang pasti berkait dengan hati, kan?"
"Hemochromatosis." Sepatah kata-kata Rozie buat aku berkerut muka.
"Sakit apa tu?" Manalah aku tahu kalau dia tak terangkan. Dia nurse, aku ni barista.
"Sejenis penyakit hati. Atau bahasa mudahnya, terlebih zat besi."
Aiseh, terlebih pun payah, kurang pun payah.
"Sakit ni berpunca daripada gangguan metabolik yang menyebabkan banyak zat besi disimpan dalam badan. Zat besi yang berlebihan akan berkumpul dalam tisu hati, pankreas, jantung. Boleh menyebabkan keradangan hati, cirrhosis, kanser hati dan kegagalan hati berfungsi," jelas Rozie.
Aku terangguk-angguk buat-buat faham tapi apa yang aku faham sekarang, penderma yang Uncle Khalid maksudkan adalah penderma organ. Dan organ itu adalah hati? Gitu?
"Macam mana boleh jadi?" Aku mula menaruh minat. Yalah, bakal calon suami tu. Konon.
"Hemochromatosis ni penyakit keturunan pun ya..."
"Hah?" Aku terlopong. Keturunan?
"Kita tengok ibu ayah dia sihat aje?"
"Puan As dan suami dia, Encik Khalid dah jalani pemeriksaan. Sampai sekarang diorang check up lagi nak pastikan diri bebas daripada sakit ni. Cuma sayang, terkena pada anak tunggal dia. Apa nak kata, kan? Sakit Tuhan bagi, penawar pun daripada Dia. Kita hanya boleh usaha dan aku nampak Puan As berusaha betul untuk anak dia." Rozie senyum kelat.
"Hospital swasta tak akan buat kes-kes kronik macam ni. Sebab tu dia ada dekat hospital tu. Sekarang ni tengah cari penderma yang sesuai. Bukan hati tu aje, tapi darah, tahap kesihatan penderma. Semuanya berisiko. Boleh jadi pemberi tu pergi dan penerima sihat. Atau pun kedua-duanya pun boleh meninggal. Kami tak tahu. Lagipun mana adalah orang nak donate separuh hati dia pada orang lain, kan? Nak-nak bukan keluarga sendiri. Dahlah keluarga dia tu spesies anak tunggal aje semua. Tak ada adik-beradik lain. Itu yang parah sikit," cerita Rozie.
"Ibu ayah dia tak boleh?"
Rozie geleng. "Atas faktor usia tu memang tak bolehlah. Lagipun hospital dah buat ujian, memang tak sesuai. Kadang-kadang tu tak semestinya ahli keluarga tapi orang lain pun boleh. Cuma sanggup dengan tak ajelah..."
Aku termenung sendiri. Berkira-kira akan pertolongan yang Aunty As mintak daripada aku. Permintaan jenis macam mana sebenarnya? Nak aku temankan Khalifh ataupun nak aku...
Telapak tangan naik ke tengah dada. Berdebar. Laju detaknya. Bukan hati tapi jantung. Turun sikit ke tengah abdomen. Di situ terletaknya hati. Tak salah aku, hati kita ni dilindungi oleh tulang sangkar dada dan rusuk. Ada dua lobus (cuping) yang utama, yang dibekalkan oleh dua saluran darah iaitu arteri hepatik yang membekalkan darah ke hati yang dipam dari jantung dan vena portal. Aku tahu semua tu hanya sebab aku punyai tabiat membaca dan aku akan baca banyak jenis buku termasuklah tentang organ manusia.
Padanlah wajah dia kuning. Memang dia alami jaundis kalau berkaitan dengan darah. Agaknya dah tahap akhir sebab tu kena tukar hati. Kalau tidak, masih boleh ditukar tisunya. Apa aku nak buat ni?
"Habis tu macam mana?"
Rozie bangkit. Dia tepuk pahanya sikit dan menggeliat. "Tunggu pendermalah. Separuh hati bagi pesakit, separuh lagi penderma simpan." Dia berlalu ke pintu.
"Hati-hati pergi kerja. Aku nak tidur kejap. Hari ni masuk malam. Malasnya..." Dia urut belakang lehernya dan terus hilang di sebalik dinding.
Aku pandang pintu. Bagai tembus sampai ke katil hospital di mana Khalifh terbaring lesu. Air jernih yang mengalir pada juring mata dia tu buat aku sendiri rasa nak menangis. Sebenarnya ingatkan Aunty As itu lucu jugak tapi bila dengar pada cerita Rozie tadi, aku rasa nak menangis.
Saat itu, senyuman lemah Khalifh dan cara dia pandang aku terus menggawang di dalam kepala. Betapa aku pejam mata rapat dan cuba halau pun, senyuman dan renungannya tetap tak mahu hilang dan aku mula sedar, senyuman dan renungan itu tak akan pernah meninggalkan memori aku untuk satu tempoh yang lama. Atau boleh jadi, selamanya.
YOU ARE READING
Hati Yang Kau Pinjamkan
Fiksi UmumKita tak nak pulang. Kita nak buat harta KATA ma, nama ini adalah satu doa. Kerana itu dia dinamakan Tuah. Semoga dia sentiasa bertuah. Tapi, bolehkah dia katakan dirinya bertuah bila tiba-tiba muncul seseorang yang memerlukan bantuan bagi menentuk...