MALAM yang dingin ditemani dengan tangisan seorang wanita berusia 40-an memecahkan kesunyian di hospital. Sayu hati seorang ibu apabila melihat sekujur tubuh yang terlantar lesu dengan wayar-wayar berselirat di badannya.
"Bangunlah Fateh, ibu tunggu kamu sayang" Tutur Hayati lemah kerana sedari tadi dia tidak berhenti menangis.
"Ibu, janganlah macam ni. Jamahlah sikit makanan tu dari semalam ibu tak makan. Kalau ibu sakit siapa nak jaga abang" Ujar gadis remaja itu sambil bubur ayam dan air mineral diletakkan di atas laci bersebelahan ibunya. Tangannya tidak berhenti menggosok bahagian bahu wanita berusia itu. Rasa sebak bertandang di sanubari apabila melihat keadaan si ibu yang sedemikian rupa, tetapi dia harus kuat untuk terus menyalurkan semangat kepada ratu hatinya yang seorang ini.
Hayati menggelengkan kepala tanda tidak mahu. Apabila melihat keadaan anak lelakinya yang pegun di atas katil, terus hilang segala rasa lapar dan dahaga. Hanya perasaan sedih yang menyesakkan dada membelenggu diri.
"Ibu tak mahu. Ibu nak abang kamu bangun. Selagi abang kamu tak bangun selagi itu ibu tak mahu makan" Kata Hayati bersama genangan air mata.
"Ibu..." Panggil Diana lembut "Mana boleh macam tu. Abangkan tengah sakit. Kalau ibu nak teman abang, ibu kenalah makan. Sikit pun tak apa, takut nanti perut masuk angin. Susah. Abang mesti sedih kalau tengok keadaan ibu macam ini. Ibu mesti tak nak abang sedihkan?" Hayati menggangguk.
"Makan sikit ya, ibu" Hayati angguk lagi. Tanpa menunggu lama Diana membuka bekas makanan tersebut dan diberikan kepada ibunya. Dia tahu ibunya tiada selera tetapi dipujuk juga, takut sesuatu yang tidak elok berlaku.
"Ibu... makan dulu ya. Ana nak keluar sekejap, tertinggal barang dalam kereta. Ibu duduk sini, jangan pergi mana-mana tau. Nanti Ana datang sini balik" Tutur Diana panjang lebar. Melihat ibunya mengganguk kepala, dia tersenyum tawar.
Sedih melihat keadaan ibunya saat ini. Sudah lima hari abangnya koma kerana ditimpa kemalangan, tetapi keadaan ibunya pula yang makin merosot. Makan pun kurang, apatah lagi tidur. Jikalau dinasihat, langsung tidak diendahkan.
Setelah kaki melangkah keluar, air mata mula merembes keluar dari tubir mata. Lutut terasa longlai. Hendak berlakon kuat di depan ibunya tetapi dia sebenarnya tidak mampu. Manusia mana yang sanggup melihat orang yang disayangi dalam keadaan sebegini. Selama mana dia boleh bertahan, dia akan usahakan. Sedaya-upaya dia akan berusaha mengawal perasaan.
"AKU dekat mana ni?" Soal Zayn kebingungan. Dia seolah-olah baru tersedar dari pengsan. Badan dipusingkan 360 darjah. Tetapi apa yang dia lihat hanya tumbuhan menghijau meliputi hampir keseluruhan kawasan di situ.
"Hutan? Bila masa aku pergi hutan?" Sedaya-upaya dia memerah otak memikirkan apa yang berlaku. Tetapi hampa. Sedikit pun dia tidak ingat. Mata jatuh melihat pakaian yang dipakai. Kemeja? T-shirt? Seluar jeans? Kasut sneaker? Kamera pun ada? Tangan mula meraba-raba poket seluar yang dipakai. Dia mula panik.
"Telefon aku mana?" Diperiksa seluruh tubuhnya. Beg yang disandang juga digeledah tetapi barang yang dicari masih tidak dijumpai.
"Mungkin aku tak bawa. Tertinggal dekat rumah agaknya" Ujarnya cuba menyedapkan hati.
'Tapi kenapa aku pakai macam ni dalam hutan? Baby boo pun aku bawa? Pelik. Mungkin ada photoshoot? Maybe, who knows. Kalau macam itu tak apa lah, aku jalan-jalan dulu' Banyak sungguh persoalan yang bermain di kepala.
Dia mula menapak sambil menikmati keindahan alam semulajadi di kawasan yang dia sendiri pun tidak tahu. Lantas kamera Canon yang sedia tersangkut di leher diambil dan dipegang gaya juru gambar profesional.
YOU ARE READING
OUTLANDISH LOVE
RomansPertemuan yang tidak pernah diduga itu menimbulkan seribu satu persoalan di benak fikiran. Klasik, itulah perkataan yang dapat diungkapkan apabila Danyal Zayn menjejakkan kaki ke negeri Puspa Suasa. "Sorry cik sorry. Saya baru teringat, cik ni custo...