BAB 4

48 14 46
                                    

TIGA pasang mata merenung Marsha yang sedang berbual di telefon dengan Frida. Masing-masing memberikan renungan yang berbeza terhadap Marsha. Keterujaan jelas terpancar dalam renungan Armel dan Damien. Sebaliknya pula dengan Zen, yang sekali lagi rasa ditipu.

     “Eh, tunggu apa lagi? Gerak lah cepat!” gesa Marsha sebaik talian diputuskan oleh Frida.

     Arnel dan Damien bergegas turun ke bawah di mana kereta yang bakal mereka gunakan sudah tersedia. Zen menghampiri Marsha. Sekarang ini, dia mahu melepaskan ketidakpuasan hatinya kepada Marsha.

     “Really, aunty? Bukan ke sepatutnya yang menghantar lukisan-lukisan tu orang dalam galeri ni?” Zen bersuara sekadar untuk memperingatkan Marsha.

     Walaupun Armel dan Damien merupakan anak saudara Marsha, tapi Marsha selaku pemilik galeri perlu bersikap profesional. Mana boleh Marsha menghantar orang sembarangan untuk berurusan dengan klien. Lebih-lebih lagi klien itu Luna Adora.

     “Zen, janganlah ketara sangat. Biarlah Armel dengan Mien tolong kamu. Lagipun, mereka berdua dah lama nak jumpa Luna. Bagilah peluang sikit!”

     Marsha berkata seakan-akan tidak mempedulikan privasi klien. Ya, dia tahu betapa dalamnya minat Armel dan Damien terhadap Luna. Tapi, apa yang Marsha baru sahaja buat adalah salah dan mungkin boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada Luna.

     “Kenapa buat muka macam tu? Aunty dah call Frida, dia kata okey saja.” Yakini Marsha. Kenapa pula Zen mahu melebih-lebih sedangkan Luna okey sahaja?

     “Iyalah,” malas-malas Zen berkata. Kunci kereta yang diletakkan di atas meja Marsha dicapai.

     Kegembiraan jelas terpancar di wajah Armel dan juga Damien. Zen jadi tidak sanggup untuk merosakkan mood gembira itu. Terpaksalah, dia mengikuti rancangan gila Marsha dengan membawa mereka berdua menghantar lukisan-lukisan Luna ke villanya.

     “Tak sabarnya nak jumpa Luna!” jerit Armel sebaik sahaja pacuan empat roda itu bergerak keluar daripada pekarangan galeri.

     “Aku dah tulis soalan-soalan yang aku nak tanya kat Luna nanti,” ujar Damien bersama buku nota kecil di tangannya. Zen melihat sekilas melalui cermin pandangan belakang.

     “Kau nak tanya soalan apa?” tanya Armel ingin tahu. Buku nota Damien dirampas.
     "Adakah Cik Luna mengaku pernah meniru hasil lukisan orang lain?” baca Armel langsung membuatkan Zen laju berpaling.

     “Serius lah kau nak tanya soalan ni?” Armel tidak percaya. Soalan-soalan Damien semuanya negatif dan mungkin juga akan menerima jawapan yang negatif daripada Luna.

     “Aku bukan apa, aku nak sangat tahu lepas Luna ada cakap macam tu kat majlis Mr. K.” Buku kembali dirampas lalu dimasukkan semula ke dalam beg.

     “Temu duga kau bila?” sampuk Zen dan berjaya mengubah topik mereka.
     “Bulan depan,” jawab Damien. Jawapan Damien langsung membuatkan Armel dan Zen mengangguk-angguk serentak.

     “Patutlah! Mesti kau nak pakai cerita Luna ni jadi isu semasa kau kan?” tebak Armel. Damien menggosok-gosok belakang leher dan mengangguk.

     Temu duga untuk kewartawanan memerlukan mereka untuk menceritakan isu-isu semasa yang mereka tahu. Mereka diberi dua pilihan, sama ada mencari isu sendiri atau mengambil isu yang sudah diterbitkan di akhbar. Damien memilih untuk mencari isu sendiri. Dia amat berharap agar isu berkaitan dengan Luna ini bakal menjadikan dia seorang wartawan nanti.

LADY LUNA (Complete)Where stories live. Discover now