JASMINE (BAB 3)

961 35 0
                                    

"Woi, bangun! Bangun!!" Punggung Farhat digoncang Azhad dengan tapak kaki. Sambil dia menggaru perut, mulut terbuka luas menguap. Menyipi sahaja sepasang mata itu melihat Farhat masih bergolek lena di atas katil. Tak berkutik langsung walaupun orang dah tendang buntut dia!

"Bangunlah, Abang Farhat oi!" Azhad raup rambutnya ke belakang. Dia mengantuk pada masa yang sama perutnya sudah berkeriuk minta diisi. Farhat pula kalau dah tidur lena, gunung berapi meletup pun belum tentu dia sedar.

"Kejaplah ... " Akhirnya Farhat menggumam lantas menarik bantal menekup wajahnya. Bising betullah Azhad ni.

Melihat Farhat kembali lena, Azhad rampas bantal dipeluk Farhat lalu dia hempas di atas lantai. Dengan rengusan dia berbaring di atas lantai. Sambung tidur ajelah dalam 15 minit lagi.

SELESAI sahaja mesyuarat ringkas bersama kru, Ailah merayau di sekitar kafe hotel mencari makanan. Yusra pula entah ke mana. Sepatutnya gadis itu harus ada sekali dalam mesyuarat tadi. Tak pasal-pasal Ailah cipta alasan palsu untuk Yusra yang tiba-tiba hilang.

Lama-lama dia bekerja dengan Yusra boleh jadi biul dia dibuatnya! Ada sahaja masalah dibuat perempuan itu. Itu pun dia bernasib baik kerana Jasmine masih lagi sudi membela dia walau tak berguna langsung!

Ralit memilih roti di countertop bersama dulang dan pengepit, mata Ailah tiba-tiba menangkap sosok Yusra melintasinya dengan lagak sibuk menekap telefon bimbit di telinga.

Dahi Ailah berkerut. Nak pergi mana perempuan tu?

"Yus..!" Ailah mengeluh. Tak jadi dia memilih roti. Dia letak kembali dulang dan pengepit di tempat asal. Ada banyak perkara penting yang perlu dia sampaikan pada Yusra.

Sudahnya dia berlari anak mengikut langkah Yusra. Makin lama, Yusra makin jauh daripada ruang lobi utama hotel. Dan kali ini, Ailah makin memperlahankan langkahnya. Hatinya berdetak tidak enak. Lagi-lagi tingkah Yusra menoleh-noleh sekeliling seperti memastikan tiada sesiapa yang dia kenal berada di situ.

Ailah berselindung di belakang mesin air. Mata sedikit terbuka luas dengan hati berdoa agar Yusra tidak perasan kehadiran dia di situ.

Perlahan-lahan dia menoleh memandang Yusra dan kali ini dia melihat Yusra didekati seorang lelaki. Dia tak dengar apa yang dibualkan mereka. Mata Ailah melilau sekeliling sebelum dia menangkap ruang stor penyimpanan. Dia melangkah perlahan-lahan, berjalan mengikut belakang beberapa orang pekerja yang berborak-borak lalu sepantas kilat dia buka bilik stor itu dan masuk ke dalam.

Nafas turun naik dan dia dekatkan telinga di lubang tingkap atas stor itu. Suara-suara bisikan Yusra dan lelaki itu mula kedengaran jelas.

"Cakap kat Dato' dia boleh tunggu tak? Aku dah urus semuanya!" Suara Yusra kedengaran sedikit tertekan.

"Dato' Izhad tak bayar kau untuk tunggu lama-lama. Bila kau nak buat kerja kau?"

Ailah tekup mulut. Tergamam.

Dato' Izhad? Bayar? Apa maksudnya? Yusra terima bayaran untuk apa?

"Cakap kat Dato', aku minta dia tunggu sampai malam ni. Aku dah ada rancangan." Yusra membalas.

"Rancangan apa? Kau yakin Jasmine akan jadi milik Dato'?"

Dada Ailah berombak menunggu balasan Yusra.

"Ya. Aku yakin."

"Ingat Yusra, kalau kau gagal kali ni. Kau tahulah habuan kau!"

"Y..ya, aku tahu."

Ailah ketap gigi. Tak menunggu, dia cepat-cepat membuka pintu dan berlari menuju ke arah ruang utama hotel. Jemarinya terketar-ketar menekan tombol lif.

E-BOOK LOLLYSNOW (2024)Where stories live. Discover now