12:30 (BAB 2)

405 12 0
                                    

Keluar sahaja dari kedai runcit, hujan tiba-tiba turun menitik-nitik. Inaya cepat-cepat berlari anak ke arah basikalnya. Dia cuma pergi ke kedai nak beli gula dan garam yang Mak Ngah Huda kirim. Sebelum hujan makin lebat lebih baik dia cepat-cepat kembali ke rumah Mak Ngah Huda. Masih banyak kerja nak buat. Baju sekolah pun dia belum tukar.

Dari kedai dan mahu rumah Mak Ngah Huda, Inaya terpaksa melalui jalan pintas iaitu laluan sawah dan sungai di kampung itu. Biasanya dia tak berani melalui jalan itu kerana sunyi pada waktu petang tapi kerana nak cepat sampai, hari itu dia lalu juga.

Tapi malangnya, tak sampai separuh perjalanan, hujan makin lebat. Nak tak nak Inaya terpaksa juga berhenti berteduh di sebuah pondok kecil di tengah-tengah bendang sawah itu.

Nafas Inaya tercungap-cungap sambil dia tongkat basikalnya dan berlari ke arah pondok itu. Kedua belah tangan dia payung kepalanya walau nampak sia-sia dek hujan yang makin lebat. Bendang sawah luas itu milik seorang wanita berusia di kampung mereka. Orang panggil dia Nek Yah atau Zabariah. Dia itulah nenek kepada ketua pengawas berlagak itu.

Biasanya Nek Yah cuma upah orang bekerja di sawahnya. Orang-orang itulah yang Inaya kenal kerana sering datang membeli sarapan di warung Mak Ngah Huda.

Pondok itu mereka buat untuk pekerja sawah Nek Yah berehat dan makan. Sekarang sudah petang, mereka dah tak ada. Bolehlah Inaya masuk berteduh sekejap.

Penuh berhati-hati Inaya daki tangga dan tolak daun pintu. Saat mata menjengah ruang dalaman pondok itu, pandangannya terus terbuntang. Mulutnya terlopong luas.

Yang dia lihat seorang lelaki tidak berbaju dan berseluar pendek paras peha seperti boxer sedang mengeringkan badannya dengan tuala. Saat lelaki itu menoleh ke belakang, mata Inaya makin membesar seperti biji matanya mahu terpelanting keluar.

"Woi!!!" Suara garau itu. Wajah itu. Tak salah orang lagi!

Nadhir Luzman!

"Arghh!!! Maaf!" Sepantas kilat Inaya katup pintu pondok itu kembali. Lantas dia tekup mulutnya dengan tapak tangan.

Sudahlah dapat malu kat sekolah. Sekarang dekat kampung pula! Aduh! Malang sungguh nasib kau, Inaya. Dalam banyak-banyak orang kenapa mamat tu juga? Sudahlah Inaya tak suka dengan Nadhir Luzman.

Nanti dia buat cerita bukan-bukan, mana Inaya nak sorok muka dia kat sekolah? Sedangkan terkantoi jual rokok pun dia sudah malu, ini ternampak ketua pengawas itu tak berbaju!

Baik dia lari sebelum kena tuduh bukan-bukan. Tapi, kalau dia lari, tak ke nampak lebih mencurigakan? Boleh jadi Nadhir tuduh dia datang ke situ untuk mengintai mamat tu tukar baju. Ish! Perasan betul. Tengok pun kita tak ada selera.

Prakkk!

Pintu pondok kembali dibuka. Inaya terus dongak melihat pandangan mencerlung Nadhir ke arahnya. Seperti harimau nak baham mangsa. Kali ini lelaki itu sudah lengkap berpakaian. Inaya teguk air liur. Rambutnya sudah basah menitik-nitik terkena baju putih sekolahnya.

"Kau..."

"Aku bukan datang nak intai kau! Demi Allah! Aku datang nak berteduh sebab hujan! Aku ingat tak ada orang dalam pondok ni. Biasanya petang-petang tak ada orang. Aku tak tahu kau ada kat sini. Lagipun kau juga yang salah, kenapa tukar pakaian tak tutup pintu? Kalau pintu pondok tak boleh tutup pun, sandarlah beg ke apa biar pintu ni tak boleh buka!" Tak sempat Nadhir berkata-kata, sudah panjang berjela Inaya memberi keterangan bagi pihaknya. Dia tidak mahu dituduh. Dia benci dituduh perkara yang dia tidak buat.

Nadhir pula yang tercengang. Mukanya rasa hangat dan wajah Inaya juga kelihatan merah merona.

"Kau nampak?" Nadhir soal Inaya. Bodohnya dia juga lupa nak tutup pintu betul-betul. Dia pula baru balik dari perpustakaan untuk meminjam buku. Tiba-tiba hujan, dia takut baju sekolahnya kotor. Mujurlah ada persalinan baju sukan di dalam beg sekolah, jadi dia berhenti mahu menukar baju. Motosikalnya pula dia parkir di belakang pondok. Mungkin sebab itu Inaya tidak perasan.

E-BOOK LOLLYSNOW (2024)Where stories live. Discover now