12:30 (BAB 3)

356 10 0
                                    

Riuh bunyi gelak tawa kanak-kanak sedang bermandi-manda di tali air berdekatan bendang sawah kampung mereka. Inaya duduk melunjurkan kaki ke bawah dari atas benteng sambil dia kunyah keropok sira yang dia beli di kedai tadi.

Termenung jauh mengenangkan duitnya bernilai tiga ribu ringgit pergi begitu sahaja. Penat lelah dan keringat untuk dapatkan tiga ribu ringgit itu bukannya mudah. Entahlah dia mampu ikhlas atau tidak dengan duit yang sudah dia beri pada ayahnya itu.

Semoga duit yang diberi itu membuatkan dia lebih dipeduli oleh orang dalam rumah itu. Dia mahu juga jadi seperti Ayuni dan Faiza. Apa yang mereka mahu mesti mereka dapat. Baru aje minggu lepas ayah dan ibu belikan mereka telefon bimbit seorang satu. Inaya pun nak satu tapi kalau dia beli, maka duit untuk dia buat bilik pun berkurang.

Lihat Inaya yang cemburu dengan kakak dan adiknya, Mak Ngah Huda beri telefon lamanya jenama Samsung. Gembira bukan kepalang Inaya dapat bermain telefon touchscreen buat kali pertama. Tapi Mak Ngah Huda ada beritahu, telefon itu dah cukup lama, mungkin ada banyak masalah. Inaya tidak kisah. Dia dapat pegang telefon mewah itu pun dia sudah rasa bersyukur.

"Woi, Inaya! Kau buat apa sini?" Ralit mengunyah keropok, Inaya tiba-tiba disapa seseorang. Toleh ke belakang dia lihat Anas, Fadli dan Hazwan dengan tuala tersangkut di leher masing-masing datang ke arahnya.

Mereka bertiga anak-anak muda kampung. Selalu Inaya nampak lepak dan bermain bola bersama. Dia cuma rapat dengan Anas. Fadli dan Hazwan pula bersekolah di sekolah asrama penuh, jadi mereka jarang ada di kampung.

"Kau ni! Aku tanya kau duk melopong apa pula?" Rambut Inaya ditarik Anas.

"Ish! Suka hati akulah nak duduk mana." Inaya paling pantang orang sentuh rambutnya. Tapi si Anas itu paling suka kacau rambut dia. Dia selalu tanya Inaya kenapa rambut Inaya warna lain sedikit. Siap tuduh Inaya warna rambut. Padahal rambut Inaya memang semula jadi sedikit blonde dan coklat.

Rambut ayah berwarna hitam. Jadi Inaya fikir, warna rambutnya mungkin menurun daripada ibunya. Wanita yang tak pernah dia tahu siapa. Dan dia tidak pernah mahu ambil tahu siapa. Baginya ibunya cuma seorang iaitu Puan Zahra. Kasar manapun layanan wanita itu padanya, dialah yang besarkan Inaya. Itu yang Inaya fikir.

"Kami turun mandi dulu." Fadli menepuk bahu Anas sebelum dia dan Hazwan turun menuju ke tempat budak-budak kampung sedang mandi. Sempat Fadli pandang muka Inaya sejenak sebelum dia lorek senyum tipis.

Inaya terkebil-kebil. Tadi Fadli senyum pada dia ke? Dia salah tengok kut.

Dengan seluar tiga suku, Anas duduk di sebelah Inaya. "Termenung jauh ni mesti ada sebab kan? Ada apa-apa jadi ke?" Anas mula nak mengorek. Dia dan Inaya rapat. Sangat rapat sampai dia tahu segala rahsia yang tersimpan di dalam rumah Inaya.

Bagi Inaya, kadang-kadang Anas jadi tempat dia mengadu. Lelaki itu selalu peka dengan riak wajah dan mood Inaya setiap hari. Kalau ada benda tak kena, mesti Anas orang paling awal yang bertanya. Kadang Inaya hairan, apalah yang ada pada dia sampai Anas selalu peduli padanya.

Saat orang lain malu berkawan dengan Inaya, Anas pula dengan selamba mengaku Inaya kawan baiknya. Tapi dia jugalah punca Inaya digantung sekolah dulu.Tak guna punya kawan.

"Aku nak bagi kau duit. Rokok tu alasan je. Sorry, Inaya sebab dah buat kau kena gantung sama. Sorry!" Masih Inaya ingat alasan bodoh Anas. Macamlah tak ada cara lain nak bagi Inaya duit. Belilah nasi bungkus ke, roti ke apa. Ini, dia suruh Inaya beli rokok! Inaya pun satu. Lurus! Ikutkan aje demi duit.

"Woi Inaya! Kau ni! Aku ada dekat sebelah kau boleh termenung lagi? Kau tak nampak aku ke?" Geram pula Anas tengok muka datar Inaya.

"Ya. Aku tengah serabut ni." Inaya mendengus.

E-BOOK LOLLYSNOW (2024)Where stories live. Discover now