KAPAS katil sudah melengkung diduduki Razia. Awal pagi lagi dia sudah tersadai di kamar Makcik Sofie, seperti kebiasaan meluahkan isi hatinya kepada wanita yang seakan ibu keduanya itu. Tak seperti cerahnya langit disimbah mentari, wajah Razia mendung. Dia merenung kakinya sendiri yang sibuk dihayunkan dengan fikirannya yang kosong.
"Jadi antara semua hadirin semalam, tiada satu pun yang puteri pilih?" Soalan Makcik Sofie berjaya menarik ke atas wajah Razia, hanya untuk Razia balas dengan gelengan. "Tapi kalau puteri pujuk tuanku raja untuk terima lelaki petani itu, mungkin baginda boleh membuka hati."
"Beta yakin tidak akan berhasil. Ayahanda bilang Wijdan itu terlalu rendah tarafnya, baginda tak mahu jarak kasta yang terlalu jauh. Walaupun dia telah khianat pada berita yang diuar-uarkannya sendiri, kononnya 'sesiapa sahaja boleh cuba melamar puteri.'"
Razia menyilangkan tangan, memeluk tubuh. Membuatkan Makcik Sofie tergelak kecil dan merapatkan dirinya dengan gadis itu.
"Tidak mengapalah jikalau begitu, lebah bukan seekor. Lambat-laun pasti akan ada satu yang penuh budiman datang mengunjungi sekuntum bunga ini." Makcik Sofie merangkul pinggang Razia.
Anak mata hitam Razia yang tadinya redup, terpancar sedikit kilat cahaya. Dia terus menala badan menghadap Makcik Sofie lalu bertanya, "Oh iya, bagaimana dengan kisah cinta makcik pula? Pasti makcik pernah suka dengan seseorang jejaka kan?"
Tersentak wanita separa usia itu. Dia memicit geram pinggul Razia, "Eh ke situ pula. Patik tiada kena mengena tentang topik ini ya"
Terkekeh Razia kegelian sehingga meliuk-lentuk badannya mengelak lengan Makcik Sofie. Giliran dia pula menepuk perlahan bahu Makcik Sofie.
"Alah makcik tidak perlu lah malu. Kenapa perlu mengelat jika tiada, bukan?"
Usikan Razia yang berniat bergurau itu tidak mendapat reaksi yang setimpal. Wajah Makcik Sofie malah bertukar sugul.
"Bukan tiada... tapi tak sempat."
"Tak sempat?"
Makcik Sofie membawa bola matanya menatap lukisan keluarganya yang berjarak beberapa kaki di hadapan. Kisah silam yang pahit menyerang semula benak fikiran. Wanita itu bangkit dari katil seraya menayangkan senyuman paksa pada Razia. "Tiada apa lah. Makcik ke dapur dahulu ya"
Hurungan memorinya memaksa masuk untuk ditayangkan ke latar minda. Tidak dapat ditolak, Makcik Sofie ditarik ke masa lampau.
Ketika itu dia masih mentah. Masih polos dan belum terdedah dengan dunia di luar Jayapati. Tanggungjawab dan beban belum ada di bahu. Sehingga lah tiba pada satu ketika...
"Anakku... kenapa masih belum pergi? Lekas bawa barangan kamu sekali," paksa seorang wanita berambut putih itu. Di gulungan rambut penuh uban itu diselit sanggul kayu yang berukir.
Barangan yang sudah siap diletakkan di atas katil dihumban paksa oleh wanita itu ke dalam kain batik yang dibentangkan. Setiap bucu kain berbentuk empat segi itu dicubit dan disatukan membentuk bendungan besar.
"Nah ambil ini. Jangan lupa bawa Manikam Galuh kamu sekali"
"Ta-tapi ibu-"
Bendungan barangan itu diangkat dan digantungkan pada bahu anak kecil di hadapannya. Anak kecil itu walaupun tidak membantah, tapi wajahnya cukup jelas memaparkan reaksi menolak. Dia tidak mahu melakukan arahan ibunya, dia tidak mahu tinggalkan rumah mereka.
Ibunya menjengukkan kepala pada bawah katil anak perempuan itu, sebuah kotak pun diambil. Seraya berdiri, kotak bertukar tangan. Didakap anaknya yang masih kecil.
"Pergi segera! Jangan pernah kembali ke sini"
"Seroja tidak mahu! Seroja tidak ingin tinggalkan ibu dan adik berdua sahaja di sini"
Wajah tua wanita itu diraup kasar tangannya sendiri. Dia juga menghela nafas berat diikuti badannya yang direndahkan. Kedua-dua tangannya diletakkan pada kain bendung, di atas bahu anaknya.
"Ibu tak berani untuk bahayakan nyawa kamu, Seroja. Kamu tidak perlu risau akan ibu, ibu akan baik-baik sahaja. Yang penting sekarang kamu kena tinggalkan kampung ini cepat sebelum adik kamu tiba-"
"Kenapa ibu membantu dia?!" Suara yang muncul di bukaan pintu memeranjatkan kedua-dua anak beranak di dalam bilik itu.
"Adik... jangan begini pada kakak-"
"Aku sudah dengar lah rencana ibu dengan Seroja tadi. Ibu mahu Seroja lari dari sini, kan? Dengan membawa sekali Manikam Galuh, betul?!"
Seroja menggigil ketakutan. Kotak di dakapannya ditilik diselangi wajah adiknya yang gelap membelakangi cahaya lampu pelita dari tengah rumah. Perlahan-lahan, budak lelaki itu berjalan mendekati mereka berdua.
Ibunya perasan pada bayang-bayang yang terbentuk di dinding, kelihatan terdapat satu bilah yang tajam pada tangan anak lelakinya itu. Terbuntang matanya lalu kepala terus dikalih pada tangan kiri anak lelaki di hadapannya. Sebilah pisau kebun dipegang kejap di genggaman.
Perlahan-lahan ibunya berundur beberapa tapak sehingga belakang badannya terlanggar sebuah meja kecil. Kepalanya menoleh ke belakang dan mendapati sebuah pasu bunga yang sudah tergolek. Timbul satu buah fikiran di saat getir itu.
"Seroja, lari sekarang!" Serentak itu, pasu bunga terus diraihnya dan tanah di dalam pasu bunga itu dicampakkan ke wajah anak lelaki yang berada di muka pintu.
Dalam sibuk dia mengesat mata yang berpasir, Seroja mengambil peluang menolak adiknya ke tepi lalu berlari dari samping kanan adiknya itu.
"Argh pedih!" raung budak lelaki itu sambil kedua-dua tangannya menggosok mata. Pisau tadi entah sudah dilepas ke mana.
Seroja menoleh ke belakang melihat adik kembarnya itu dalam kesakitan. Dia mati langkah, mahu sahaja dia membantu satu-satunya saudaranya yang baru sahaja cuba menyakitinya itu.
"Kamu tak apa-apa, Jeng-"
"Pergi! Jangan menoleh ke sini, dan jangan kembali!" Jeritan ibunya dari dalam kamar memaksa Seroja membatalkan hasratnya. Dia mengetap rahang dan dengan rasa yang sangat berat, dia membelakangi rumahnya dan memecut sekuat tenaga menjauh.
Dengan tangan merangkul kotak yang bersaiz separa badannya, serta bahu yang memikul bebanan yang berat, dia terhegeh-hegeh berlari membelah kegelapan malam. Dia berlari tanpa arah tuju, cuma yang dia tahu dia perlu terus melangkah jauh tanpa perlu menoleh semula ke belakang.
Di hadapannya kini ada dua gunung yang tersergam tinggi. Warna putih salji dingin bertatah di kedua-dua puncaknya. Di planet kecil ini, terdapat puluhan bulan yang mengitarinya. Dan dengan suluhan cahaya mentari, bulan-bulan ini memantulkan cahaya sehingga seakan-akan berkerlipan meniru butiran bintang di latar belakang cakerawala. Berbekalkan cahaya malap itu, Seroja meneruskan langkah kakinya ke jalan susur yang sudah ditutupi semak di antara dua gunung itu.
Seroja tersentak apabila dia terdengar bunyi dari belakang. Bunyi gemersik lalang yang bergeseran menambah debar jantung Seroja yang sudah memang berlumba kelelahan. Dari jauh, tanjak berwarna jingga terpacul keluar dari rimbunan semak. Tidak menunggu lama, wajah adik kembarnya itu muncul dengan riak yang berkerut.
"Seroja... bagi aku Manikam Galuh itu..." Amaran yang diberikan diikuti dengan bunyi giginya yang diketap. Tangan kirinya kelihatan sudah bergenggam pisau kembali.
Mata pisau yang basah kelihatan bersinar membiaskan cahaya bulan, menangkap mata Seroja. Cecair yang menyaduri mata bilah itu kelihatan likat dan pekat, berwarna seakan-akan merah gelap jika dilihat dari jarak mereka yang sederhana jauh. Apabila Seroja sedar, nafas ditarik paksa.
YOU ARE READING
WHITE AURA
FantasyBulan malam mempamer seri, Diteman beribu bintang di sisi, Hikayat sang puteri dibuang negeri, Pertama kali hidup sendiri. Burung kenari memakan pulut, Pulut ditelan habis isinya, Sang pengkhianat dalam selimut, Menyebar fitnah ke serata istana. Rum...