♧Fasal Pertama♧

550 61 35
                                    

Di sebuah kerajaan

LANGKAH penuh anggun dibawa satu persatu menelusuri kaki lima balkoni. Dari pandangan di tingkat dua, dataran lantai dasar istana kelihatan sangat jauh. Besarnya binaan istana berasaskan bata merah itu terasa sangat gah. Tangan sang gadis dilurutkan meraba dinding beranda balkoni yang berpermukaan kasar, kontra dengan tangannya yang halus mulus.

       Derapan langkah kakinya bergema di segenap ruang. Kain gaun labuh berwarna putih bersih disingsingkan bagi memudahkan langkah, menampakkan kasut tumit tingginya yang bertatahkan taburan berlian. Segaris senyuman terukir di bibir mengamati kecantikan persalinan yang terlekap di tubuhnya.

       "Cantik," getus hatinya.

       Sang gadis menengadahkan kepala memandang bingkai-bingkai gambar lukisan yang tergantung di sepanjang jalan. Wajah ayahanda, Sultan Agung Iskandar Idris Ilioneus kelihatan segak tersenyum dengan penuh karisma. Lukisan bonda pula yang terletak di sisi kanan, mempamerkan seri keanggunan menawan sesuai dengan nama baginda, Permaisuri Agung Sri Cempaka Chasma. Dua pasangan sejoli ini merupakan waris terkini bagi kerajaan Akustika, mewarisi takhta moyang-moyang sebelumnya secara monarki selaku abang sulung dalam dua beradiknya.

       Walaupun kerajaan ini tidak pesat dalam pembangunan teknologi, namun kerajaan ini sudah berdiri teguh sehingga berabad lamanya. Cukup dengan cara pemerintahannya yang sistematik, kubu pertahanan yang kuat serta sumber alam yang dikurniakan dapat mengekalkan kerajaan yang terletak di sebuah planet kecil di hujung galaksi ini untuk kesekian tahun hadapannya.

       "Tuan puteri sudah bersiap?"

       Puteri tunggal kerajaan Akustika, Puteri Razia mengalihkan pandangannya ke arah seorang dayang yang sudah sedia berdiri di belakangnya. Dayang yang memakai pakaian berwarna perang bertemakan serba gelap itu menundukkan badan sedikit menyapa hormat. Puteri Razia melayangkan senyuman, membalas sapaan yang diterima.

       "Sudah. Bagaimana? Cukup bagus?" Puteri Razia berpusing beberapa kali, kain gaun yang labuh ikut mengembang dilambung angin bak kelopak bunga kembang pagi. Dari tenunannya yang kemas, serta perincian warna sutera putih serasi warna rambut Razia yang ikal mayang, pasti bakal menjadi sorotan di kalangan tetamu yang bakal hadir.

       "Tuan puteri tidak pernah kelihatan jelik. Cuma bukan kah tuanku menitahkan tuan puteri untuk mengenakan persalinan berwarna emas sedondon dengan baginda sama permaisuri agung?"

       "Oh pasal itu, Kaira boleh tolong khabarkan ke ayahanda? Sampaikan bahawa beta memilih gaun putih ini kerana persalinan ini lebih selesa malah ianya cukup labuh tidak sesendat gaun emas yang dayang hantarkan awal pagi tadi"

       "Patik menjunjung perintah tuanku. Ah! Patik hampir terlupa, tuanku raja agung juga menitahkan tuan puteri agar bersedia di ruangan tamu sebelum matahari terbenam. Persiapan ulang tahun puteri tidak boleh berjalan tanpa tuan punya badan itu sendiri."

       "Haha iya. Usah dirisau, beta masih mahu mencuba-cuba persalinan yang lain. Selesai beta berhias nanti beta ikut turun ya." Puteri Razia mundar-mandir menyelesakan kakinya yang bersarung kasut tumit tinggi itu. Pandangannya menghantar Dayang Kaira tadi pergi meninggalkannya dan menuruni tangga di hujung balkoni.

       Puteri Razia pun tanpa melengahkan masa, meluru ke kamarnya semula untuk bersiap. Tercungap-cungap nafasnya apabila dia merenung diri di hadapan cermin meja soleknya. Tipulah dia tidak gemuruh, ini merupakan majlis gilang gemilang yang pertama kali dia sambut dengan kehadiran khalayak ramai. Selama 19 tahun yang lalu, sambutan kelahirannya hanya dihadiri beberapa dayang istana dan saudara-mara terdekat. Pertama kali dia bakal bergaul dengan khalayak ramai. Pertama kali dia terdedah dengan wajah-wajah baharu. Pertama kali jua lah... dunia luar memasuki hidupnya.

WHITE AURAWhere stories live. Discover now