"Alhamdulillah, baby sihat dan aktif." ujar Doktor Intan sambil memusingkan skrin mesin pengimbas pada pasangan tersebut.
Kebetulan si kecil itu sedang menendang-nendang. Pantas saja Fahmi tergelak kecil melihatnya.
"Alhamdulillah.. Doktor, dah boleh nampak ke jantinanya?" Soal lelaki itu. Hasrat di hati ingin mengetahui jantina si anak agar mudah untuk dia menyediakan persiapan nanti.
"Encik Fahmi nak tahu?"
Fahmi segera mengangguk apabila Doktor Intan bertanya.
"Kita tengok ya boy ke girl. Okey baby.. Tunjuk kat papa awak siapa awak. Papa awak nak tahu ni." Doktor Intan bagai berseloroh sambil membawa alat pengimbas itu ke kiri sedikit.
Wusqa yang hanya memerhatikan skrin sejak tadi tergelak kecil. Aksi anak di dalam kandungannya itu benar-benar menggelikan hatinya.
"Amboi, macam dengar dan faham. Elok pulak dia bukakan kaki dia. Sekejap ya, saya tengok betul-betul dulu." Doktor Intan diam sejenak sambil tangannya masih dengan alat pengimbas.
"Anak sulong lelaki ke perempuan, puan?" Wajah Wusqa dipandang sebentar.
"Lelaki, doktor." Balas Wusqa pantas.
"Nampak gaya, boleh la beli gaun cantik nanti. Girl ni nanti, insyaAllah."
"Perempuan ke doktor?" soal Wusqa.
"Ya, yakin." Doktor Intan mengangguk dengan senyuman lebar di bibir. Dia juga tumpang gembira dengan berita yang disampaikan sendiri.
"Alhamdulillah!" Sahut Fahmi.
Tanpa segan silu, lelaki itu terus mengucup dahi sang isteri. Tersipu-sipu Wusqa jadinya apabila dicium depan doktor yang melakukan pemeriksaan ke atasnya.
"Balik ni kita singgah beli keperluan baby ya."
Wusqa hanya mampu menjatuhkan kepala tanda setuju. Tiada halangan dan bantahan.
Lagipun sudah alang-alang si suami mengambil cuti hari ini, eloklah mereka pergi membeli belah. Di kemudian hari tidak banyak yang perlu dibeli lagi. Maklumlah barang-barang milik Isyraf sudah diberi orang bahkan ada yang telah dijual semula.
Kandungan kali ini persis seperti anak sulong. Apatah lagi jarak terlalu jauh dengan anak pertama mereka. Si abang itu sudah berusia 10 tahun. Apa-apa pun Wusqa dan Fahmi setiap hari memohon kehadrat Ilahi untuk melindungi kandungan kali ini.
Semoga Wusqa dan anak mereka selamat kedua-duanya ketika proses kelahiran nanti. InsyaAllah..
"Honey, jom singgah sini!"
Wusqa terbelangah apabila si suami menarik tangannya masuk ke sebuah kedai di lantai dasar premis Angsana.
Habib Jewels?
"Eh, nak buat apa?" Bulat mata Wusqa memandang Fahmi. Namun lelaki itu hanya melemparkan senyuman. Jari-jemari Wusqa kian digenggam erat.
"Jomlah.. abang nak bagi hadiah kat honey ni." Ujar Fahmi dengan nada yang sedikit berbisik.
"Selamat datang, boleh saya bantu? Encik dan puan mahu cari perhiasan apa ya? Kita ada beberapa design terbaru."
Langkah mereka disambut mesra oleh seorang kakitangan kedai barang kemas tersebut. Bibir tidak lekang menghiasi senyuman nan manis.

ANDA SEDANG MEMBACA
Mihrab Cinta
RomanceWusqa, wanita yang diuji Tuhan kehilangan sang suami saat sedang berbadan dua. Langitnya yang membiru bertukar hitam semerta. Hidupnya menjadi gelap, teraba-raba dia bersama Isyraf di siang hari. Iyyaz, Lelaki yang siang dan malamnya menghadap tubu...