Kini hanya Wusqa dan Isyraf saja yang berada di rumah. Senyap dan sunyi. Lantaran dek keletihan yang dirasai, kaki terus memandu pergi dari pintu besar itu.
Perlahan-lahan Wusqa memanjat anak tangga menuju ke bilik tidurnya. Suara hati mahu merebahkan tubuh di katil. Sementelah Isyraf juga sudah terlena usai solat Maghrib tadi.
Si anak itu sedang tidur pulas saat Wusqa menguak pintu. Tidak semena bibirnya pecah senyuman. Sempat tangan Wusqa menyentuh pipi Isyraf.
"Bukan main lena lagi ya anak mama ni. Cubit pipi pun tak sedar!" Ada tawa kecil mengiringi kata-kata itu. Lalu ruang kosong di sebelah Isyraf kini terisi. Si mama berbaring mengiring sambil sebelah tangannya memeluk sang anak.
Tidak memerlukan waktu yang lama, kelopak mata Wusqa terus berlabuh. Tanpa perlu dipaksa atau disuruh. Benar-benar bagai seluruh tubuhnya kehilangan tenaga saat ini.
Lalu dunianya terpisah dengan sendiri. Wusqa hanyut dibawa mimpi meskipun lenanya baru bermula. Langsung tidak berkutik, hanya dadanya saja yang berombak tenang.
Namun bunyi deringan telefon bimbit perempuan itu melenyapkan mimpinya. Dengan pandangan mata yang bergayut kantuk, Wusqa menjawab juga panggilan tersebut.
"Hello, assalammualaikum."
"Waalaikumusalam,"
"Ni isteri Abang Fahmi ke?" Suara di hujung talian menyoal.
"Ya, saya. Kenapa ya?" Wusqa betulkan kedudukan sendiri. Dari berbaring kini dia duduk. Ada debar mulai menjengah di jendela hatinya.
"Hurm, kak.. Abang Fahmi pengsan."
"Pengsan?" Soal Wusqa dengan nada yang terkejut. Berita itu benar-benar menyentakkan seluruh tubuhnya.
"Dah panggil ambulan ke belum?" Dalam keadaan yang terperanjat, Wusqa masih lagi sempat berfikir. Masih lagi tahu apa yang perlu dilakukan yang sewajarnya.
"Dah, kak. Tapi ambulan belum sampai. Sebelum ni Abang Fahmi ada sakit apa-apa ke?"Pertanyaan itu lekas disambut dengan gelengan kepala sebelum bibir menyahut balas.
"Tak ada. Dia tak ada apa-apa sakit."
"Kak, datang sini boleh? Dekat belakang stadium Larkin." Usul si pemanggil itu Wusqa sambut baik. Dia pantas bersetuju.
"Boleh-boleh. Saya kejut anak saya dulu. Apa-apa update tentang suami saya, tolong telefon saya ya."
"Ya, kak. Saya tunggu akak sampai."
Panggilan telefon itu segera dimatikan. Wusqa menyanggul pula rambutnya yang panjang melepasi bahu. Pipi si Isyraf disentuh.
"Raf, bangun nak! Kita kena pergi ke tempat papa." Namun kata-kata Wusqa itu tidak berjaya mencelikkan mata si anak.
"Isyraf, bangun!" Kali ini Wusqa menaikkan nada suara beserta sentuhan tangan. Sikit kasar goncangannya di bahu Isyraf.
"Hurmmm." Budak lelaki itu mulai memberi tindakbalas. Namun Wusqa masih tidak berpuas hati.
Pek!
"Raf, mama kata bangun cepat! Papa pengsan dekat tempat main badminton. Kita kena pergi sana sekarang jugak!" Nada suara Wusqa berubah lagi. Lebih tinggi dari tadi.
Mata Isyraf terbuka luas. Sedetik kelopak mata itu berkelip. Bagai sedang mencerap maklumat untuk si akal berfikir.
Melihatkan mamanya sudah menukar pakaian. Isyaraf duduk, namun padangan matanya masih memerhatikan Wusqa yang sedang sibuk mencari tudung dari dalam almari.
"Mama nak pergi mana?" Soal sang anak. Ternyata Isyraf belum sedar sepenuhnya!
"Cepat, Raf. Pergi basuh muka. Mama dah siap ni." Pertanyaan Isyraf tidak dilayan. Bahkan perempuan itu sudah menyarung tudung express. Anak lelakinya yang sedari tadi tidak faham dengan apa yang sedang berlaku, terus menurut saja arahan.
Tak sampai lima minit, Isyraf keluar dari bilik air. Tuala yang tersidai di tempat penyangkut dicapai. Tergesa-gesa dia mengesat seluruh wajah yang lencun.
"Dah, mama." Ujar Isyaraf usai meletakkan tuala tadi di tempat asal.
"Jom!"
Dua beranak itu mengatur langkah besar menuju ke tingkat bawah.
Dalam perjalanan yang belum pun sampai separuh, telefon Wusqa berdering lagi. Lekas dia menjawab panggilan tersebut. Sebelah tangan lagi masih mengawal stereng kereta.
"Hello,"
"Hello, kak. Dah gerak ke belum?" Suara pemanggil tadi menyapa pendengaran Wusqa.
"On the way ni." Balas Wusqa.
"Jauh lagi ke kak?"
"Ambulan dah sampai ke belum? Saya nak ke mana ni? Hospital mana saya patut tuju?" Pertanyaan si dia Wusqa abaikan. Malah perempuan itu bertubi-tubi menyoal pula.
"Akak datang sini dulu kak. Cepat ya kak."
"Okey." Balas Wusqa sepatah. Namun hatinya mula berasa tidak enak. Suara si pamanggil yang seakan berahsia itu bikin Wusqa tertanya-tanya sendiri.
Apa sebenarnya yang terjadi Ya Allah? Dugaan apakah yang sedang Kau turunkan padaku?
Lantas bibir Wusqa terus menyebut,
La illa ha illaanta subhanakainni kuntumminaz zhalimi
Tanpa lelah dan tanpa henti bibir perempuan itu mengucapkannya. Sepanjang perjalanan hanya ucapan itu yang kedengaran di dalam kereta. Radio langsung tidak diaktifkan.
Isyraf diam membisu. Sesekali dia menoleh memandang wajah mamanya. Mahu bertanya lanjut, dia tidak berani. Entah mengapa anak kecil itu turut berdebar-debar.
Perjalanan menuju ke Stadium Larkin dipermudahkan oleh Allah SWT. Tiada satu kenderaan pun di hadapan pemanduan Wusqa. Sedangkan jam 11 malam seperti ini masih meriah dengan kenderaan. Namun malam ini bagai semua orang tidur awal.
Tiada kereta hatta sebuah motor kecuali kereta Wusqa!
Tidak berapa lama kemudian, Wusqa sampai di kawasan berpagar Dewan Badminton Tropic Raya. Dari dalam kereta Wusqa dapat melihat lampu ambulan sedang menyala bisu. Tiada siren dihidupkan.
Bahkan orang ramai berada di perkarangan dewan tersebut. Semuanya menoleh ke arah Wusqa dan Isyraf yang sedang keluar dari kereta. Baru saja kaki Wusqa sampai di cermin sisi ambulan, matanya sudah menangkap sekujur tubuh sang suami.
Mata terpaku. Kaki semerta terhenti. Tangan Isyraf dicapai lalu bahu sang anak itu dirangkul kuat. Seorang petugas kesihatan itu lekas mendapatkan mereka dua beranak.
"Puan isteri kepada Encik Ilham Fahmi?"
Wusqa menjatuhkan kepalanya, "Ya, saya."
"Maaf, puan. Suami puan tak dapat diselamatkan. Masa kami sampai, kami terus buat CPR. Ini.." Penolong Pegawai Perubatan itu menunjukkan Wusqa sepotong kertas kecil putih. Hanya garisan lurus memanjang saja yang kelihatan di situ.
"Tak ada degupan jantung, puan."
Hati Wusqa bagai direntap dengan kasar. Namun dia cuba untuk berpijak di bumi nan nyata. Wajah MA tersebut dipandang dengan tenang.
Peliknya masih belum ada air mata yang terbit. Sedangkan sebelum MA itu datang memberitahu, mata Wusqa lebih dulu nampak sekujur tubuh Fahmi sudah diselimuti kain putih.
"Bila pronounce death?"

ANDA SEDANG MEMBACA
Mihrab Cinta
RomanceWusqa, wanita yang diuji Tuhan kehilangan sang suami saat sedang berbadan dua. Langitnya yang membiru bertukar hitam semerta. Hidupnya menjadi gelap, teraba-raba dia bersama Isyraf di siang hari. Iyyaz, Lelaki yang siang dan malamnya menghadap tubu...