Bab 7

65 13 0
                                    


"Bila pronaunce death?"

"Baru sekejap ni puan. Salam takziah puan." Ucap MA tersebut sebelum berlalu meninggalkan Wusqa dan anaknya.

Isyraf yang kelihatan termangu-mangu itu hanya memandang Wusqa. Mata itu penuh dengan tanda tanya. Lalu Wusqa menoleh ke sisi, bebola mata perempuan itu memanah tepat mata Isyraf.

Tangan si anak dicapai, dipegang erat. Bagai saling berpaut ketika ini. Persoalan ketika diminta datang dengan cepat itu sudah terjawab. Dunia Wusqa sedang beransur-ansur menjadi malap dan terus gelap.

"Raf, papa Raf dah tak ada nak. Papa dah meninggal dunia."

Lalu air mata yang sedari tadi bersembunyi kini berlumba-lumba keluar. Dada terasa mahu pecah namun dia terpaksa menahan seorang diri. Perlahan-lahan tangan Isyraf dituntun menuju ke jasad yang sudah berselimut itu.

"Papa!"

Isyraf menerpa tubuh kaku Fahmi. Tangan Wusqa terketar-ketar menyelak kain putih yang menutupi wajah suaminya. Air mata yang kian lebat itu jatuh pada wajah yang sudah mulai sejuk.

"Abang.. bangunlah. Kenapa tinggalkan Wusqa dengan Raf?" Lirih suara perempuan itu menyoal pada suami yang sudah tidak bernyawa. Tapak tangan Wusqa menyentuh pipi mayat Fahmi.

"Papa... bangun..."

Silih berganti suara Wusqa dan Isyraf merayu agar Fahmi bangkit. Sungguhpun mereka sedar, lelaki kesayangan mereka itu bukan sedang tidur lena. Dirayu sejuta kali pun Fahmi tidak bisa celik mata lagi. Lelaki itu sudah dijemput oleh malaikat maut dan dia sudah diiringi pergi dari dunia yang fana ini.

"Salam takziah puan.." Ucap MA tersebut seakan mahu beredar dari situ.

"Encik, jenazah suami saya ni macam mana? Terus dibawa ke bilik mayat ke?"

Sungguh, saat ini Wusqa langsung tidak mampu berfikir. Terasa dia keseorangan, dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan!

"Kami tak boleh bawa jenazah dengan ambulan, puan. Jenazah suami puan akan dibawa oleh polis. Maaf ya puan, takziah sekali lagi."

Air mata Wusqa yang masih tidak berhenti kian mengalir deras. Robek sungguh hatinya saat ini. Sekujur tubuh sang suami akan dibawa pergi dengan kenderaan polis, bukan dengan menggunakan ambulan.

Namun saat ini tiada apa yang boleh Wusqa lakukan. Dia hanya mampu menangis sambil mengusap wajah arwah suaminya. Agak lama Wusqa berkeadaan begitu. Meratapi kematian sang suami yang tidak pernah disangka akan berlaku sepantas ini.

Sedangkan dia masih merasa pelukan dan kucupan hangat arwah Fahmi. Baru dua jam yang lepas dia menghantar pemergian suaminya di muka pintu. Alih-alih kini dia sedang menghadap sekujur tubuh lelaki itu yang kaku.

"Assalammualaikum,"

Wusqa hanya menjawab salam itu di dalam hati. Suaranya seakan tersekat di rekung. Namun tangannya pantas bergerak menyeka air mata sendiri.

"Puan, saya Sarjan Kamal. I/O untuk kes suami puan ni. Boleh saya minta IC puan?" Kepala Wusqa terdongak apabila suara garau itu menerpa.

Dalam kalut dengan kesedihan yang membadai dengan tiba-tiba, Wusqa menyerahkan juga kad pengenalannya.

"Apa hubungan puan dengan si mati?"

"Suami isteri." Balas perempuan itu dengan suara tenggelam timbul.

Anggota polis itu mencatat semua jawapan pertanyaannya. Seorang lagi anggota polis mengambil gambar jenazah. Juga barang-barang milik Fahmi saat ini.

Sementara menanti arahan seterusnya dari Sarjan Kamal, Wusqa mengumpul kekuatan diri sendiri. Wajah ayah dan adik beradiknya melintas di depan mata.

Wusqa menarik nafas panjang beberapa kali. Tangan kirinya mengusap perut yang sedikit membuncit. Bayi di dalam perut itu seakan mengerti dengan kesedihan mummy dan abangnya. Dia memberi tindakbalas dengan menendang perlahan perut Wusqa.

"Helo, assalammualaikum."




"Urwah.." Menyebut saja sepotong nama itu, tangisan Wusqa kembali pecah.

"Eh, kenapa ni Wusqa? Kenapa menangis?" Suara lelaki di hujung talian terus kalut menyoal. Terkejut.

"Fahmi.."

"Kenapa dengan Fahmi?"

"Suami Wusqa dah meninggal.." Dengan susah payah, perempuan itu menyampaikan juga berita sedih tersebut.

"Hah? Biar betul ni? Meninggal sebab apa? Bila?" ternyata, Urwah terkejut besar mendengar berita tentang adik iparnya.

"Baru ni.. Fahmi collapsed masa main badminton. Kawan dia telefon Wusqa kata Fahmi pengsan, suruh Wusqa datang.. tapi bila Wusqa sampai, Fahmi dah meninggal."

"Allahuakhbar.. innalillah wa innalillah hirrojiun.. habis tu Wusqa kat mana? Dengan siapa? Dah telefon ayah?"

"Wusqa dengan Raf. Wusqa belum telefon. Wusqa takut ayah terkejut.."

Kini Urwah mengerti mengapa si adik menghubunginya terlebih dahulu. Mujur juga dia dan isterinya sedang berada di Malaysia.

"Tak apa.. tak apa. Urwah uruskan ayah. Wusqa bagitau keluarga mentua Wusqa dulu. Wusqa dekat mana sekarang?"

"Masih dekat sini, Larkin. Polis kata Wusqa kena pergi buat report dekat Balai Polis Larkin lepas dia orang bawa jenazah pergi." Apa yang Sarjan Kamal terangkan padanya, Wusqa sampaikan semula pada Urwah.

"Tunggu Urwah dekat balai polis. Urwah datang sekarang."

Klik.

Wusqa menghamburkan nafas kasar. Lega apabila mendengar abangnya akan datang menyusur dia dua beranak.

"Puan,"

Perempuan itu menoleh apabila Sarjan Kamal memanggilnya.

"Kami akan bawa jenazah suami puan ke bilik mayat HSA. Puan buat report sekarang ya. Esok pagi baru boleh buat tuntutan jenazah."

"Esok pagi? Saya tak boleh tuntut lepas buat report ke?"

"Tak boleh, puan. Kita perlu jalani beberapa prosedur.. sebab suami puan meninggal tiba-tiba. Mati mengejut. Kita bimbang ada unsur-unsur jenayah. Faham puan?"

Lambat-lambat Wusqa terpaksa menjatuhkan kepalanya. Ya, dia mengerti. Terpaksa dia merelakan suaminya dibawa pergi oleh anggota polis itu. Dia kini hamba Tuhan yang perlu menerima qada dan qadar dengan selapang lapang hati yang kecil.


Mihrab CintaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang