Bab 9

124 12 0
                                    

Sedetik berlalu, Sarjan Kamal masih lagi mengetuk papan kekunci. Segala apa yang Wusqa katakan, disusun menjadi baris demi baris.  

“Selalunya kes seperti ni, kita perlu lakukan bedah siasat ya puan.” 

Wusqa terbelangah. Tiba-tiba segenap ruang di dada perempuan itu terasa menyempit. Air mata deras lagi.  

“Tak boleh ke kalau saya tak nak postmortem?” Soal Wusqa pilu. Wajah Sarjan Kamal sudah tidak jelas di pandangan matanya.  

“Bukan tak boleh, tapi banyak prosedur yang perlu puan lakukan nanti. Lagipun suami puan tiada penyakit kan?” Sarjan Kamal menjawab soalan Wusqa dengan pertanyaan juga.  

Lelaki itu seboleh-bolehnya cuba memberitahu Wusqa, bedah siasat perlu dilakukan. Namun ia harus mendapatkan persetujuan waris si mati.  

“Prosedur apa yang perlu saya lakukan bagi menolak postmortem suami saya?” 

“Bukti bertulis dari doktor yang suami puan memang ada penyakit dan rawatan. Juga kebenaran dari mahkamah, suka saya ingatkan puan, sekiranya puan menolak postmortem, jika ada perkara berbangkit, puan tak boleh nak dakwa-dakwi pihak kita.” 

Wusqa terdiam. Akalnya saling bertingkah. Dia sukar mahu berfikir dengan waras saat ini.  

Apa maksud tak boleh dakwa dakwi? Gumam hati perempuan itu.  

“Boleh saya bincang dengan abang saya sekejap?” 

“Boleh, puan. Silakan, nanti jumpa saya semula.” 

Akhirnya Wusqa angkat punggung meninggalkan Sarjan Kamal di kaunter itu. 

Si abang membetulkan duduknya apabila melihat Wusqa datang mendekat. Sempat lelaki itu menoleh ke arah isterinya yang sedang meriba kepala Isyraf. Anak buah mereka sudah lena dengan kelopak mata yang masih basah.  

“Urwah.. polis kata nak buat postmortem.. macam mana ni?” Wusqa mulai mengadu dengan air mata. 

“Postmortem.” Balas Nani. Dia lebih dulu menjawab sementelah Urwah hanya diam apabila Wusqa bertanya. 

“Tapi Wusqa tak nak sakiti mayat suami Wusqa.” 

“Syhhh..” Urwah lekas menggosok belakang badan adiknya. Perempuan itu teresak-esak lagi.  

Nani terus pegang lengan Wusqa, 

“Wusqa, postmortem tak salah dalam Islam. Ketepikan perasaan lain sekarang tu. Wusqa kena cari tahu apa punca kematian arwah. Suami Wusqa tak sakit kan sebelum ni?” 

Adik ipar yang sedang menangis seperti anak kecil itu, reda seketika. Dia pandang wajah Nani kemudian dia menjatuhkan kepalanya. Mengiyakan pertanyaan itu.  

Ya, suami Wusqa tiada penyakit. Suami Wusqa sihat walafiat sebelum keluar rumah! 

“Bedah siasat, dengar cakap akak. Ini kematian, Wusqa. Bukan pengsan atau ditidurkan oleh doktor. Kalau ada isu berbangkit nanti, Wusqa mahu ke kubur Fahmi digali semula?” Soal Nani. Sisi wajah Wusqa dipegang seketika. Lalu tangannya menyeka air mata yang sedang menitis laju dan tidak putus itu.  

Mihrab CintaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang