Bab 8

95 18 0
                                    

"Wusqa!"

Berlari anak Urwah mendapatkan adiknya. Melihatkan susuk tubuh si abang kian mendekat, air mata Wusqa derai lagi.

"Urwah.."

Kini di dalam pelukan lelaki itu Wusqa menangis semahu-mahunya.

"Suami Wusqa dah meninggal, Urwah. Wusqa dah jadi balu! Papa Raf dah meninggal.. anak Wusqa dah jadi anak yatim." Akhirnya Wusqa yang sedang berkecamuk dengan emosi mulai mengongoi-ngongoi.

"Hei..hei.. Wusqa! Sedar.. sedar.. jangan macam ni!" Urwah lekas meleraikan dakapannya. Dia menatap wajah basah lencun itu. Simpatinya memenuhi dada sendiri.

Dia tahu Wusqa sedang bersedih. Dia faham, bahkan Urwah pernah melewati detik ini saat hadap pemergian arwah Suria.

Namun untuk berteriak sebegini, Urwah tidak tega membiarkan Wusqa. Adiknya sedang berbadan dua. Kandungannya juga perlu dijaga. Apatah lagi Isyraf turut berada di sini.

"Mama!"

Nah, budak lelaki itu pula meraung!

"Raf.. mari dekat ibu long." Nani lekas memeluk anak buah sebelah suaminya itu. Air matanya turut tumpah melihat dua beranak itu sedang meratapi pemergian orang tersayang mereka.

Meskipun tinggal berjauhan di tanah Arab, mereka agak rapat. Setiap kali Urwah dan Nani pulang bercuti, mereka akan mengatur rancangan untuk menghabiskan masa bersama.

"Ibu long.. papa Raf dah meninggal dunia. Polis bawa papa Raf naik jip.."

Makin lebat air mata Nani mendengar luahan sedih hati Isyraf. Bahu anak kecil itu turut terhenjut-henjut.

"Syyhh.. syyhh.. papa meninggal sebab Allah lebih sayangkan papa. Tak apa.. ibu long dengan ayah long ada. Sabar ya, sayang.. Allah sedang menduga Raf dengan mama." Nani memujuk Isyraf. Anak kecil itu dipeluk erat. Sebelah tangan lagi menggosok-gosok belakang badan Isyraf.

"Wusqa! Macam mana boleh jadi macam ni?"

Tiba-tiba mak mentua Wusqa muncul di situ. Kelihatan Wanita itu sedikit kemengahan. Wajahnya seperti sugul dan sedang keliru.

Selepas Wusqa menghubungi Urwah, dia menelefon mak mentuanya pula. Kini kedua-dua mentuanya turut sama berkumpul di balai polis ini.

"Wusqa tak tau mak. Fahmi ada perlawanan badminton. Baru dua jam dia pergi, kawan dia telefon Wusqa bagitau dia pengsan. Bila Wusqa sampai, Fahmi dah meninggal dunia."

Cerita yang sama Wusqa beritahu Puan Fatimah. Air mata yang masih membasahi pipi sudah tidak dihiraukan. Mata perempuan itu juga sudah sembab.

Ah, siapa yang tidak akan menangis apabila suami yang dicintai sepenuh hati pergi dijemput Ilahi?

"Allahuakhbar.. anak aku!"

Encik Idrus lekas memaut lengan si isteri.

"Sabar, Mah.. sabar.. dah sampai waktu Fahmi." Ujar lelaki itu cuba menenangkan Puan Fatimah. Meskipun hatinya sendiri sedang dilambung ombak sedih.

"Mak.. Wusqa nak masuk dalam. Wusqa belum buat report lagi. Mak balik la dulu. Fahmi tak ada pun dekat sini. Esok pagi baru boleh tuntut dekat bilik mayat." Ujar Wusqa. Dia bimbangkan kesihatan kedua-dua mentuanya itu. Dia sendiri tidak tahu berapa lama dia harus berada di balai polis ini.

"Wusqa boleh ke sorang dekat sini?" Soal Encik Idrus.

"Saya ada pakcik. Saya akan teman adik saya sampai semua urusan selesai. Pakcik dengan makcik jangan risau. Pergilah balik berehat. Dah tengah malam pun ni." Urwah lekas menyampuk. Sempat dia mengerling jam di pergelangan tangan.

Sekarang sudah hampir satu pagi. Matanya mengerling ke ruangan dalam balai polis itu. Ada beberapa orang yang sedang menanti giliran. Tengah malam sebegini pun ramai orang mahu membuat laporan. Kes apa yang mereka mahu laporkan? Sempat hati Urwah menggumam.

"Iya la kalau macam tu. Tolong jaga menantu pakcik ya. Kesian dia.. Allah uji dia dalam keadaan begini."

Urwah hanya mengangguk saja. Dia juga kasihankan Wusqa.

"Raf nak ikut atuk balik?" Encik Idrus memandang cucunya pula. Budak lelaki itu menggelengkan kepala.

"Tak apa pakcik. Biar dia dengan kami." Balas Nani sambil mengusap bahu Isyraf.

"Ya la. Kami balik dulu." Kedua-dua orang mentua Wusqa berpamitan. Urwah terus memimpin tangan adiknya masuk ke dalam balai polis. Nani dan Isyraf mengikut langkah mereka.




Sudah dua jam mereka di sini. Namun urusan laporan polis masih belum selesai. Tidak hanya Wusqa saja yang melaporkan kematian Fahmi. Kawan Fahmi yang menghubungi Wusqa juga perlu membuat laporan. Bahkan ada seorang saksi lain bersama mereka.

Kesemuanya tiga orang termasuk Wusqa. Tidak cukup dengan sekali laporan. Pertama kali melapor dengan anggota polis di kaunter tersebut. Kemudian mereka diminta menanti Sarjan Kamal kembali ke balai polis itu. Pada Sarjan Kamal, mereka bertiga harus melaporkan semula kronologi tentang pemergian Fahmi.

Rumit!

"Mama.. papa meninggal sebab apa?"

"Entah la Raf, mama pun tak tau." Wajah polos si anak sudah tidak jelas di pandangan mata Wusqa. Air mata sentiasa keluar itu menghadkan penglihatannya.

Melihatkan wajah Wusqa basah dengan air mata, Isyraf teresak kembali.

"Raf, nak papa. Kenapa papa meninggal?"

Air mata Wusqa kembali lebat. Bahunya juga turut sama terhenjut-henjut seperti si anak. Mereka saling berpelukan di situ. Urwah yang duduk di sebelah adiknya lekas memaut bahu Wusqa.

Hatinya hiba melihat pelukan dua beranak itu. Air mata yang sedari tadi ditahan jatuh jua akhirnya. Nani juga sama. Dia sejak sampai sudah menangis melihat Isyraf.

Anak.. tabahlah, ini dugaan Allah buat Raf!

"Puan Urwatul Wusqa,"

Perlahan-lahan Wusqa bangkit mendekati kaunter tadi. Kali ini dia duduk berhadapan dengan Sarjan Kamal. Sisa air mata dikesat, namun ia tetap jua mengalir.

"Puan, boleh puan ceritakan pada saya apa yang terjadi pada suami puan?"

Bahu Wusqa mengendur dengan tiba-tiba. Mengapa aku harus mengulangi lagi cerita yang sama? Aku cerita seribu kali sekalipun, ceritanya tetap sama. Suami aku tetap tidak akan bernyawa kembali.

Melihatkan Wusqa yang bungkam di situ, Sarjan Kamal memanggilnya lagi.

"Puan Urwatul Wusqa.. Saya faham puan sedang bersedih, tapi puan kena beri kerjasama dengan saya. Meninggal dunia dengan tiada sejarah penyakit, ia jadi kes polis puan. Apatah lagi suami puan berada di tempat terbuka yang ramai orang. Kita khuatir jika orang masukkan racun ke dalam botol minuman arwah. Mungkin juga termakan benda yang boleh menyebabkan kematiaan. Jadi puan perlu ceritakan apa yang puan tahu tentang suami puan."

Wusqa faham dia harus menyelesaikan urusan ini secepat mungkin. Masa kian berputar. Malam sudah mulai beredar dengan perlahan. Kini pagi akan menyusul tanpa dia sedar.

"Suami saya keluar rumah lebih kurang pukul 8 malam. Dia ada perlawanan badminton antara kelab yang dia sertai. Pukul 10.30 malam, saya terima panggilan dari kawan suami saya. Beliau mengatakan suami saya pengsan dan meminta saya datang ke Tropic Raya, belakang Stadium Larkin. Apabila saya tiba, saya lihat suami saya sudah diselimutkan. Petugas ambulan memberitahu saya, suami saya tak dapat diselamatkan. Mereka melakukan CPR, tetapi jantungnya tidak kembali berdegup."

Dan.. untuk sekian kalinya, air mata Wusqa jatuh lagi. Dia hilang rasa malu. Malu itu bagai sudah tiada lagi untuk dia menyorokkan segala kesedihan yang berada di dalam hatinya saat ini.

Wusqa hanya membiarkan Sarjan Kamal melihat wajahnya yang comot dengan air mata!

Mihrab CintaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang