Bab 4

62 14 0
                                    


"Abang, betul ke set abang beli ni lebih dari 10 ribu ringgit?" Sudah hampir separuh perjalanan pulang, Wusqa masih tidak berpuas hati dengan pertanyaan di benak sendiri.

Dia mengharapkan sang suami berkata benar ketika ini. Hanya mereka berdua sahaja di dalam kereta.

"Kan abang dah cakap tadi. Tak perlu tahu..."

"Mestilah Wusqa nak tahu. Hadiah tahun ni paling mahal berbanding tahun-tahun yang lepas. Wusqa tak tahu nak beli apa pulak untuk abang." Luah perempuan itu sedikit polos.

Sudah tentu Wusqa buntu mahu mencari hadiah yang sama nilainya. Namun dia berasa agak keberatan di lubuk hati. Masakan dia perlu mengeluarkan duit dari tabungan masa hadapan, dengan agak banyak demi sebuah hadiah ulangtahun perkahwinan mereka?

Sedangkan mereka akan menimbang cahaya mata kedua tidak lama lagi. Pun begitu 10 ribu itu bukan kecil nilainya.

"Tak perlu belikan abang apa-apa. Asalkan honey selamat melahirkan anak kita, itu sudah lebih dari cukup. Hadiah yang terlalu besar dan paling berharga. Tukar dengan nyawa abang pun tidak akan sama nilainya. Abang sengaja tempah barang kemas tu untuk honey tahun ni. Special sikit.."

"Seingat Wusqa tabiat abang memang gitu. Asal Wusqa mengandung ajer, abang hadiahkan emas. Masa Raf dulu, abang belikan rantai tangan. Yang mengandung kali kedua, cincin. Ketiga, rantai leher. Tapi itulah.. mama memang beruntung betul. Walaupun dua tu kandungan gugur, koleksi emas tetap bertambah. Mujur papa dia orang tak buruk siku minta balik."

Fahmi terus tertawa dek seloroh si isteri. Sebelah tangannya lekas menyambar tangan Wusqa.

"Kandungan honey gugur itu kuasa Allah. Bukan rezeki kita. Dia yang tentukan begitu, tapi hadiah itu memang tetap untuk honey. Dah kenapa abang nak minta balik asbab kandungan tu tak sempat besar?"

"Iya la, mana la tahu. Abang frust!" Wusqa mencemik sedikit.

"Orang tak terima ketentuan Allah aje yang berperangai begitu. Dah Allah takdirkan macam tu buat kita, kita nak ubah macam mana lagi? Sedangkan Allah itu sebaik-baik perancang." Ujar Fahmi positif. Tiada sekelumit rasa tak puas hati pun pada dia ketika mereka melalui ujian tersebut.

Apatah lagi mahu menyalahkan Wusqa. Isterinya sudah sehabis baik menjaga kandungan tersebut. Namun tatkala jantung bayi tidak berdenyut lagi ketika usia kandungan yang kedua isteri sudah menjangkau 6 bulan, mereka sedar..

Tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubah aturan Allah.

Ah, Fahmi masih ingat lagi saat Wusqa tumpah darah ketika mengandung 4 bulan kandungan ketiganya. Darah terlalu banyak melempah di muka pintu bilik tidur mereka. Sedangkan Wusqa hanya mahu keluar dari bilik. Bukan sedang melakukan kerja berat. Waktu itu dia terlalu takut. Bahkan cemas berhadapan dengan situasi tersebut. Bimbang akan kehilangan sang isteri paling utama.

Saat itu, dia berdoa pada Allah. Jika Isyraf itu satu-satunya waris mereka, cukuplah sampai di situ saja. Dia tidak mahu Wusqa menanggung sebarang risiko. Risiko yang membahayakan nyawa sendiri. Dia dan Isyraf masih memerlukan Wusqa.

Fahmi tak mahu kehilangan isteri. Dia tidak ingin anaknya kehilangan ibu. Namun kuasa Allah siapa bisa tandingi?

Wusqa mengandung lagi setelah 5 tahun kejadian tumpah darah itu berlaku. Kali ini Fahmi memohon pada Allah SWT supaya kedua-dua mereka selamat dalam proses melahirkan. Tiada lain yang dipinta, itu sahaja.




Isyraf terus mencampakkan beg sekolah di sofa tatkala kakinya melintasi ruangan tamu itu. Mulutnya juga spontan lantang memanggil mama. Hati tidak keruan selagi tidak melihat Wusqa yang tiada di ruang depan.

"Mama, Raf balik!" kaki yang masih berstoking itu laju menuju ke dapur.

Melingas mata Isyraf saat dirinya sampai di situ. Namun mamanya tiada. Darah gemuruh si kecil mula menghambat jantung untuk bekerja lebih keras. Sekejapan dada Isyraf mengalami debaran kencang.

"Mama!" kini Isyraf berlari memanjat tangga pula.

Kebetulan Wusqa baru keluar dari bilik tidur, dia sedikit terkejut mendengar suara Isyraf menjerit. Ada nada kebimbangan di suara anaknya.

"Raf, kenapa berlari naik tangga? Dengan stoking tak lucut. Licin tu.. karang terjatuh!" Tegur Wusqa apabila melihat anaknya sedang tergesa-gesa memanjat anak tangga.

Tanpa mempedulikan teguran si mama, Isyraf kian mempercepatkan langkah mendekati Wusqa. Lantas tubuh Wusqa dipeluk erat. Terasa seribu kerisauan yang bergayut di tangkai hatinya terlerai!

"Eh, kenapa ni?" si ibu mulai hairan dengan gelagat anaknya. Baru kini Wusqa sedar tingkah laku Israf sedikit ganjil semenjak awal pagi tadi. Bahkan berlarutan hingga ke petang.

"Raf.." seru Wusqa sedikit lembut. Dia ingin memancing sang anak agar meluahkan apa yang sedang melanda jiwanya.

"Mama okey kan?" soal Isyraf saat dia meleraikan pelukan. 

"Okey aje. Raf pulak okey ke tidak ni? Kenapa mama rasa perangai anak mama lain macam aje hari ni?"

Isyraf tersenyum apabila Wusqa merenung anak matanya.

"Tak ada apa. Baguslah kalau mama okey. Raf, nak mandi dulu."

"Beg sekolah jangan lupa pergi kutip dekat sofa tu."

"Iya la.. Raf nak pergi ambillah ni." Ujar si anak seraya berpatah semula ke anak tangga. Lalu tinggallah Wusqa yang masih terlongo sendirian memandang bayang Isyraf.

Kenapa dengan anak aku hari ni? Macam ada sesuatu yang tak kena dengan dia. Perangainya pelik dari bangun tidur pagi tadi.

Namun pertanyaan itu tiada jawapan. Tiada siapa bisa menjawab kecuali Isyraf meluahkan kebimbangan yang sedang mengancam hati. Semuanya kerana mimpi yang mengganggu lena dia malam tadi. 

Mihrab CintaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang