KAKI yang terapung di udara aku goyang perlahan-lahan. Sambil meniarap, aku kunyah kerepek pisang di dalam mulut tak berhenti. Seronok aku kunyah-kunyah sambil berdekah gelak, menyeringai, menjerit suka menonton drama Korea kegemaranku. Sampaikan aku tersedak lalu terbatuk-batuk. Aku tepuk dada, hilangkan sakit tersedak. Terkeluar secebis kerepek pisang dari mulut. Aku kutip masukkan semula dalam mulutku.
"Comelnya," komenku. Skrin komputer ribaku memaparkan sebuah adegan kedua pelakon itu berpegangan tangan pada hari pertama kencan mereka. Masing-masing malu kerana pertama kali bergandingan tangan.
Haih.... teringin juga macam tu. Bila nak dapat?
"Zulfa!" Bunyi mak melaung dari dapur memberhentikan kunyahan aku. Aku sembamkan kepala ke badan katil. Aduh.... macam ada tanda-tanda nak mula ceramah aje tu.
Lambat-lambat aku mengangkat kepala. "Ya!" sahutku tak kalah tinggi. Jari menekan 'space' di papan kekunci komputer ribaku supaya drama aku yang sedang berjalan itu berhenti.
Aku keluar dari bilik. Rambut berserabai aku sebak ke belakang. Dapur dijejaki, mak sedang kalut memasak dan aku hanya pandang gerak hebohnya itu bersama pandangan malas.
"Kenapa, mak?"
"Ha.... baru nampak muka! Mandi ke belum ni? Berserabai!" Tanpa menoleh, mak bebelkan aku.
"Dah mandi."
"Nampak macam mak orang hilang anak kau ni! Padahal kahwin pun belum. Tolong aku buat kerja pun taknak! Pemalas! Apa nak jadi kau ni? Kawan-kawan sebaya kau semua dah kahwin. Kau? Duduk tengok Korea entah apa-apa tu. Tunggu Korea tu datang meminang kau ke? Lambert lagi!" punya panjang mak bebelkan aku. Ayat yang sama, dia ulang-ulang.
Aku agak muaklah dengar tapi nak melawan, berdosa. Apa mak kata tu ada betul juga walaupun sakit juga hati aku dengar.
Mak cuba nak panggil aku delusional secara berlapik.
"Tak ada jodoh lagi." Jawapan yang sama juga aku bagi. Malaslah berdebat pasal ni. Selalu sangat. Aku minta mak carikan, dia taknak. Dia kata nanti kalau dia cari tak sepadan dengan taste aku, aku pula mengamuk dekat dia kalau-kalau nanti aku bercerai ke apa.
Haih.
"Kau tu tak bersosial dengan orang, Fa. Cuba juga keluar. Terperap dalam rumah buat apa? Nak cakap tolong aku tak juga. Muka kau tu cantik. Ada je orang berkenan punya. Tapi kau tu demand!"
Aku garu kepala. Maunya tak demand? Kahwin bukannya sehari, dua hari. Seumur hidup. Kalau tersalah kahwin macam mana? Hidup tak bahagia, macam mana?
"Tu, anak Haji Hasan hujung kampung tu, apa nama?"
"Zahid."
"Ha, dia tu rebah bangun suka dekat kau dulu. Kau taknak pula dekat dia. Taste jambu-jambu kau ni. Melayu asli taknak? Nak yang kafir, yang Islam elok pergi masjid apa semua kau tak nak!" Makin kasar semburan mak padaku.
"Astaghfirullahalazim...." Aku istighfar kuat-kuat, bagi mak sedar dengan percakapan dia tadi.
"Dahlah. Aku bebel dekat kau buat sakit tekak je. Pergi belikan aku bawang besar dua labu."
Lah, itu tadi tujuan dia panggil aku? Sempat pula tu sebelum suarakan niat dia, ceramah dekat aku satu pusingan.
"Okey," akurku. Tak tunggu lama, aku capai tudung sarung. Duit dalam dompet mak bernilai RM5 aku ambil.
Keluar dari rumah, cahaya matahari menyimbahi aku. Tersepet-sepet aku kerana silau. Aku seluk tangan dalam poket. Teringat apa mak bebelkan aku tadi. Isu yang sama, dia kitar semula. Okey, aku mengaku aku demand tapi ni semua sebab masa lampau aku. Kebanyakan bekas kekasih aku tak guna, tak ada yang set my standard high orang kata. Bukan selalu aku jadi demand padahal sebelum ini aku bodoh kut bab bercinta? Muka elok tapi perangai hauk pun aku terima jadi boyfriend. Punya kemaruk nak bercinta.