MENGIKUT perancangan semenjak seminggu lepas, hari Selasa pagi aku bergerak memandu dari Perak ke Kuala Lumpur. Mulanya, aku bercadang nak ke Kuala Lumpur semalam lagi tapi mak menegah memandangkan perjumpaan amanah ikhtiar mingguannya tamat selepas pukul dua petang. Kira-kira baki masa, kami akan sampai pada pukul enam lebih jika bertolak pada waktu itu. Kena hadap jem di Kuala Lumpur lagi, entah-entah aku sampai di rumah lama aku sudah masuk waktu Isya'.
Itu sebab mak tak bagi. Kena tempuh jem bukannya mudah, katanya. Mak prihatin juga walaupun mulutnya bikin sakit hati. Aku pun sebagai anak dara bujangnya yang baik, menurut. Patuh bersebab. Aku pun malas nak menghadap jem juga sebenarnya.
Usai subuh, kami bertolak. Tayar aku jejak saja tanah ibu negara itu, kereta padat bagaikan ikan sardin. Kiri dan kanan kereta menghimpit badan kereta Perodua Viva aku. Aku pun, waktu-waktu emas beginilah aku keluarkan skil selit-menyelit aku. Untung kereta kecil. Smooth saja setiap kali aku menyelit. Itu pun adalah dua tiga kali mak menjerit seriau dan mengucap.
Tapi, jem di pagi hari tak sepadat jem di petang hari. Orang-orang pejabat kebanyakan sudah masuk kerja pada pukul lapan pagi tadi lagi. Tak tahulah kenapa boleh jem juga pada pukul sembilan hampir ke pukul sepuluh begini.
Setelah hampir empat puluh lima minit aku dan mak tersekat dalam kesesakan lalu lintas, kami tiba di rumah lama kami. Sempat tapaw nasi lemak dua bungkus tepi jalan. RM 6 jumlahnya. Aku merelakan saja walaupun hampir menangis mendengar harganya. Silap tadi aku tak tapaw nasi lemak di kampung aku siap-siap, makan berdua dengan mak dalam kereta. Dua bungkus baru RM 2. Sedap pun sedap. Ekstra kacang, tau!
Well, welcome to Kuala Lumpur, I guess!
Mak masukkan kunci ke dalam selak tombol pintu. Mak terlebih dahulu masuk dan memberi salam. Aku menyusul bersama bagasi-bagasi kami. Tutup saja pintu, telefon dicapai. Carian laungan azan di YouTube aku buka. Tak lama, seruan nama Allah itu bergema seluruh rumah dua tingkat ini.
Adab masuk rumah lama yang ditinggalkan, harus diazankan. Di dunia ini makhluk ciptaan Tuhan itu banyak. Bukan hanya manusia. Tempat-tempat sunyi semacam rumah lama yang ditinggalkan selalu menjadi sarang 'mereka' beranak-pinak.
Okey, meremang. Kita tutup perbicaraan kita setakat itu.
Siap angkut bagasiku ke tingkat atas, aku turun semula ke bawah untuk membawa bagasi mak sama ke atas. Mak cepat menghalang melihat tangan aku mencapai bagasi coklatnya. Dia nak tidur dekat bilik bawah saja. Aku bersyukur dia berkata begitu. Beg mak berat, nok! Tak tahulah apa yang dia bawa sekali sampaikan berat mengalahkan bagasi anak daranya ini!
Habis sarapan bersama mak dan berborak- membawang pasal orang-orang kampung, aku naik berehat ke bilik atas. Bertemu saja badan aku dengan katil, terus aku mengeluh lega. Seronok dapat permukaan empuk selepas empat jam tulang belakang aku tegak melekat dengan seat keras kereta aku.
Aku guling-guling atas katil. Dari hujung sini, sampai ke hujung sana. Berulang kali. Mana dengan katil ini wangi tadi aku sudah kibas-kibas buang habuk dan semburkan minyak wangiku ke atas permukaan lembut ini.... nikmat!
Dalam lega itu, aku terfikir skenario malam ini yang bahkan belum terjadi lagi. Semerta, aku bangun dari pembaringanku. Dua perkara menganggu aku sekarang ini. Satu, lupa untuk memaklumkan kepada Syirhan aku telah sampai di sini dengan selamatnya. Dua, aku berdebar bagai nak terkeluar jantung! Hujung jariku berubah suhu minus. Peluh menjeruk di sekitar tapak tangan.
Dan-dan juga, perut buat masalah. Nak buang air besarlah pula tapi sabar kejap, bagi aku maklumkan kepada Syirhan dulu.
Awak
Saya dah sampai