03

197 19 1
                                    

LEBIH 24 jam telah pun berlalu, namun tiada tanda-tanda Najla bakal membuka mulut tentang hal 'itu'. Tidak betah lagi Naaila ingin mendiamkan perkara ini lebih lama. Mungkin, Najla beranggapan bahawa situasi yang berlaku kepadanya tersebut biasa-biasa sahaja, tetapi tidak bagi Naaila. Ia cukup serius sehingga membimbangkan Naaila tentang keselamatan adiknya.

Kalau Najla tak nak beritahu tak apa, biar Naaila yang bertanya.

"Naj tak nak cerita apa-apa ke dekat kakak?"

Cukup melihat reaksi Najla yang tiba-tiba berhenti daripada melipat baju, Naaila tahu ada benda yang tidak kena.

"Cerita apa, kakak? Ada benda yang Naj tak bagitahu ke? Banyak sangat la cerita, Naj tak tahu mana satu yang kakak maksudkan." Lancar Najla menjawab. Pun begitu, matanya tidak berani bertentang dengan Naaila. Selamba saja tangannya sambung melipat baju.

"Naj... kakak serius tau. Betul Naj tak ada apa-apa nak bagitahu kakak?"

Najla menyepi sejenak. Tingkahnya kelihatan teragak-agak. Barangkali sedang menimbang tara sama ada ingin jujur atau pendam. Benarkah hal 'itu' yang kakaknya maksudkan? Sedangkan hanya Najla dan kawan baiknya sahaja yang tahu. Dia siap meminta perkara ini dirahsiakan lagi daripada pengetahuan Naaila. Najla tidak mahu membabitkan kakaknya kerana dia tahu perangai Naaila macam mana. Takkan la kawan baik dia ingin bocorkan rahsia pula?

Naaila menghela nafas berat. Rasa geram pula apabila adiknya tidak jujur. Dia tak faham kenapa Najla ingin menyorokkan perkara seserius ini.

"Okey. Naj tak nak cerita tak apa, Fiqah dah ceritakan dekat kakak."

Najla terus pandang Naaila. Ada kerisauan dalam nadanya, lebih-lebih lagi apabila melihat wajah si kakak. "Semua?"

"Hmm, semua. Termasuk Fakha datang cari Naj, sampai ke kafe favourite Naj tu." Monoton suara Naaila. Dia masih boleh kawal perasaan marah, tetapi dia tak dapat tahan rasa terkilan kerana Najla menepikan posisi dia sebagai seorang kakak.

"Naj minta maaf kalau kakak terasa sebab Naj tak bagitahu."

"Kakak bukan aje terasa tau, tapi kakak risau dekat Naj. Kenapa nak sorokkan benda sebesar ni daripada kakak? Naj tak pernah macam ni. Nasib baik Fiqah bagitahu kakak. Tengok? Kawan Naj sendiri pun takut bila Fakha bertindak macam tu."

Najla gigit bibir, kuat. Sampai tak fokus dia nak teruskan aktiviti melipat baju. Seriau dibuatnya apabila melihat mata Naaila yang garang, juga wajah Naaila yang ketat. Kakaknya itu jarang sekali memarahi dia, tapi bila dah marah, membuak-buak aura panas di dalam rumah. Tika itu, baru Najla sedar bahawa ia adalah sesuatu yang serius.

Mujur saja Puan Melati ke rumah jiran, nak tengok cucu Cik Saadah yang baru lahir katanya. Kalut betul ibu mereka itu, macam tak boleh tunggu esok pagi. Bila Cik Sudin dan menantunya keluar entah ke mana, laju saja Puan Melati menyerbu rumah Cik Saadah. Tapi baguslah, boleh la Naaila menggunakan masa keemasan itu untuk berbicara hati ke hati dengan adiknya.

"Naj bukan tak nak bagitahu, kakak. Tapi, Naj tak nak kakak terlampau risau. Selagi Naj rasa Naj boleh hadap, Naj tak nak libatkan kakak."

"Kenapa tak nak libatkan kakak pula? Naj masih rasa benda tu benda kecik? Fakha bukan setakat jumpa Naj tau, tapi dia cuba sentuh Naj bila Naj nak lari dari dia."

Najla sengap. Tak tipu, tapi jantungnya berdegup laju apabila ditembak bertubi-tubi dengan kenyataan yang keluar daripada mulut si kakak.

"Naj minta maaf." Akhirnya, itu saja yang terluah daripada bibir Najla. Sedar akan kesalahan sendiri.

Buat beberapa ketika, keadaan antara mereka hening. Naaila cuba menenteramkan hatinya manakala Najla menekur mengenangkan situasi tegang yang telah terjadi. Kalau Puan Melati tahu ni, berganda teruklah dia kena bebel nanti. Mujur saja Naaila yang bertanya sendiri kepadanya. Kakak dia itu masih tahu kawal bicara dan nada apabila dengan adik yang seorang ini. Najla kan sensitif sedikit orangnya.

Love, In Action!Where stories live. Discover now