02

244 34 2
                                    

Pelakon, Hafiq Iqmal, 26, menafikan tuduhan yang mengatakan bahawa dia sedang menjalin hubungan cinta bersama Rania Khan. Mengikut kenyataan yang telah dikeluarkan di laman Instagram pelakon drama popular tersebut, desas-desus itu adalah fitnah semata-mata dan hubungan Hafiq dengan Rania hanyalah sebatas teman kerja sahaja. Dakwaan tentang gambar-gambar mesra mereka di media sosial masing-masing sekadar bertujuan untuk mempromosi drama Kekasih Salju yang ditayangkan pada ketika itu.

SEMAKIN hari, semakin banyak andaian yang keluar mengenai Hafiq dan Rania. Membuatkan Hafiq terlebih dahulu mengambil tindakan dengan mengeluarkan kenyataan ringkas di laman Instagramnya. Untuk mengelakkan fitnah kian berleluasa, setidaknya Hafiq perlu menjelaskan perkara yang sebenar tentang hubungan mereka. Andai tidak mengenangkan orang lain, bisa saja dia membiarkan hal ini berlalu dengan sendiri. Tetapi, hati pula rasa tak sedap jika Hafiq abaikan kerana dia tidak mahu lebih ramai pihak berharap kepada perkara yang tidak pasti.

Seperti yang sudah dapat diagak, beberapa laman sesawang telah memuat naik artikel mengenai penjelasannya semalam. Bukan itu sahaja, malah ada sebahagian pihak di media sosial yang turut tidak melepaskan peluang untuk mencampur tangan. Entah kerana kerja atau ingin menumpang isu demi secebis perhatian semata-mata. Namun apa yang membuatkan Hafiq tidak berkenan, ada sesetengah halaman tanpa serba salah meletakkan tajuk utama yang boleh mengundang fitnah. Sebab inilah awalnya dia tidak mahu memberi kata putus apa-apa. Elok-elok nak menjernihkan keadaan, sebaliknya yang berlaku.

Hafiq meraup wajahnya kasar apabila membaca komen-komen netizen yang menyeleweng daripada penjelasan sebenar. Letih. Dah menyatakan kebenaran pun masih ada segelintir manusia yang lebih percaya dengan kesimpulan sendiri. Malas ingin bikin otak serabut, Hafiq terus mematikan telefonnya. Kepala terkulai ke belakang seraya dilabuhkan di atas penyandar sofa. Kemudian, mata dikatup rapat sekali gus hembusan nafas dilepaskan.

"Gila! Dahsyat penangan drama kau dengan Rania, Fiq." Selamba Noah mengutarakan hal panas itu. Mulutnya bergerak seiring dengan tangan yang ligat menatal komen satu per satu.

Kelopak mata Hafiq terbuka, berkalih pandang ke arah Noah.

"Ramai lagi rupanya yang masih berharap kau kahwin dengan Rania. Mungkin, ini petanda yang kau kena tunaikan kut," sakat Noah lalu terhambur gelak sinisnya. Kepala terangkat memandang Hafiq yang duduk santai di sofa berangkai dua.

"Wah! Wah! Wah! Sembang cukup senang, Noah. Dah berapa lama mulut kau tak rasa makan penyepak? Mudah-mudah je suruh aku kahwin semata-mata nak ikut cakap orang. Lambat lagi! Aku bukannya ada hati dekat Rania. Setahu aku, Rania pun orang yang profesional bila bekerja. Takkan la sikit-sikit nak jatuh hati. Kau ingat perasaan orang ni murah sangat ke? Boleh derma je dekat siapa-siapa? Cinta bukan amal jariah, Noah Ayden."

Zap!

Sakitnya tuh di sini di dalam hatiku...

Hah, cakap lagi benda merepek macam tu. Kan dah kena dengar apa yang Hafiq lalutkan. Walaupun agak pedas, semburan Hafiq tetaplah tak buat Noah terasa. Dia masih lagi terhibur membaca komen-komen warganet yang terpaling palatao di siaran Instagram Oh Bintang!

@cahayanursinarmentari | Tipikal artis nak sorokkan relay. Nak acah surprise la tu bila kahwin nanti. Oops!

@yuyucintayou | Dh beria expose gambar sana sini tkkn la tak bercinta hihi.

@rozitamansor75 | tiada yg mustahil bagi Allah. trus berdoa untuk kedua2nya.

@meraqaisara | Kecewanya. I suka gila drama Kekasih Salju. Hopefully yang baik-baik saja untuk both of them.

Love, In Action!Where stories live. Discover now