HARI ini Hafiq bermalam di rumah keluarganya sahaja memandangkan selepas pulang dari Meribella Bakery Café tadi dia pandu kereta Puan Elysha. Tetapi, esok pagi dia dah kena pulang ke penthouse sebab lusa Hafiq harus menghadiri sebuah high-profile event, jadi ada beberapa persediaan awal yang perlu dia lakukan.
Selalunya, Puan Elysha memang ke mana-mana memandu sendiri, tak mengharapkan Hafiq atau Encik Herman. Maklumlah, Encik Herman itu sibuk dengan tanggungjawab sebagai seorang pensyarah di salah sebuah universiti terkemuka. Puan Elysha pula kaki jalan, jika dia mengharapkan anak dan suami, tak ke mana la dia. Duduk rumah sajalah kesudahnya menghadap dinding dan siling.
Hafiq ingatkan dia akan selamat dari soal siasat sehingga esok, namun sangkaannya meleset apabila Puan Elysha membuka topik 'tersebut' semasa mereka berada di dalam bilik kerja Encik Herman pada malam itu.
Kebiasaannya, mereka sekeluarga akan meluangkan masa di sini jika Encik Herman ada kerja yang perlu dilakukan, terkecuali apabila kerja itu memerlukan dia untuk lebih fokus. Sambil Encik Herman menyelesaikan tugasnya, sambil dia boleh catch up apa yang patut tentang Hafiq yang sudah duduk berasingan. Anaknya itu bukan selalu balik sini kalau dia dalam fasa sibuk. Nak dapat call pun payah kalau Puan Elysha tak menghubungi dulu.
"Kenapa Fiq tak bagitahu mama yang Fiq tengah berkawan dengan Naaila?"
Baru soalan pertama diajukan oleh Puan Elysha, lidah Hafiq bagai dipenjara. Tadi bukan main becok bercerita pasal sesi penggambaran drama Hancurnya Hati, tiba-tiba sekarang bibirnya mengeras dek tembakan mengejut itu. Sedetik demi sedetik berlalu hanya dengan gumaman serta mata yang bersilih ganti memandang kedua-dua si orang tua.
Tegak duduk Hafiq sambil tangan mengusap belakang leher. Buntu hendak membalas apa. Skrip sudah dikarang di dalam kepala, tetapi dia tak tahu nak pilih jawapan jujur atau jawapan palsu. Sejujurnya, Hafiq tak sanggup nak menabur dusta lagi, tetapi dia juga tak sanggup nak patahkan hati Puan Elysha dengan kebenaran.
Semasa di Meribella Bakery Café, Hafiq lihat Puan Elysha sangat senang beramah mesra dengan Naaila. Gadis itu pun nampak tak kekok langsung melayan mamanya. Mungkin kerana Naaila sudah terbiasa menguruskan pelanggan, sebab itu dia dan Puan Elysha boleh berborak dengan natural. Syukur saja Naaila tak disoal siasat tentang hubungan mereka sebagai 'kawan' itu kerana mamanya banyak bertanya tentang diri Naaila. Dan, nasib baik Naaila ada kerja lain juga di bakeri kafe yang membolehkan dia dan Hafiq terlepas dari situasi janggal tersebut. Kalau tidak, makin melaratlah. Silap-silap terbongkar terus penipuan mereka.
"Tengok tu, diam pula anak you ni. Fiq nak sorok Naaila berapa lama lagi daripada mama? Ada apa-apa ke antara Naaila dengan Fiq sampai Fiq nak kena berahsia dengan mama?" Menyempat Puan Elysha adu kepada Encik Herman sebelum dia mengajukan pertanyaan kepada Hafiq.
Tak betah membiarkan teka-teki mamanya bersimpang lebih jauh, terus Hafiq mencelah selepas itu. "Mana ada, ma. Fiq dengan Naaila kawan je. Tak lebih dari tu pun. Sebab tu Fiq tak rasa nak bagitahu mama apa-apa."
Melihat wajah Puan Elysha dan Encik Herman yang berkerut-kerut, seakan meragui alasannya itu, Hafiq menambah lagi bicara untuk mengukuhkan kenyataan dia. "Mama pun tahu kan Noah ada sekali tadi. Bukannya Fiq betul-betul berdua dengan Naaila. Cuma waktu mama datang tu, Noah duduk jauh sikit sebab dia busy text dengan girlfriend dia, biasalah nak privasi. Haa, waktu tu je Fiq berdua dengan Naaila."
"Fiq buat apa dekat bakeri dia? Mesti ada sebab kenapa Fiq jumpa Naaila." Encik Herman pula menyampuk. Diikuti dengan anggukan Puan Elysha tanda bersetuju dengannya.
"Noah la, pa. Tiba-tiba nak makan dessert pagi tadi. Alang-alang, jumpa la Naaila sekali sebab Noah suka dessert dekat bakeri Naaila tu. Mama dengan papa macam tak kenal pula Fiq. Fiq mana suka makanan manis-manis ni." Lancar ayat itu meluncur keluar dari bibir Hafiq. Ah, gasaklah! Asal logik didengari di telinga. Tetapi, kali ini dia tak sepenuhnya menipu sebab memang Noah pun yang nak makan dekat situ.
"Macam mana Fiq boleh kenal dengan Naaila? Maksud mama, sampai Fiq boleh berkawan dengan dia." Puan Elysha masih tidak berpuas hati. Benar, dia kenal anak sendiri, dan sebab dia kenal la dia sedang meragui Hafiq kala ini.
Kepala digaru Hafiq tanpa sebab tatkala dia mati akal. Tangan si mama yang bersilang di dada bersama tatapan setajam sembilu itu seolah-olah memberi amaran kepada Hafiq agar tidak tersilap jawab.
"Simple je, ma. Macam orang lain juga." Mudah Hafiq memberi alasan. Sebelum sempat Puan Elysha memintas apa-apa, dia terus menukar topik. "And now, Fiq pun perlukan explanation daripada mama. Kenapa mama ajak Fiq keluar hari ni? Bukan dengan mama je, tapi ada kawan mama and anak dia sekali. Mama ada plan apa-apa ke belakang Fiq?"
"Kalau ada pun, kenapa? Fiq tak suka mama usaha untuk anak mama?"
"Ma... bukan macam tu. Tapi, Fiq..." Tersentap hati Hafiq apabila Puan Elysha berkata begitu. Beku terus otaknya hendak beralasan 1001 kata. Hafiq tak bermaksud pun hendak menyekat Puan Elysha daripada masuk campur seratus peratus dengan urusan hidupnya, tetapi apabila melibatkan hati dan perasaan ini sukar untuk Hafiq bersetuju. Kerana kalau boleh, dia nak cari pasangan sendiri.
"Kalau Fiq tengah berkawan dengan Naaila, jujur aje dengan papa dan mama. Bukannya kami nak halang. Kalau tak, tak ada la mama Fiq tu nak kenalkan Fiq dengan anak kawan dia. Mama tu cuma risau aje dengan Fiq. Umur dah berapa, tapi bercinta pun tak pernah. Bukan setakat bercinta, kawan perempuan pun tak nampak bayang. Ni, baru papa dengar sendiri dari mulut Fiq pasal Naaila," ujar Encik Herman lagi. Berada di pihak isterinya, sekaligus mengelakkan daripada kes bermasam muka antara anak-beranak. Lagipun, elok juga kalau mereka dapat menantu. Boleh tutup mulut netizen yang menabur fitnah tentang hubungan palsu anaknya.
Sekejapan, Hafiq memilih untuk diam.
Ujaran Encik Herman itu membuatkan akalnya terfikir.
Patutkah dia cakap yang dia sedang berkawan dengan Naaila? Berkawan saja, kan? Bukannya lebih. Dan, Hafiq juga tak perlu berjumpa dengan Naaila seperti pasangan kekasih yang lain. Sama ada dia berjumpa dengan Naaila atau tidak, Puan Elysha bukan boleh tahu pun.
Lagipun, ia juga adalah langkah yang selamat untuk Hafiq supaya Puan Elysha tidak mengatur dia dengan sesiapa. Tak ada la mamanya kecewa lagi jika Hafiq menolak berkali-kali apabila dikenenkan dengan anak kawan dia.
Dalam hal ini, win-win situation, kan?
Setelah fikir masak-masak, Hafiq sudah tetapkan hatinya.
Kepala diangguk perlahan. "Ya, ma, pa. Fiq tengah berkawan dengan Naaila. Kita orang dalam fasa kenal-kenal. Jadi, Fiq harap mama dengan papa boleh bagi peluang untuk Fiq kenal dan cari keserasian dengan Naaila."
YOU ARE READING
Love, In Action!
Romance𝐇𝐀𝐅𝐈𝐐 𝐈𝐐𝐌𝐀𝐋 ✦ 𝐍𝐀𝐀𝐈𝐋𝐀 𝐌𝐀𝐈𝐒𝐒𝐀 Selaku seorang kakak yang mengambil berat, Naaila cuba menyelamatkan adiknya daripada spesies lelaki tak guna. Lalu, Najla akhirnya mengambil keputusan untuk menoktahkan hubungan dengan Fakha, si tem...