Seperti yang dikatakan Sein, mereka langsung tidak bertemu empat mata selepas sah menjadi suami isteri dua bulan lepas. Ke mana Sein? Nia langsung tidak tahu. Nia menunggu Sein? Tidak, cuma belakangan ini hatinya berasa tidak enak. Ghaffar juga tiada khabar berita.
Nia Suri menjalani hari-harinya seperti biasa. Sendiri. Namun ada sesuatu yang membuatkan dia menantikan jawapan dari Sein. Akaunnya bertambah setiap digit setiap bulan. Entah dari mana, sudah jenuh dia selidik. Ghaffar? Mustahil. Biarpun ayah tirinya itu tidak pernah meminta duit dari dia, tetapi untuk memberi duit belanja bulanan, juga tidak pernah. Sejak di bangku sekolah, hanya mama sahaja yang sering memberi belanja, baik untuk sekolah atau pun rumah. Ghaffar tidak bekerja. Itu Nia Suri tahu, tetapi Ghaffar tidak terlihat menganiayai mama. Sejak mama jatuh sakit, Ghaffar yang mengambil alih menjaga keluarga. Oleh sebab itu, Nia Suri sayang kepada Ghaffar dan menganggap lelaki itu seperti ayah kandung sendiri.
"Nia, telefon kau tu, ada orang call." Teguran Mimi, rakan sekerja dan sebelah meja membuatkan Nia terus mengambil telefon yang menunjukkan panggilan masuk. Telefon dalam mode senyap.
"Hello, Assa..." Baru hendak memberi salam, kata-katanya terus dipotong.
"Aku ni, aku depan rumah kau." Suara yang sudah lama tak didengar. Seakan kebetulan, Nia Suri baru sahaja terfikirkan diri empunya suara.
"Saya masih di sekolah."
"Dah habis kerja belum?"
"5 minit lagi."
"Aku tunggu depan rumah." Terus sahaja talian dimatikan. Nia Suri berkerut kening. Baru teringat, sudah sampai? Hebat. Nia Suri senyum segaris.
"Siapa? Tetiba senyum. Suami?" Soal Mimi. Nia Suri hanya mengangguk perlahan.
"Bila nak kenduri? Tak elok lama-lama nikah gantung. Nanti dah ter..." Mimi membuat gaya membukit pada perutnya. Nia Suri hanya membalas dengan senyuman.
"Okaylah tu, terus kenduri akikah dan kesyukuran. Jimat." Nia Suri membalas, sambil tangan cepat-cepat mengemas meja kerja.
"Pulak. Memang tak ada kenduri?"
"Tiada yang nak uruskan Mimi. Saudara mara? Pun tak berapa ramai, yang ada semua dah tua-tua sangat. Lupa ke, saya kan yatim piatu." Jawapan yang mematikan semua persoalan lain. Satu sekolah terkejut apabila Nia Suri mula mendaftar bahagian pasangan dalam portal pekerjaannya. Mahunya tidak, tiada angin, tiada ribut tiba-tiba sudah bernikah.
Nia Suri mempercepatkan langkah. Mahu segera pulang ke rumah.
10 minit.
Nia Suri sudah melihat kereta lain di depan rumah. Mewah. Hitam. Cermin legap. Langsung tidak nampak kelibat di dalam. Sama seperti Vellfire yang pernah dinaikinya dulu. Kereta Kumpulan Mafia memang perlu hitam ke? Salah ke kalau warna lain? Nia Suri berfikir bukan-bukan.
Kereta Sein menghalangi jalan untuk masuk ke dalam pagar rumah. Nia turun dan membuka kunci pagar untuk membolehkan Sein memarkir kereta di dalam. Nia menghampiri kereta Sein dan mengetuk cermin bahagian pemandu sebelum dibuka dari dalam.
"Sorry lambat. Awak parkir dalam dulu." Sein tidak membalas, hanya terus menukar gear dan menggerakkan keretanya masuk ke dalam pagar rumah Nia Suri. Nia Suri kemudian terus ke kereta dan memandu masuk ke dalam ruang pagar. Mujur sahaja muat.
Nia Suri terus laju bergerak membuka kunci rumah sebaik memandang Sein yang telah pun keluar dari perut kereta dan membongkok di tepi kereta. Tangan menekan ke perut. Riak wajah seperti sedang menahan sakit.
"Awak okay ke?" Nia Suri menghampiri Sein yang mula melangkah ke pintu rumah.
"Okay." Sein membalas namun rahang mengetap kuat dan kelihatan bergerak-gerak.
YOU ARE READING
LELAKI BERTATU BUNGA
RomanceAyah tiri larikan wang dari Orang Kaya Singapura setahun lalu tanpa diketahui keluarga. Akhirnya, dia menjadi buruan orang-orang Orang Kaya itu. Saat nyawa dihujung tanduk, ayah tiri diselamatkan Nia Suri dengan kesediaan membayar semua jumlah hutan...