5

120 14 2
                                    


Malam

Nia Suri menghidangkan makan malam. Sejak petang tadi, Sein masih terlena di sofa. Puas Nia Suri menyuruh masuk tidur di bilik, tetapi lelaki itu tidak mengendahkan. Mandi pun tidak. Nia Suri hanya membiarkan setelah beberapa kali mencuba.

Siap menghidang, Nia Suri melangkah menghampiri Sein yang sudah kelihatan membuka mata, cuba bangun dari pembaringan.

"Nak mandi dulu?"

"Aku lapar." Balas Sein.

"Okay, jomlah, saya dah siap hidang." Tidak tunggu lama, Sein terus bangun dan berjalan mengikuti langkah Nia. Sampai sahaja di meja makan, dia terus melabuh duduk. Nasi terus dicedok ke pinggan, tidak sempat Nia Suri mahu menghidangkan. Lapar sangat gayanya.

"Awak ada masukkan duit dalam akaun saya?" soal Nia Suri sewaktu mereka makan. Sein berhenti menyuap dan memandang ke arah Nia sebelum membalas.

"Kenapa? Tak cukup?"

"Eh, bukan macam tu. Cumanya tak tahu dari siapa. Kalau dari awak, saya nak tahu kenapa?"

"Aku nak ikat kau selamanya jadi isteri aku. Kau ingat mudah nak lepas dari aku?" Nia Suri berkerut mendengar kata-kata Sein.

"Saya tak pernah terlintas nak berpisah dengan awak. Kalaulah dengan menjadi isteri awak dapat membalas jasa baik awak selamatkan saya, saya akan jaga perkahwinan kita ni sebaiknya." Nia Suri membalas. Sein yang sudah pun selesai makan, terus bangun dari kerusi dan membasuh tangan.

"Bagus dan ingat, kau jadi isteri aku selagi aku hidup dan selagi kau pun hidup." Sein terus melangkah ke ruang depan. Mengambil semua barangannya dan keluar. Nia Suri terkocoh-kocoh membasuh tangan dan menyambar tudung.

"Awak nak ke mana?" Soal Nia Suri, sebaik sahaja menghampiri Sein yang sudah pun memasuki perut kereta. Pintu kereta ditahan.

"Kan aku pernah kata, jangan masuk campur urusan aku."

"Taklah, ingatkan awak tidur sini."

"Aku masih sakit nak layan kau. Tunggu aku sihat." Tangan Nia Suri dicapai dan dielus sesaat sebelum kembali melepaskan.

"Bukan itu maksud saya. Awak belum sihat, luka tu masih kena cuci kan?" Nia Suri cepat menidakkan fikiran bukan-bukan Sein.

"Aku pernah lagi nazak dari ni Nia. Nanti aku datang lagi."

"Bila?"

"Bila-bila aku rasa perlu datang."

"Jadi, hari ni awak datang sebab cedera?" Sein mengangguk.

"Aku ada area sini, kebetulan rumah kau aje paling dekat. Jadi aku singgah."

"Singgah?" Nia Suri terguris. Difikirannya dia fikir Sein balik untuk bertemu dengannya.

"Aku pergi dulu. Jangan lari, nanti aku datang check lagi." Check? Nia Suri menghela nafasnya perlahan.

"Boleh bagi saya nombor telefon awak?" Sein berkerut dengan permintaan Nia Suri.

"Untuk? Aku tak suka kau call atau mesej aku."

"Tak, kalau ada apa-apa kecemasan ke? Atau saya nak ke mana-mana luar Ipoh, kan mudah saya nak bagitahu nanti." Sein senyum hujung bibir.

"Tak perlu. Aku pergi dulu." Kereta itu terus berderu pergi. Nia Suri hanya mampu memandang sehingga hilang dari pandangannya. Semudah itu. Datang dan pergi sesuka hati.

Nia Suri menggeleng dan ketawa kecil. Ketawakan dirinya. Mengharapkan apa dari perkahwinan yang terpaksa dan tiba-tiba? Nia Suri mengharapkan Sein jadi suami seperti orang lain? Tidak. Nia Suri tiada sesiapa, hanya si suami dan ayah tiri yang telah lama menghilang diri. Jadi, salahkah dia mahu lebih rapat lagi? Atau sememangnya ini takdir untuk dia?

3 bulan.

Telah cukup tiga bulan sejak Sein singgah ke rumah. Nia Suri meneruskan kehidupan seperti biasa. Pergi kerja – balik rumah, pergi kerja – balik rumah. Itu sahaja. Mahu ke mana lagi?

Duit sememangnya tiada masalah, sentiasa penuh di dalam akaunnya. Sejak 5 bulan lebih menjadi isteri kepada Sein, Nia Suri tiada lagi masalah kewangan. Pinjaman yang dibuat sebelum ini untuk menjelaskan hutang ayah, langsung tidak memberikan kesan. Tentu sahaja, jumlah wang yang dimasukkan Sein kepada dia lebih dari cukup. Tetapi itu bukan menjadi alasan untuk dia boros dan menghabiskan semua duit itu.

"Aku nak ke Aeon lepas sekolah ni. Nak join? Esok kan cuti." Mimi yang sedang menanda buku menyoal Nia Suri yang baru habis kelas.

"Aeon mana?" Nia Suri melabuh duduk, air mineral diteguk perlahan. Penat bercakap dalam kelas.

"18 lah, best sikit."

"Erm... kejap aku tanya suami aku."

"Oh, lupa dah kahwin. Tapi suami kau tak duduk sini kan?" Mimi menyoal lagi. Nia Suri yang memegang telefon hanya mengangguk kepala.

"Dia kerja mana?" Soalan yang membuat Nia Suri terdiam. Takkanlah nak bagitahu, suami saya Mafia, alah yang ala-ala yakuza semua tu. Cari nahas!

"Bisnes, tak duduk setempat. Branch KL" Jawapan selamat.

"Oh, patutlah. PJJ lah ye. So macam mana, suami izin?" Mimi menyoal lagi. Nia Suri hanya senyum segaris.

"Belum balas." Sebenarnya, belum jumpa. Nia Suri mencari nombor Sein yang pernah menghubunginya lama dulu. Tetapi dia tidak pasti yang mana satu.

"So?"

"Erm... bolehlah, saya pun ada nak cari barang sikit." Nia Suri membuat keputusan. Mungkin Sein tidak kisah. Kalau dia kisah, janganlah keluar lagi selepas ni, kan?

"Okay set!"

LELAKI BERTATU BUNGAWhere stories live. Discover now