Nia Suri hanya membuntuti langkah Mimi, dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Tidak tahu apa hendak dibeli. Apa yang dia perlukan hanyalah keperluan diri yang biasa, sabun, shampoo dan barang makanan. Mimi pula dari tadi, dari satu kedai emas, ke kedai emas yang lain. Nia Suri suka emas tapi tidaklah suka membeli. Cukup yang ada di jari manisnya. Cincin mas kahwin dari Sein.
"Nia, kau perasan tak?" Mimi menyoal. Nia Suri fokus memandang Mimi berselang seli dengan rantai tangan yang dibelek Mimi sedari tadi.
"Perasan apa?"
"Ada orang follow kita. Dari mula kita park, sampailah sekarang." Kata-kata Mimi membuatkan Nia Suri terus mahu berpaling ke belakang tetapi laju Mimi menahan.
"Jangan pandang terus, nanti dia perasan. Tengok dari cermin." Mimi, guru disiplin, mata macam helang. Nia Suri langsung tidak perasan apa-apa. Entah, tidak langsung peduli.
"Yang mana? Jaket hitam tu ke?"
"A'ah... aku perasan masa park kereta dia park dekat dengan kita. Naik lift sama-sama, and masa makan tu baru aku macam rasa dia perhatikan kita. Kau kenal?" Nia Suri yang masih memandang dari cermin kaca kedai emas itu, menggeleng laju.
Nia Suri mengamati. Dalam hati, mungkinkah ayah? Atau orang-orang Sein? Nia sendiri tidak pasti.
"Tak apalah. Selagi dia tak dekat dan mengancam, kita buat tak tahu ajelah. Harap kita salah menilai." Ujar Mimi kemudian. Nia Suri tidak tahu mahu berkata apa, dia hanya mengangguk, bersetuju sahaja dengan apa yang dikatakan Mimi. Dalam hati dan kepala, berselirat memikirkan, siapa?
Selepas selesai mendapatkan apa yang mereka perlukan, mereka berdua secepatnya masuk ke kereta dan keluar dari Pusat Membeli Belah itu. Secepatnya, ya kerana takut diikut oleh lelaki yang tidak dikenali. Biarpun selepas di kedai emas tadi, kelibat lelaki itu tidak lagi dilihat. Sedikit sebanyak mereka merasa lega.
"Terima kasih Nia, teman aku. Sorry tau kalau kau penat. Aku memang suka windows shopping." Ucap Mimi sebelum berlalu pulang selepas menghantar Nia Suri kembali ke sekolah. Kereta masih di sekolah. Nia Suri tidak membuang masa, terus pecut ke rumah. Badan terasa penat. Lagi penat kepala yang berfikir banyak.
Aduh, sudah rasa tidak senang menyerang. Setelah sekian lama tidak berasa yang demikian, kini dia kembali diserang rasa takut. Takut, andai benar-benar dia diekori orang. Kalau ayah atau orang Sein, dia lega. Tapi kalau tidak? Kalau orang-orang Mahmood atau musuh ayah? Arghhhh!!! Penat nak fikir.
Nia Suri sampai di depan pagar. Cuak, pagar yang sebelum ini dia kunci, tiba-tiba sudah terbuka luas. Siapa?
Nia Suri tidak terus turun. Dia mencari pandang dari dalam kereta. Tetapi tiada siapa. Ruang depan rumah kosong. Tiada sesiapa, hanya pagar yang terbuka. Teragak-agak mahu keluar tetapi sampai bila dia mahu duduk di dalam kereta itu?
Nia Suri turun, laju dengan menjinjit beg kerja. Mahu segera masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu. Baru sahaja dia mahu membuka pintu rumah. Pintu tersebut terbuka sendiri dari dalam. Nia Suri terkejut.
"Ayah." Bibirnya menutur selepas membeku seminit. Ghaffar yang berdiri dengan wajah bengis di muka pintu hanya merengus kasar.
"Mana kamu pergi? Lama aku tunggu." Nia Suri berkerut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ghaffar.
"Kenapa ni ayah?" Soal Nia Suri setelah masuk ke rumah.
"Aku datang tadi, kamu tak ada. Aku tunggu lama dekat luar, panas sangat. Aku pecah masuk ajelah." Nia Suri memandang ke arah pintu rumah dan pagar. Ya, sudah rosak dibuat Ghaffar.
"Kenapa ayah tak call Nia? Nia keluar beli barang dengan kawan sekolah Nia. Lama ayah tak call Nia, datang sini pun tak." Soal Nia Suri. Ghaffar yang sedari tadi berdiri dan berjalan mundar mandir hanya berdecit kasar.
"Aku kena sembunyikan diri. Orang-orang Mahmood cari aku."
"Tapi bukan ke dah selesai semuanya?"
"Salah kaulah, patutnya kau kahwin dengan Mahmood bukan budak Sein tak guna tu."
"Sampai hati ayah ya? Mahmood tu dah ada isteri ramai. Takkan Nia nak jadi salah seorang dari isteri dia. Memang taklah!"
"Lebih terjamin dari Sein."
"Apa yang terjaminnya ayah? Nia ni bersyukur tau tak, ada orang macam Sein haritu. Kalau dia tak ada, Nia ni dah kena rogol tau tak ayah!" Suara Nia Suri bergetar. Menahan marah dan tangis.
"Ahhhh! Aku tak peduli. Aku datang ni aku nak duit. Aku tau Sein mesti ada bagi kau duit kan?"
"Ayah sendiri kata dia tak guna tadi. Mana Nia ada duit. Sein pun dah 3 bulan Nia tak jumpa."
"Maksudnya dia memang ada jumpa kau kan. Aku perlukan 10 ribu. Aku tak selamat lagi duduk Malaysia. Aku nak ke seberang untuk beberapa bulan."
"Ayah... ayah berhutang lagi ke dengan Mahmood tu?"
"Kau tak perlu tahu. Aku nak duit sekarang ni. Kau bagi aku berapa aje kau ada."
"Mana Nia ada duit ayah. Lupa ke? Nia buat pinjaman sampai lebih dari gaji Nia."
"Ish kau ni! Bak sini..." Ghaffar terus meragut beg tangan Nia yang sejak tadi Nia pegang sehingga Nia Suri turut terdorong dan terus tersembam jatuh ke lantai. Nia Suri terkejut untuk kedua kalinya.
"Mana Nia ada duit ayah!" Nia Suri yang menahan sakit, menempik kuat melihat Ghaffar menyelongkar beg tangan miliknya.
"Jangan kau nak menipu, aku tau Sein ada bagi kau duit. Kau ingat laki kau tu aje ada mata-mata, aku pun ada mata-mata aku. Aku tau beribu dia bagi kau setiap bulan. Aku tak bodoh Nia Suri!" Ghaffar ketawa, sinis.
"Sampai hati ayah. Nia buat semua ni sebab ayah."
"Kau yang bodoh. Sama dengan mak kau." Ghaffar membaling beg tangan ke arah Nia Suri sebelum laju berjalan keluar dari rumah itu. Meninggalkan Nia Suri yang terpempan dengan kata-kata Ghaffar.
'Bodoh sama mak?' kata-kata itu terus berputar-putar di telinga Nia Suri. Meruntun hatinya sehingga mengembalikan ingatan Nia Suri kepada kata-kata Sein kepada dia dahulu.
'Sayang betul kau dengan bapak tiri kau tu. Kau fikir berbaloi ke?'
Nia Suri mengesat air mata yang mengalir dengan belakang tangan. Menahan sakit tersembam ke lantai, Nia bangun dan berdiri. Dia mencari Ghaffar dari pintu rumah. Sudah hilang, bayang juga tiada. Nia Suri mengetap bibir. Marah? Geram? Benci? Nia Suri rasa semua emosi yang ada. Tidak disangka ayah tirinya akan seperti itu. Langsung tidak pernah Nia Suri tahu.
Nia Suri bergerak mahu menutup pintu rumah sebelum dia terlihat, kelibat lelaki berjaket berada tidak jauh dari rumahnya. Di sebalik barisan kereta yang memarkir di hadapan rumah kedai yang berdepan dengan rumahnya. Jantung Nia Suri berdegup laju.
'Siapa lelaki itu?' Nia Suri terus berteka teki sendiri. Nia Suri tidak tunggu lama. Dia terus menutup pintu rumah dan cuba mengunci dari dalam. Sofa ditarik untuk menghadang bahagian pintu. Nia Suri menggeletar satu badan. Ketakutan kembali mencengkam diri.
Ya Allah. Ujian apa lagi yang datang ini?
YOU ARE READING
LELAKI BERTATU BUNGA
RomanceAyah tiri larikan wang dari Orang Kaya Singapura setahun lalu tanpa diketahui keluarga. Akhirnya, dia menjadi buruan orang-orang Orang Kaya itu. Saat nyawa dihujung tanduk, ayah tiri diselamatkan Nia Suri dengan kesediaan membayar semua jumlah hutan...