Nota penulis: Untuk faham bab ini 100%, anda perlu baca novel Misi Detektif Fateh: Perang Mental, komik Misi Kimia, Misi 10A Finale, Misi 4 Flat, Zine Misi #1, dan Misi 4 Flat X.
Semasa Kimi tingkatan 4 ...
Seorang lelaki asing berjalan masuk ke dalam bilik kelas. Dia memakai kot makmal berwarna putih dan kaca mata keselamatan. Yang unik tentang lelaki ini ialah misainya yang bercabang-cabang. Bentuknya seperti huruf X.
"Selamat sejahtera, semua." Bergema suara garau lelaki itu. "Kamu semua boleh panggil saya ... Cikgu X."
Kimi, yang sedang membaca buku, mengangkat kepala sebaik terdengar suara itu. Dia berkerut melihat penampilan lelaki itu, yang lain daripada lain.
Tanpa Kimi sangka, lelaki itu ialah guru mata pelajaran Kimia yang baru, menggantikan Cikgu Siti. Tanpa Kimi sangka juga, Cikgu X akan menjadi guru yang paling dia gemari. Disebabkan Cikgu X, Kimi jatuh cinta pada mata pelajaran Kimia dan mahu mendalami bidang forensik.
***
Pada akhir tahun, di padang bersebelahan hutan yang tidak jauh dari rumah Kimi.
"Kamu ada masa hadapan yang cerah, Hakimi," tegas Cikgu X. "Lupakan apa yang terjadi hari ini ... dan teruskan hidup seperti biasa."
Cikgu X mengeluarkan sepucuk pistol dari poket kot makmal yang tersarung pada tubuhnya. Kimi terpempan melihat guru itu bersahaja menggenggam senjata api.
"Tapi, kalau sekali lagi kamu ekori saya atau siasat tentang perkara ini ... saya tidak jamin kamu boleh hidup lama!" laung Cikgu X sebelum beredar meninggalkan Kimi sendirian.
Bas sekolah yang menjadi makmal rahsia Cikgu X masih terbakar dibaham api. Meskipun Kimi sedang berdiri dari jarak selamat, bahangnya dirasai hingga seluruh tubuh Kimi dibasahi peluh.
Kimi teringat kata-kata Mat tidak lama dulu.
"Semua orang ada sisi misteri. Seperti soalan Matematik yang suruh kita cari nilai 'x'. Cikgu X umpama pembolehubah 'x'. Ada tersembunyi satu nilai yang belum kita ketahui."
Sejak itu, Cikgu X tidak lagi muncul di sekolah, atau di mana-mana. Hilang bagaikan dibawa angin.
***
Pada hari keputusan SPM diumumkan.
Di bawah kanopi hutan tebal, Kimi berjalan sendirian sambil matanya melilau sekeliling. Kening dia berkerut sebaik ternampak sebatang pokok gergasi yang bercabang pada batang dan akarnya. Jika dilihat dengan teliti, pokok itu mirip bentuk X.
Kimi berjalan mengharung semak samun dan akhirnya tiba di hadapan batang pokok yang sebesar lima pemeluk. Beberapa kali dia mendongak dan menunduk, meneliti pokok itu dari daun ke akar. Dia juga berpusing mengelilingi pokok itu beberapa kali.
Akhirnya dia jumpa satu lubang pada batang pokok gergasi berbentuk X itu. Lubang itu kecil sahaja, sebesar tapak tangan. Kimi memberanikan diri memasukkan tangan ke dalam lubang itu.
Ada sesuatu yang keras dan licin. Dia cuba pegang objek itu dan mengangkatnya. Terjatuh kerana berat luar jangkaan. Dia cuba angkat sekali lagi dan keluarkan dengan sepenuh kudrat.
"Pistol!" gumam Kimi.
Itu pistol yang sama seperti dilihatnya tidak lama dulu. Pistol milik Cikgu X. Mata Kimi buntang. Dia sudah semakin hampir dengan Cikgu X.
Kimi menyeluk lagi tangan ke dalam lubang dan mengeluarkan sekeping kertas tebal yang berkerumuk. Dia membuka gumpal kertas itu. Tertulis di belah atasnya, 'Perjanjian Darah'. Ada tercatat nama Cikgu X dan beberapa nama yang tidak dikenali. Di bahagian bawah, ada cap jari berwarna merah gelap.
YOU ARE READING
Misi Detektif Fateh: Sherlock vs Lupin
Mystery / ThrillerCerita ini merupakan sambungan kepada novel Misi Detektif Fateh: Perang Mental, juga sambungan bagi komik Misi 4 Flat X dan Misi Kimia. Dalam Perang Mental, Fateh dan kawan-kawan berjaya memberkas Didi Amin atas bantuan Kimi. Sebagai timbal balik, m...