Bab 2: Kod Rahsia Dalam Pantun

53 1 0
                                    

Seminggu kemudian, di ibu pejabat polis.

"Markas kumpulan kongsi gelap X telah diserbu. Semua ahlinya telah ditangkap, bukan?" ucap Kimi. 

Fateh berdiri di sebelah, berpeluk tubuh dengan wajah serius.

Seorang pegawai polis wanita mengangguk. Dia ialah orang sama yang temui Kimi tempoh hari dan berikan maklumat berkenaan serbuan ke atas markas kumpulan X.

"Salah seorang ahli yang ditangkap itu, ada atau tidak yang misainya berbentuk huruf X?" soal Kimi.

"Lebih mudah kalau kamu berikan nama dia. Saya tidak dapat ingat bentuk misai pesalah," balas polis wanita.

"Maaf, saya tidak tahu nama penuh dia."

Polis wanita itu menghembus nafas panjang. Dia lihat sekeliling, kemudian bersuara, "Saya tidak boleh buat perkara ini sebenarnya. Sekejap, saya ambil fail siasatan untuk kamu lihat muka-muka ahli kumpulan X yang telah diberkas."

Kimi dan Fateh melihat satu per satu foto wajah ahli kongsi gelap X yang tersusun di dalam fail.

"Yang mana Cikgu X?" soal Fateh.

Kimi menyelak halaman foto terakhir. Berkerut keningnya. "Tiada. Tiada muka Cikgu X."

"Mungkinkah dia ubah muka? Mungkin, misai dia sebenarnya palsu?" teka polis wanita itu.

"Saya ... memang tidak pernah cuba tarik misai Cikgu X ... ," ucap Kimi, "... tapi saya yakin misai dia bukannya palsu."

Suasana sepi dan buntu buat beberapa detik. Tiba-tiba Fateh terfikir sesuatu.

"Mungkin Bad tahu lokasi Cikgu X. Kalau benar Cikgu X dihukum, tentulah Bad yang jatuhkan hukuman itu," ujar Fateh.

Raut wajah Kimi nampak tidak yakin. "Adakah dia mahu buka mulut? Waktu saya tanya dia tempoh hari, dia langsung tidak pandang saya."

"Mungkin sekarang dia sudah bertenang dan sedia untuk bercakap." Fateh cuba bersikap optimis.

Kimi memandang wajah polis wanita itu dan bersuara, "Bolehkah kami jumpa Bad?"

Polis wanita itu menghela nafas yang lebih panjang berbanding tadi. "Maaf, kami tidak boleh benarkan orang awam berjumpa penjenayah berbahaya seperti Bad."

"Ini permintaan terakhir kami," rayu Kimi sambil merapatkan kedua-dua tapak tangan.

"Selepas ini kami tidak akan ganggu lagi," ujar Fateh sambil membuat wajah comel dan kasihan.

Pegawai polis wanita itu serba salah. Dia lihat wajah Kimi dan Fateh bersilih ganti. Akhirnya dia lembut hati dan mengalah. 

"Baiklah, baiklah. Saya bantu kerana memikirkan jasa besar kamu berdua kepada pihak polis. Tetapi, ini bantuan yang terakhir!"

Fateh dan Kimi mengangguk faham. Mereka yakin lagi pasti, jawapan ada dalam mulut Bad.

***

Bergema bunyi keriut sebaik pintu penjara dibuka. Seorang warden lelaki berjalan paling hadapan di koridor, diekori Kimi dan Fateh. Bunyi tapak kaki bersahut-sahutan disusuli gema.

Hati Fateh gentar melihat suasana di dalam penjara yang kelam, dingin, dan hening. Betapa dia hairan, bagaimana seorang manusia itu sanggup menjadi penjenayah dan meringkuk di tempat sebegini selama bertahun-tahun.

Mereka tiba di hadapan satu lagi pintu besi. Seorang polis bersenjata berat bangun dari kerusi dan membuka pintu besi. Polis bersenjata berat itu membawa mereka bertiga berjalan di koridor yang sempit dan panjang. Di kiri dan kanan koridor, terdapat pintu-pintu sel yang bertutup rapat. Di belah bawah pintu, terdapat tingkap besi kecil yang hanya boleh dibuka dari luar.

Misi Detektif Fateh: Sherlock vs LupinWhere stories live. Discover now